Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan berkenaan mandi wajib. Bolehkah kita panaskan air guna water heater kemudian gunakan air tersebut untuk mandi wajib? Biasanya pagi-pagi sebab cuaca sejuk, lagi-lagi musim hujan sekarang ini. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, secara umumnya, mandi wajib ialah mandi yang tidak sah ibadat tanpanya apabila terdapat sebab-sebab yang mewajibkan mandi. Sebab-sebabnya ialah janabah, haidh, bersalin dan mati. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/73).
Seterusnya, para ulama telah menetapkan bahawa syarat fardhu bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:
- Niat
- Menghilangkan najis jika sekiranya ada pada badan.
- Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan. (Lihat Matan Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 21).
Keduanya, sebagaimana yang kita maklumi bahawa mandi wajib tujuannya adalah untuk mengangkat hadas besar. Justeru, mandi wajib hendaklah dengan menggunakan air mutlak, yang boleh digunakan bagi mengangkat hadas dan membersihkan najis. Air mutlak ialah air yang suci lagi menyucikan iaitu air yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT. Air tersebut masih dikatakan air mutlak walaupun ia sudah berubah disebabkan lama terbiar, disebabkan tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/31).
Tambahan lagi, Dr. Wahbah al-Zuhaili ada menyebutkan beberapa contoh air mutlak. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh beliau bahawa air-air yang boleh digunakan untuk bersuci ada tujuh iaitu air laut, air hujan, air sungai, air mata air, air salji dan air sejuk. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/79).
Ketiganya, dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya tidak menjadi masalah untuk seseorang itu mandi dengan air yang dipanaskan selagi mana ia masih dianggap sebagai air mutlak.
Imam al-Nawawi menyebutkan, berkenaan air yang dipanaskan, maka jumhur ulama berpendapat tidak makruh bersuci dengannya. Namun, para ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) menukilkan daripada Mujahid bahawa beliau berpendapat makruh bersuci dengannya. Begitu juga terdapat riwayat daripada Imam Ahmad yang berpendapat bahawa makruh bersuci dengan air panas yang dipanaskan dengan najis (bahan bakar api daripada najis), akan tetapi tidak ada bagi mereka dalil yang kuat dalam hal tersebut. Sedangkan dalil kita pula adalah nas-nas yang mutlak dan tidak terdapatnya dalil yang sabit yang melarang daripada menggunakan air yang dipanaskan. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/91).
Begitu juga tidak makruh untuk menggunakan air panas itu bagi tujuan bersuci seperti mandi wajib. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh al-Ramli bahawa tidak makruh hukumnya menggunakan air yang dipanaskan dengan api sekalipun api itu bahan bakarnya daripada najis mughallazah. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/71).
Selain itu, Imam al-Syafi‘i jelas menyebutkan, semua air adalah tahur (suci lagi menyucikan) selama mana air itu tidak bercampur dengan najis. Begitu juga tidak ada bersuci melainkan dengan menggunakan air (tahur itu) atau menggunakan debu (yakni bertayammum). Tidak kira setiap air itu berasal dari air sejuk atau salji yang mencair, air yang dipanaskan dan air yang tidak dipanaskan kerana air mempunyai sifat kesucian seperti api dan api tidak menajiskan air.
Kemudian Imam al-Syafi‘i menyebutkan, Ibrahim bin Muhammad mengkhabarkan kepada kami daripada Zaid bin Aslam, daripada bapanya bahawa:
أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ كَانَ يُسَخَّنُ لَهُ الْمَاءُ فَيَغْتَسِلُ بِهِ وَيَتَوَضَّأُ بِهِ
Maksudnya: “Umar bin al-Khattab R.A biasa memanaskan air untuknya, lalu beliau mandi dengan air tersebut dan juga berwuduk dengannya (air yang dipanaskan itu).”
Tambahan lagi, Imam al-Syafi‘i juga ada menyatakan, aku tidak menganggap air musyammas[1] itu makruh melainkan hanya dari sudut perubatan. Kemudian beliau menyebutkan, Ibrahim bin Muhammad mengkhabarkan kepada kami daripada sadaqah bin Abdullah, daripada Abu al-Zubair, daripada Jabir bin Abdullah bahawa:
أَنَّ عُمَرَ كَانَ يَكْرَهُ الِاغْتِسَالَ بِالْمَاءِ الْمُشَمَّسِ وَقَالَ: إنَّهُ يُورِثُ الْبَرَصَ
Maksudnya: “Umar tidak suka mandi dengan air musyammas dan beliau berkata: ‘Sesungguhnya ia mendatangkan penyakit sopak.’” (Lihat al-Umm, 1/16).
Bahkan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani juga ada membawakan riwayat dengan sanad yang sahih menurutnya bahawa:
إِنَّ عُمَرَ كَانَ يتَوَضَّأ بالحميم ويغتسل مِنْهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Umar biasa berwuduk dengan air panas dan juga mandi dengan menggunakan air panas itu.”
Begitu juga riwayat yang menceritakan bahawa:
كَانَ يُسَخَّنُ لَهُ مَاءٌ فِي قُمْقُمٍ ثُمَّ يَغْتَسِلُ مِنْهُ
Maksudnya: “Umar biasa dipanaskan air untuknya dalam qumqum (sejenis bekas air dari tembaga), kemudian beliau mandi dengan menggunakan air tersebut.”
Seterusnya, al-Hafiz Ibn Hajar menyimpulkan bahawa adapun berkenaan permasalahan bersuci dengan menggunakan air yang dipanaskan, maka para ulama telah bersepakat akan keharusan untuk menggunakannya melainkan pendapat yang dinukilkan daripada Mujahid. (Lihat Fath al-Bari, 1/299).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak mengapa dan diharuskan untuk menggunakan air yang dipanaskan bagi tujuan mandi wajib selama mana ia masih dikira sebagai air mutlak. Apatah lagi adanya keperluan untuk menggunakannya seperti cuaca yang terlalu sejuk dan sebagainya. Ini kerana sekadar memanaskan air tidak menyebabkan statusnya sebagai air mutlak berubah. Justeru, ia kekal dikira sebagai suci lagi menyucikan selama mana tidak bercampur dengan najis.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”
Surah al-Naml (19)
[1] Iaitu air yang dipanaskan oleh cahaya matahari.
Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H