#3956: Hukum Niat Bersyarat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum niat bersyarat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ ۖ وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ ۚ

Maksudnya: “Maka sekiranya kamu dikepung (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah dam yang mudah didapati, dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya.”

(Surah al-Baqarah : 196)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan hadith daripada Aisyah R.Anha, katanya:

دَخَلَ اَلنَّبِيُّ ‏- صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏-عَلَى ضُبَاعَةَ بِنْتِ اَلزُّبَيْرِ بْنِ عَبْدِ اَلْمُطَّلِبِ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهَا, فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اَللَّهِ! إِنِّي أُرِيدُ اَلْحَجَّ, وَأَنَا شَاكِيَةٌ، فَقَالَ اَلنَّبِيُّ ‏- صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏- حُجِّي وَاشْتَرِطِي: أَنَّ مَحَلِّي حَيْثُ حَبَسْتَنِي.

Maksudnya: “Nabi SAW masuk menemui Dhuba’ah binti Zubair binti ‘Abd al-Muttalib, dan dia berkata: “Wahai Rasulullah, aku ingin melaksanakan ibadah haji, sementara aku sedang sakit.” Nabi SAW bersabda: “Kerjakanlah haji dan tetapkanlah syarat: “Sesungguhnya tempat tahallulku adalah di mana Engkau menahanku.”

Riwayat al-Bukhari (5089) dan Muslim (1207)

Syeikh Abdullah al-Bassam menyebut: Para ulama’ berbeza pendapat mengenai pensyariatan niat bersyarat ketika ihram. Sebahagian sahabat dan tabi’in berpendapat kepada disunatkan niat bersyarat. Ini adalah pendapat dua Imam Mazhab, iaitu al-Syafi’i dan Ahmad, sebagaimana dikuatkan oleh Ibn Hazm dalam al-Muhalla. Dalil mereka adalah hadith sahih yang cukup jelas riwayatnya.

Dua Imam Mazhab: Abu Hanifah dan Imam Malik berpendapat, “Tidak tidak disyariatkan niat bersyarat dan perkara tersebut tidak memberi faedah. Maka apabila seorang jemaah haji mensyaratkan dirinya dan menemui keuzuran, maka dia tidak boleh melaksanakan tahallul untuk ihramnya.” Ibn ‘Umar mengingkari niat bersyarat ini di dalam ibadah haji dan berkata, “Bukankah sunnah Nabi SAW mencukupi bagi kamu.” Oleh kerana itu, pensyaratan diri tidak makruf daripada Nabi SAW serta para sahabatnya, selain dalam isu Dhuba’ah. Oleh kerana itu juga, Syeikh al-Islam berpendapat, “Disyariatkan niat bersyarat khusus bagi seorang yang takut seperti keadaan Dhuba’ah, bagi menghimpunkan dalil-dalil yang ada.” Ini adalah pendapat yang dipilih oleh ‘Abd al-Rahman bin al-Sa’di R.A. Inilah juga sepertimana dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (4/208).

Antara contoh lafaz niat bersyarat bagi orang yang tersekat atau terhalang disebabkan oleh sakit dan seumpamanya ialah:

  • Seorang yang sedang niat berihram meletakkan syarat dengan mengucapkan:

اللَّهُمَّ مَحِلِّى حَيْثُ حَبَسْتَنِي

Maksudnya: “Ya Allah, tempat tahallulku adalah di mana aku terhalang atas kehendak-Mu.

Maka, telah tergugur ke atasnya dam, dan dia hanya perlu bertahallul dengan hanya bercukur atau bergunting bersama niat sahaja.

  • Seseorang itu mensyaratkan dengan mengucapkan:

إِنْ مَرِضْتُ فَإِنِّي أَتَحَلَّلُ

Maksudnya: “Sekiranya aku jatuh sakit, maka aku bertahallul.

Dalam hal ini, dia hanya perlu bertahallul sama ada bercukur atau bergunting bersama niat sahaja.

  • Atau seseorang itu mengucapkan:

إِنْ مَرِضْتُ فَإِنِّي أَتَحَلَّلُ بِالـْـهَدْيِ

Maksudnya: “Sekiranya aku jatuh sakit, maka aku bertahallul dengan binatang korban.”

Sekiranya dia berniat syarat begini, maka dia wajib menyembelih terlebih dahulu binatang korban. Kemudiannya, barulah bercukur atau bergunting bersama dengan niat bagi kedua-duanya.

  • Atau seseorang itu mengucapkan:

إِنْ مَرِضْتَ فَصِرْتْ حَلَالًا

Maksudnya: “Sekiranya aku jatuh sakit, maka aku menjadi halal.”

Sekiranya dia telah berniat syarat begini, maka dia tidak perlu lagi melakukan apa-apa bagi bertahallul untuk keluar daripada ihram — kerana dia telah menjadi halal secara sendirinya. (Lihat al-Taqirat al-Sadidah, hlm. 511-512).

Secara ringkasnya, apabila seseorang yang melakukan ihram mensyaratkan dirinya pada permulaan ihram di mana dia berkata, “Sesungguhnya kedudukanku di mana engkau menahanku,” lalu dia ditahan, maka boleh baginya melakukan tahallul secara begitu sahaja untuk semua perbuatan ibadah haji. Dia tidak wajib menyembelih haiwan korban dan mengqadha’nya, sama ada tertegahnya ibadah haji disebabkan adanya kesulitan, musuh atau kehilangan nafkah, atau perkara lainnya. Ini adalah pendapat dua Imam Mazhab, iaitu Imam al-Syafi’i dan Imam Ahmad. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/205).

Kami nyatakan bahawa, orang yang mengerjakan haji atau umrah boleh mengenakan syarat bahawa sekiranya dia jatuh sakit atau berlaku sesuatu seumpamanya dia akan bertahallul. Justeru, apabila sesuatu yang disyaratkan itu berlaku, haruslah baginya bertahallul. Bertahallul dalam keadaan ini perlu kepada niat dan bercukur, dan tidak dikenakan dam kecuali apabila seseorang itu mensyaratkan tahallul dengan dam. Inilah juga sepertimana dinyatakan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/176).

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H