#3958: Membatalkan Haji dengan Sebab Patah atau Pincang

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah siapa yang membatalkan haji disebabkan patah atau pincang, maka halal baginya dan dia hendaklah menunaikan haji pada tahun hadapan pula?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada ‘Ikrimah bin al-Hajjaj bin ‘Amr al-Ansari R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كُسِرَ، أَوْ عَرَجَ، فَقَدَ حَلَّ، وَعَلَيْهِ اَلْحَجُّ مِنْ قَابِلٍ.

Maksudnya: “Sesiapa yang patah (kaki) atau tempang (semasa dia mengerjakan haji atau umrah), maka dia dilepaskan daripada ihram (tahallul), dan wajib baginya untuk menunaikan haji pada tahun berikutnya.”

Riwayat Ahmad (15172), Abu Daud (1862), al-Tirmizi (940), al-Nasa’ie (5/198) dan Ibn Majah (3077)

Ikrimah berkata: “Aku bertanya kepada Ibn ‘Abbas dan Abu Hurairah tentang hal itu, lalu keduanya berkata, ‘Benar.’”

Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan:

Perkataan ‘كُسِرَ’ (dengan bina’ li al-majhul) bermaksud melepaskan bahagian anggota tubuh dengan tanpa ada kekuatan yang menyatukan lagi di dalamnya. Al-Kasru adalah memisahkan bahagian tubuh yang asal dengan tanpa ada kekuatan yang menyatu lagi di dalamnya.

Perkataan ‘عَرَجَ’ bermaksud sesuatu yang menimpa kaki seseorang. Ini adalah apabila hal tersebut bukan cacat bawaan. Apabila cacatnya bukan cacat bawaan, maka ia dengan dikasrahkan huruf ra’-nya.

Antara pengajaran daripada hadith ini ialah:

  • Hadith di atas menunjukkan bahawa orang yang melakukan ihram dalam ibadah haji atau umrah, apabila dia ditimpa keuzuran sehingga menghalangnya untuk menyempurnakan ibadah haji, seperti patah kaki, sakit atau ditimpa musibah lain, maka dia boleh bertahallul dan melepaskan ihramnya ketika dia mengalami hal yang menegahnya tersebut.
  • Ibn al-Qayyim berkata: “Seandainya tidak ada nas hukum yang membolehkan seseorang jemaah haji melakukan tahallul kerana sakit, maka mengqiyaskannya dengan halangan yang dilakukan oleh musuh sudah cukup. Sedangkan makna zahir al-Quran, Sunnah dan qiyas menunjukkan hal itu.”
  • Jemaah haji tersebut juga hendaklah mengqadha’nya pada tahun mendatang berdasarkan sabda Nabi SAW:

 وَعَلَيْهِ اَلْحَجُّ مِنْ قَابِلٍ.

Maksudnya: “Dam wajib baginya untuk menunaikan haji pada tahun berikutnya.”

Riwayat Ahmad (15172), Abu Daud (1862), al-Tirmizi (940), al-Nasa’ie (5/198) dan Ibn Majah (3077)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H