Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apabila seseorang terhalang semasa haji, bagaimana caranya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ ۖ وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ ۚ
Maksudnya: “Maka sekiranya kamu dikepung (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah dam yang mudah didapati, dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya.”
(Surah al-Baqarah : 196)
Ayat di atas turun di Hudaibiyah ketika orang Musyrikin menghalang Nabi SAW dan para sahabatnya yang menuju ke Baitullah untuk mengerjakan umrah. Lalu Baginda pun menyembelih binatang dam dan bercukur. Sabda Nabi SAW kepada sahabat: “Bangunlah dan lakukanlah penyembelihan, kemudian bercukurlah.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/175)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:
قَدْ أُحْصِرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَحَلَقَ رَأْسَهُ، وَجَامَعَ نِسَاءَهُ، وَنَحَرَ هَدْيَهُ، حَتَّى اعْتَمَرَ عَامًا قَابِلًا.
Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah terhalang (daripada menyempurnakan umrah). Lalu Baginda mencukur rambutnya (tahallul), menggauli isterinya, dan menyembelih haiwan korbannya, sehinggalah Baginda (dibenarkan) mengerjakan umrah pada tahun berikutnya.”
Riwayat al-Bukhari (1809)
Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan:
Maksud ‘أُحْصِرَ رَسُولُ اللَّهِ’, iaitu sesungguhnya orang-orang Quraisy melarang Baginda Nabi SAW daripada melaksanakan ibadah umrah ketika perjanjian Hudaibiyah. Setelah itu, Nabi SAW mengajak berdamai kepada mereka, di mana Nabi SAW perlu membatalkan niatnya, dan kembali semula pada tahun seterusnya.
Maksud ‘قَابِلًا’ adalah tahun yang akan datang. Rasulullah SAW telah melakukan ibadah umrah yang bersifat qadha’ pada tahun 7 H.
Terdapat beberapa pengajaran daripada hadith di atas, antaranya:
- Rasulullah SAW dilarang daripada melakukan ibadah umrah tatkala perjanjian Hudaibiyyah, iaitu pada tahun ke-6 H, ketika orang-orang musyrik melarang Baginda daripada memasuki kota Makkah. Di sini, Rasulullah SAW mencukur rambut Baginda dan menyembelih haiwan korban, kemudian melakukan ibadah umrah yang bersifat qadha’ pada tahun berikutnya.
- Masa antara ibadah umrah yang dilaksanakan ketika perjanjian Hudaibiyyah dan ibadah umrah yang bersifat qadha’ pada tahun selepasnya, maka Nabi SAW tidaklah ditegah daripada melakukan hal apa pun yang merupakan larangan ihram, kerana Baginda telah melakukan tahallul secara sempurna.
- Allah SWT berfirman:
فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ ۖ
Maksudnya: “Maka sekiranya kamu dikepung (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati.”
(Surah al-Baqarah: 196)
Imam al-Syafi’i berkata: “Tidak ada perbezaan pendapat di antara para ahli tafsir bahawa ayat tersebut diturunkan ketika Nabi SAW dilarang melakukan ibadah haji ketika Perjanjian Hudaibiyyah.”
Di dalam hadith sahih, dinyatakan:
قُومُوا فَانْحَرُوا ثُمَّ احْلِقُوا
Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW bersabda ketika Perjanjian Hudaibiyyah: ‘Berdirilah, lalu berkorbanlah. Kemudian, cukurlah rambut kamu semua.”
Riwayat Abu Daud (2765)
Selain itu, kerana keperluan yang sangat mendesak untuk melakukan tahallul, di mana meninggalkannya merupakan kesulitan yang besar, yang bertentangan dengan syariat.
Al-Wazir berkata: “Para ulama’ sepakat bahawa halangan ibadah haji oleh musuh membolehkan pelaksanaan tahallul.”
Inilah sepertimana dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (4/205).
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”
Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H