#3951: Meletakkan Batu pada Kubur Seperti Nisan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum seseorang meletakkan batu pada kubur seperti nisan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, kubur ialah tempat disemadikan mayat selepas berlakunya kematian. Firman Allah SWT:

ثُمَّ أَمَاتَهُ فَأَقْبَرَهُ

Maksudnya: “Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan.”

(Surah ‘Abasa: 21)

Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini berkata: “Allah menjadikan untuk manusia itu kubur yang menutupi mayatnya sebagai satu kemuliaan baginya, kalau mayat itu dibiar maka ia akan menjelekkan dan dimakan oleh haiwan, ayat ini juga memberi maksud bahawa Allah mengarahkan supaya mayat manusia itu ditanam dan tidak dibakar selepas kematiannya. (Lihat aI-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 19/219)

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, terdapat riwayat daripada Jaafar bin Muhammad daripada bapanya bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَشَّ عَلَى قَبْرِ إِبْرَاهِيمَ ابْنِهِ وَوَضَعَ عَلَيْهِ حَصْبَاءَ

Maksudnya: “Nabi SAW menjirus air ke atas kubur Ibrahim, anaknya dan juga meletakkan batu kerikil di atasnya.” (Lihat Musnad al-Syafi‘i, hlm 360).

Syeikh Abdullah al-Bassam setelah menukilkan riwayat Imam al-Syafi‘i sebagaimana di atas, beliau menyatakan pula, demikianlah yang dilakukan pada kubur Sa‘ad bin Mu‘az dan kubur Uthman bin Maz‘un. Hal itu kerana ia lebih mengukuhkan, mengekalkan dan menjauhkan tanah kubur daripada dibawa terbang oleh angin atau dihanyutkan oleh banjir. Amalan itu (yakni menyiram air ke atas kubur) berterusan menjadi amalan kaum Muslimin. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/242-243).

Selain itu, terdapat juga riwayat daripada al-Muttalib bin Abdullah bin Hantab R.A bahawa:

لما مات عثمانُ بنُ مَظعونٍ رضِيَ اللهُ عنه، فَدُفِنَ؛ أمر النبيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رجلًا أن يأتِيَهُ بِحَجَرٍ، فلم يَسْتَطِعْ حملَها، فقام النبيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وحَسَرَ عن ذِراعَيْهِ وحَمَلَها، فوضعها عِندَ رأسِه، وقال: أُعَلِّمُ بها قبرَ أَخِي، وأَدْفِنُ إليه من مات من أَهْلِي

Maksudnya: “Tatkala Uthman bin Maz‘un meninggal dunia dan dikebumikan, nabi SAW memerintahkan seorang lelaki untuk membawakan kepadanya seketul batu. Akan tetapi dia tidak mampu untuk membawa batu tersebut. Maka, Nabi SAW bangun dan menyinsingkan kedua lengannya (lalu pergi ke batu itu), kemudian Baginda membawa batu tersebut dan meletakkannya di sisi kepala jenazah itu (pada kuburnya). Baginda bersabda: ‘Supaya aku mengetahui dengan tanda ini akan kubur saudaraku dan mengebumikan di sisinya, mereka yang mati daripada kalangan keluargaku.’

Riwayat Abu Daud (3206) dan al-Baihaqi (6991) dengan sedikit perbezaan lafaz.

Demikian juga riwayat daripada Anas bin Malik R.A bahawa:

 أنَّ رسولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أعلمَ قبرَ عُثمانَ بنِ مظعونٍ بصخرةٍ

Maksudnya: “Rasulullah SAW menandakan kubur Uthman bin Maz‘un dengan batu.

Riwayat Ibn Majah (1561) dan lafaz hadith daripadanya; riwayat al-Tabarani dalam al-Ausat (4/169); Ia dinilai sebagai sahih dalam Sahih Ibn Majah (1277)

Tambahan lagi, Imam al-Nawawi  ada menyebutkan:

السُّنَّةُ أَنْ يُجْعَلَ عِنْدَ رَأْسِهِ عَلَامَةٌ شَاخِصَةٌ مِنْ حَجَرٍ أَوْ خَشَبَةٍ أَوْ غَيْرِهِمَا هَكَذَا قاله الشافعي والمصنف وسائر الاصحاب الا صاحب الْحَاوِي فَقَالَ يُسْتَحَبُّ عَلَامَتَانِ (إحْدَاهُمَا) عِنْدَ رَأْسِهِ (وَالْأُخْرَى) عِنْدَ رِجْلَيْهِ قَالَ لِأَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَعَلَ حَجَرَيْنِ كَذَلِكَ عَلَى قبر عثمان ابن مَظْعُونٍ

Maksudnya: “Mengikut sunnah adalah menjadikan di sisi kepalanya satu tanda khas sama ada daripada batu atau kayu atau selain dari keduanya. Beginilah juga pendapat Imam al-Syafi‘i dan juga pengarang (Imam al-Syirazi) serta sekalian ashab (ulama mazhab Syafi‘i) melainkan pengarang al-Hawi berpendapat, disunatkan meletakkan dua tanda. Salah satunya diletakkan di sisi kepadanya, manakala satu lagi diletakkan di sisi kedua kakinya. Beliau menyebutkan, ini kerana Nabi SAW menjadikan dua batu (sebagai tanda pada kubur). Demikianlah juga yang dilakukan ke atas kubur Uthman bin Maz‘un.” (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/298)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa dibolehkan, bahkan menjadi sunnah untuk meletakkan batu pada kubur seperti nisan, supaya ia menjadi tanda pada kubur. Begitu juga keharusan untuk meletakkan tanda pada kubur ini tidak terhad hanya kepada batu-batuan sahaja, sebaliknya dibolehkan untuk meletakkan kayu dan seumpamanya, yang kini ia lebih dikenali sekarang sebagai nisan. Sekalipun begitu, dinasihatkan janganlah berlebih-lebihan dalam perbelanjaan menguruskan perkuburan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H