#3950: Susu yang Diperah dari Bangkai Haiwan yang Boleh Dimakan Dagingnya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah halal susu yang diperah dari bangkai haiwan yang boleh dimakan dagingnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَإِنَّ لَكُمْ فِي الْأَنْعَامِ لَعِبْرَةً نُسْقِيكُمْ مِمَّا فِي بُطُونِهِ مِنْ بَيْنِ فَرْثٍ وَدَمٍ لَبَنًا خَالِصًا سَائِغًا لِلشَّارِبِينَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terhasil dari dalam perutnya, yang lahir daripada antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.”

(Surah al-Nahl: 66)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan bahawa sesungguhnya pada haiwan-haiwan ternakan itu yang mana Allah SWT telah tundukkan (sediakan) buat manfaat kamu semua, ada sesuatu yang boleh kamu ambil pelajaran daripadanya iaitu ia menunjukkan kepada kesempurnaan kekuasaan Allah serta luasnya belas kasihan-Nya. Bilamana Dia telah memberi kamu minum apa yang terhasil daripada dalam perut haiwan-haiwan tersebut yang terdiri daripada kotoran dan darah. Dia telah keluarkan daripada antara kedua-dua perkara tersebut, susu yang bersih daripada apa-apa yang mengeruhkannya (tidak bercampur dengan apa-apa selainnya), yang menyenangkan orang-orang yang meminumnya kerana kelazatannya.  Juga kerana ia menghilangkan dahaga serta mengenyangkan. Tidaklah perkara-perkara ini (terjadi) melainkan dengan kekuasaan Allah SWT, bukan semata-mata tabiat semula jadi. Adakah ada sesuatu yang secara tabiat semula jadinya boleh menukarkan kotoran yang dimakan oleh haiwan-haiwan serta minuman yang diminumnya yang terdiri daripada air tawar dan masin menjadi susu yang bersih (daripada sebarang anasir-anasir lain), yang menyenangkan orang-orang yang meminumnya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 443).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa para fuqaha berselisih pendapat berkenaan kenajisan susu yang diperah dari bangkai haiwan yang dagingnya boleh dimakan kepada sekurang-kurangnya dua pendapat:

Pendapat pertama, susu itu adalah suci dan boleh diminum. Ini adalah pendapat Imam Abu Hanifah dan satu riwayat daripada Imam Ahmad. Dalil mereka berkenaan hal ini adalah firman Allah ‘Azza wa Jalla:

وَإِنَّ لَكُمْ فِي الْأَنْعَامِ لَعِبْرَةً ۖ نُّسْقِيكُم مِّمَّا فِي بُطُونِهِ مِن بَيْنِ فَرْثٍ وَدَمٍ لَّبَنًا خَالِصًا سَائِغًا لِّلشَّارِبِينَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.

(Surah al-Nahl: 66)

Ini kerana Allah ‘Azza wa Jalla telah menyifatkannya sebagai bersih (suci), oleh itu ia tidak tercemar dengan kotoran tempat ia mengalir. Allah juga menyifatkannya sebagai sedap rasanya, dan ini menunjukkan ia adalah halal. Begitu juga Allah memberikan nikmat ini kepada kita dengannya, dan nikmat itu datang dari yang halal, bukan dari yang haram.

Pendapat kedua, susu itu adalah najis dan tidak halal (haram) untuk menggunakannya (minum dan makan). Ini merupakan pendapat jumhur fuqaha dalam kalangan Malikiyyah, Syafi‘yyah, Hanabilah dan dua murid kanan Abu Hanifah — Qadhi Abu Yusuf dan Muhammad bin Hasan al-Syaibani. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih).”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Sesungguhnya pengharaman ke atas bangkai adalah pengharaman ke atas seluruh bahagian-bahagiannya, termasuklah daripadanya susu. Hal ini kerana ia adalah cecair yang berada di dalam bekas najis (iaitu kantung susu bangkai yang menjadi najis maka ia telah menjadi najis dengan sebab kematiannya tidak menurut syarak). Oleh sebab itu, susu tersebut telah menjadi najis. Ini adalah sebagaimana halnya jika susu itu diperah ke dalam bekas najis. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 39/388-389).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa susu yang diperah dari bangkai haiwan sekalipun pada asalnya daging haiwan itu boleh dimakan (sekiranya disembelih menurut syarak) adalah haram untuk diminum kerana ia dikira sebagai najis. Ini kerana kantung susu haiwan itu sebahagian daripada bangkai dan dihukumkan sebagai najis, maka ia secara tidak langsung telah menajiskan susu tersebut.

Hal ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

التَّابِعُ تَابِعٌ

Maksudnya:(Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, 1/117).

Begitu juga dengan kaedah:

الْفَرْعُ يَتْبَعُ الْأَصْلَ

Maksudnya:Anak atau cabang mengikut hukum ibu atau asalnya.”

Hal ini kerana bangkai haiwan itu sudah dikira sebagai najis berdasarkan nas yang sahih. Justeru, hukum yang sama terpakai kepada cabangnya atau apa yang berasal daripadanya seperti kantung susu. Oleh itu, kantung susu juga dianggap sebagai najis dan telah menajiskan susu yang berada di dalamnya.

Tambahan lagi, seseorang tidak boleh dengan sengaja memakan sesuatu yang bernajis mahupun mutanajjis kerana is termasuk dalam khaba’ith (benda-benda buruk). Justeru, ia diharamkan untuk dimakan dalam apa jua keadaan melainkan ketika darurat (keadaan terpaksa). Firman Allah SWT:

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan dia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf : 157)

Fakhruddin al-Razi menyebutkan, ayat ini menunjukkan kepada pengharamannya. Jadi, semua najis adalah khaba’ith, maka wajib untuk berpendapat dengan keharamannya. Selain itu, umat juga telah bersepakat bahawa haram untuk memakan benda-benda najis. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 13/168-169).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H