#3948: Berwuduk dengan Air Panas

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah kita berwuduk dengan menggunakan air yang dipanaskan? Biasanya waktu Subuh saya akan memanaskan air dalam water heater untuk berwuduk dengan air panas tersebut sebab terlalu sejuk. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

(Surah al-Ma’idah: 6)

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61).

Begitu juga, al-Sa‘di menyatakan bahawa terdapat banyak persoalan hukum (yang dapat dikeluarkan) daripada ayat ini. Antaranya ialah perintah mendirikan solat, perintah untuk berniat bagi mengerjakan solat, juga disyaratkan untuk bersuci (daripada hadas) bagi sah solat, juga bersuci tidak diwajibkan ketika masuknya waktu solat tetapi wajib ketika hendak mendirikan solat dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 222).

Keduanya, berkenaan wuduk. Wuduk merupakan medium syarak yang terpenting untuk menghilangkan (mengangkat) hadas kecil daripada anggota badan bagi menjadikan seorang Muslim itu suci, lalu membolehkannya melaksanakan segala perbuatan atau amalan yang disyaratkan padanya suci daripada hadas — seperti mendirikan solat, memegang mashaf al-Quran, tawaf dan lain-lain. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/69).

Wuduk berasal daripada perkataan wadha’ah (وَضَاءَةٌ). Dari segi bahasa, ia bererti elok dan berseri. Sementara dari segi syarak pula ialah perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu beserta dengan niat. Ia dinamakan demikian kerana perbuatan tersebut mengelokkan dan menyerikan anggota yang dibasuh dan dibersihkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/53). Seseorang itu dikira sah wuduknya, bilamana telah memenuhi semua rukun-rukun dan syarat-syarat sah wuduk.

Di antara syarat sah wuduk ialah menggunakan air yang suci lagi menyucikan — iaitu air mutlak — kerana hadas tidak akan terangkat melainkan dengan hanya air mutlak. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 96 dan 57). Dalam bahasa mudahnya, air mutlak ialah air yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/31). Dr Wahbah al-Zuhaili ada menyebutkan tujuh jenis air mutlak yang boleh digunakan untuk bersuci iaitu air laut, air hujan, air sungai, air mata air, air salji dan air sejuk. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/79).

Ketiganya, berbalik kepada soalan yang diajukan, secara umumnya tidak menjadi masalah bagi seseorang itu, bahkan tidak makruh untuknya berwuduk dengan menggunakan air yang dipanaskan dan wuduknya itu dikira sah jika memenuhi semua rukun dan syarat-syaratnya yang lain.

Imam al-Nawawi menyebutkan, berkenaan air yang dipanaskan, maka jumhur ulama berpendapat tidak makruh bersuci dengannya. Namun, para ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) menukilkan daripada Mujahid bahawa beliau berpendapat makruh bersuci dengannya. Begitu juga terdapat riwayat daripada Imam Ahmad yang berpendapat bahawa makruh bersuci dengan air panas yang dipanaskan dengan najis (bahan bakar api daripada najis), akan tetapi tidak ada bagi mereka dalil yang kuat dalam hal tersebut. Sedangkan dalil kita pula adalah nas-nas yang mutlak dan tidak terdapatnya dalil yang sabit yang melarang daripada menggunakan air yang dipanaskan. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/91).

Begitu juga tidak makruh untuk menggunakan air panas itu bagi tujuan bersuci seperti mandi wajib. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh al-Ramli bahawa tidak makruh hukumnya menggunakan air yang dipanaskan dengan api sekalipun api itu bahan bakarnya daripada najis mughallazah. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/71).

Selain itu, Imam al-Syafi‘i jelas menyebutkan, semua air adalah tahur (suci lagi menyucikan) selama mana air itu tidak bercampur dengan najis. Begitu juga tidak ada bersuci melainkan dengan menggunakan air (tahur itu) atau menggunakan debu (yakni bertayammum). Tidak kira setiap air itu berasal dari air sejuk atau salji yang mencair, air yang dipanaskan dan air yang tidak dipanaskan kerana air mempunyai sifat kesucian seperti api dan api tidak menajiskan air.

Kemudian Imam al-Syafi‘i menyebutkan, Ibrahim bin Muhammad mengkhabarkan kepada kami daripada Zaid bin Aslam, daripada bapanya bahawa:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ كَانَ يُسَخَّنُ لَهُ الْمَاءُ فَيَغْتَسِلُ بِهِ وَيَتَوَضَّأُ بِهِ

Maksudnya: “Umar bin al-Khattab R.A biasa memanaskan air untuknya, lalu beliau mandi dengan air tersebut dan juga berwuduk dengannya (air yang dipanaskan itu).” (Lihat al-Umm, 1/16).

Selain itu, terdapat riwayat daripada Ayyub, katanya: Aku bertanya kepada Nafi‘ berkenaan air yang dipanaskan. Dia menjawab:

كَانَ ابْنُ عُمَرَ يَتَوَضَّأُ بِالْحَمِيمِ

Maksudnya: “Ibn Umar biasa berwuduk dengan air panas.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (256)

Bahkan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ada menukilkan athar (riwayat) yang menyatakan bahawa Umar pernah berwuduk dengan air panas. Athar (riwayat) ini disambungkan oleh Sa‘id bin Mansur, ‘Abd al-Razzaq dan selain mereka berdua dengan sanad yang sahih dengan lafaz:

 إِنَّ عُمَرَ كَانَ يَتَوَضَّأُ بِالْحَمِيمِ وَيَغْتَسِلُ مِنْهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Umar biasa berwuduk dengan air panas dan juga mandi dengan menggunakan air panas itu.”

Selain itu, turut diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dan al-Daraqutni dengan lafaz:

كَانَ يُسَخَّنُ لَهُ مَاءٌ فِي قُمْقُمٍ ثُمَّ يَغْتَسِلُ مِنْهُ

Maksudnya: “Umar biasa dipanaskan air untuknya dalam qumqum (sejenis bekas air dari tembaga), kemudian beliau mandi dengan menggunakan air tersebut.”

Al-Daraqutni menyatakan, sanadnya adalah sahih. Seterusnya, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyimpulkan bahawa adapun berkenaan permasalahan bersuci dengan menggunakan air yang dipanaskan, maka para ulama telah bersepakat akan keharusan untuk menggunakannya melainkan pendapat yang dinukilkan daripada Mujahid. (Lihat Fath al-Bari, 1/299).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak mengapa dan diharuskan untuk berwuduk dengan menggunakan air yang dipanaskan selama mana ia masih dikira sebagai air mutlak. Apatah lagi adanya keperluan untuk menggunakannya seperti cuaca yang terlalu sejuk dan sebagainya. Ini kerana sekadar memanaskan air tidak menyebabkan statusnya sebagai air mutlak berubah. Justeru, ia kekal dikira sebagai suci lagi menyucikan selama mana tidak bercampur dengan najis.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H