#3959: Kewajipan Berlaku Adil Terhadap Isteri-Isteri

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukum tidak berlaku adil terhadap isteri-isteri ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nikah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sebuah akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan.

Perkataan nikah berasal dari perkataan Arab (نَكَحَ يَنْكِحُ نَكْحاً ونِكَاحاً) yang bermaksud bernikah dan perkataan (الاخْتِلَاطُ) yang bermaksud bercampur. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/34)

Dari istilah syarak, nikah ialah suatu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh atau berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Masyarakat arab menggunakan perkataan nikah dengan makna akad yang juga membawa maksud persetubuhan serta berseronok-seronok. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/671)

Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:

فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۖ

Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain) dua, tiga atau empat.”

(Surah al-Nisa’: 3)

Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)

Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah al-Rum: 21)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Pernikahan sememangnya dianjurkan dalam Islam dengan syarat mestilah berlandaskan kepada syariah yang telah ditetapkan. Pernikahan yang sah dan sempurna adalah pernikahan yang memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang diletakkan syara’. Terdapat juga beberapa jenis pernikahan yang dilarang dalam Islam seperti nikah mut’ah (yang diamalkan pengikut ajaran Syiah), nikah muaqqat (nikah kontrak) dan lain-lain. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiah, 41/325)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan islam tidak melarang bagi seorang lelaki untuk berpoligami. Namun, hendaklah dia berlaku adil dan saksama antara isteri-isterinya dari segi nafkah dan sebagainya. Sekiranya dia bimbang tidak berlaku adil maka haram baginya berkahwin lebih daripada satu. Hal ini sebagaimana yang telah dinyatakan dalam firman Allah SWT:

فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً

Maksudnya: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja,”

Surah al-Nisa’ (2)

Ibn Kathir menyatakan di dalam tafsirnya: Sesiapa yang takut untuk berlaku adil, maka cukuplah baginya seorang isteri sahaja. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 2/185)

Ibn Arabi al-Maliki menyatakan di dalam Ahkam al-Quran: Sekiranya seorang lelaki mampu dari sudut hartanya dan keinginannya untuk berkahwin, maka lakukanlah. Tetapi sekiranya dia tidak pasti dan tidak mampu mengenai kemampuan hartanya dan kemampuannya untuk menanggung untuk berkahwin lebih, maka cukuplah dengan seorang isteri sahaja. (Lihat Ahkam al-Quran, 1/409)

Amaran yang dinyatakan syarak jika tidak berlaku adil dalam berpoligami sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ كَانَتْ لَهُ امْرَأَتَانِ فَمَالَ إِلَى إِحْدَاهُمَا جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَشِقُّهُ مَائِلٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai dua orang isteri dan cenderung kepada seorang daripadanya (tidak berlaku adil), pada hari Kiamat, dia datang dalam keadaan yang senget.”

Riwayat Abu Daud (2133), al-Tirmizi (1141), al-Nasa’ie (3942), Ibn Majah (1969) dan Ahmad (7936). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Sunan Abi Dawud.

Namun dalam bab perasaan kasih sayang ia tidak ditaklifkan ke atas suami untuk berlaku adil kerana ia merupakan perkara diluar kawalan manusia. Ini bertepatan dengan firman  Allah SWT:

وَلَن تَسْتَطِيعُوا أَن تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ ۖ فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ ۚ وَإِن تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Surah al-Nisa’ (129)

Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

أَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْسِمُ بَيْنَ نِسَائِهِ فَيَعْدِلُ وَيَقُولُ: اللَّهُمَّ هَذِهِ قِسْمَتِى فِيمَا أَمْلِكُ فَلاَ تَلُمْنِى فِيمَا تَمْلِكُ وَلاَ أَمْلِكُ

Maksudnya: “Nabi SAW membuat giliran dalam kalangan isterinya dan berlaku adil. Baginda bersabda: “Ya Allah, inilah pembahagian yang mampu aku lakukan. Janganlah kamu mencela aku tentang pembahagian yang kamu miliki yang tidak mampu aku lakukan.”

Riwayat al-Tirmizi (1140) dan Abu Dawud (2134)

Al-Mubarakfuri menyatakan bahawa : Maksud “apa yang Kamu milik dan tidak aku miliki” adalah dari sudut menambah kasih sayang dan kecenderungan hati. Ibn al-Humam berkata, zahirnya bahawa selain daripada itu adalah termasuk di bawah kemampuannya yang wajib disamaratakan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/247)

Justeru kami katakan di sini seorang lelaki yang berkahwin lebih dari satu adalah menjadi kewajipan baginya untuk berlaku adil antara isteri-isteri baik dari segi pemberian nafkah atau penggiliran. Kami mengambil peluang ini untuk mengingatkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اتَّقُوا اللهَ فِي النِّسَاءِ، فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانَةِ اللهِ، وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللهِ، وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah tentang urusan wanita, sesungguhnya kalian telah mengambil mereka dengan amanah Allah, dan telah halal bermesraan secara seksual bagi kalian dengan kalimah Allah… dan menjadi tanggungjawab kamu untuk memberikan nafkah rezeki kepada mereka dan pakaian dengan ukuran yang makruf.”

Riwayat al-Nasaie (9135)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H