#3962: Hikmah Pensyari‘atan Hudud

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa sebenarnya tujuan atau hikmah hukuman hudud ini diperintahkan oleh Allah SWT?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku.”

(Surah al-Zariyat: 56)

Allah SWT memerintahkan kita untuk beribadah dan mentaati-Nya, mengerjakan apa yang diperintahkan-Nya, menjauhi apa yang dilarang-Nya, dan menetapkan hukuman hudud untuk maslahah hamba-hamba-Nya. Allah SWT juga menjanjikan Syurga bagi mereka yang mematuhi hukum-Nya, dan Neraka bagi mereka yang melanggar perintahnya. Dia juga membuka pintu-pintu taubat kepada hamba-Nya yang terlanjur melakukan dosa untuk memohon keampunan dari-Nya.

Akan tetapi, ada juga manusia yang berdegil dan enggan mengakui kesalahan yang dilakukannya, bahkan berkeras untuk terus menderhakai Allah SWT. Maka tidak boleh tidak, kedegilannya perlu dikekang dengan menegakkan hukuman hudud Allah SWT agar keamanan dan kemakmuran umat dapat dipelihara. Dan hudud Allah SWT tidak lain merupakan suatu bentuk rahmat dan nikmat dari-Nya buta seluruh umat manusia.

Hukuman hudud menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat merujuk kepada hukum yang telah ditetapkan oleh Allah yang tidak boleh diubah-ubah oleh manusia, seperti hukum zina, murtad, dan minum arak.

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, kami cuba menyebutkan beberapa hikmah pensyari‘atan hudud ini dengan membahagikannya kepada 2:

Pertama: Hikmah Hudud Secara Umum

Umumnya, hudud disyari’atkan sebagai kaffarah yang menyucikan seseorang itu dari dosa maksiat yang telah dilakukannya di dunia ini.

Ini jelas berdasarkan hadith riwayat ‘Ubadah bin al-Samit R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika perjanjian ‘Aqabah:

بَايِعُونِي عَلَى أَنْ لاَ تُشْرِكُوا بِاللهِ شَيْئًا، وَلاَ تَسْرِقُوا، وَلاَ تَـزْنُوا، وَلاَ تَـقْتُلُوا أَوْلاَدَكُمْ، وَلاَ تَأْتُوا بِبُهْتَانٍ تَـفْتَـرُونَهُ بَيْنَ أَيْدِيكُمْ وَأَرْجُلِكُمْ، وَلاَ تَـعْصَوْا فِي مَعْرُوفٍ، فَمَنْ وَفَى مِنْكُمْ فَأَجْرُهُ عَلَى اللهِ، وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا فَـعُوقِبَ فِي الدُّنْـيَا فَـهُوَ كَفَّارَةٌ لَهُ، وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا ثُمَّ سَتَـرَهُ اللهُ فَـهُوَ إِلَى اللهِ، إِنْ شَاءَ عَفَا عَنْهُ وَإِنْ شَاءَ عَاقَـبَهُ

Maksudnya: “Berbai‘ahlah kamu kepadaku bahawa sesungguhnya kamu tidak akan menyekutukan sesuatu dengan Allah, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anakmu, tidak akan mengada-adakan sesuatu secara dusta dengan penuh kesedaran antara tangan dan kaki kamu, dan tidak akan menderhaka dalam perkara ma‘ruf. Sesiapa di antara kamu menyempurnakan janji itu maka pahalanya dijamin Allah, dan sesiapa yang melanggar sesuatu daripada apa yang dijanjikannya itu, lalu Allah menghukumnya di dunia, maka itu adalah kaffarah baginya, dan sesiapa yang melanggar mana-mana janji tersebut kemudian Allah menyembunyikannya (tidak menghukumnya di dunia), maka urusannya kembali kepada Allah, sama ada Allah akan memaafkannya atau akan menyeksanya.”

Riwayat al-Bukhari (18), Muslim (1709), al-Tirmizi (1439), al-Nasa’ie (4178) dan Ahmad (22730)

Antara hikmah lainnya, ia juga bertujuan menjaga maqasid syari‘ah yang utama, iaitulah menjaga agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta.

Yang demikian kerana dengan tertegaknya hukum hudud ini, ia mampu menghalang seseorang itu daripada melakukan maksiat. Maka ia boleh menjadi jaminan kepada masyarakat sejagat, dengan menyebarkan keamanan dan keadilan, serta memperolehi ketenteraman dalam menjalani kehidupan.

Kedua: Hikmah Hudud Secara Khusus

Setiap jenayah yang dilakukan itu mempunyai hukuman hududnya yang tersendiri, dan ia berbeza-beza berdasarkan kepada jenayah yang dilakukan. Antara hikmahnya adalah:

  • Hikmah Rejam

Imam Ibn al-Qayyim menyebutkan, disyari‘atkan rejam ke atas penzina yang telah berkahwin agar dia merasai kesakitan dengan semua anggota tubuh yang digunakan untuk bersedap-sedapan dengan cara yang haram. Dan rejam ini adalah kaedah pembunuhan yang paling keji, dan tarikan untuk melakukan zina secara semula jadinya sangat kuat. Maka dijadikan hukuman yang berat sebagai balasan kepada tarikan yang kuat ini (agar orang lebih takut).

Rejam ini juga sebagai peringatan tentang hukuman Allah SWT ke atas kaum Nabi Lut A.S yang direjam dengan batu kerana hubungan sumbang mahram. (Lihat al-Solat wa Hukmu Tarikiha, hlm. 30)

  • Hikmah Potong Tangan

Telah dinyatakan dalam Mausu’ah al-Ijma’ bahawa: Salah satu tujuan Syariah Islam adalah menjaga harta yang telah Allah jadikan amanah di tangan manusia untuk digunakan dalam ketaatan kepada-Nya dan bagi tujuan mengimarahkan bumiNya  yang dijadikan sebagai tempat untuk menegakkan syariatnya. Oleh kerana itu, Allah menggalakkan  perdagangan secara halal dan mengharamkan segala bentuk keuntungan yang haram  seperti penindasan, kezaliman, dan riba. Yang paling buruk dan paling keji di antara hal tersebut adalah pencurian, kerana itu merupakan perbuatan keji yang mengakibatkan  keamanan terganggu  serta menimbulkan ketakutan di hati orang ramai. Maka Allah menetapkan hukuman bagi  pencuri  yang memenuhi syarat-syarat yang boleh dijatuhkan  hukuman ke atasnya dengan memutuskan tangan kanannya. (Lihat Mausu‘ah al-Ijma‘ fi Fiqh al-Islami,10/36)

  • Hikmah Sebatan

Apabila dilaksanakan hukuman hudud, kebiasaannya akan dipertontonkan pelaksanaannya di khalayak umum, begitu juga apabila dilaksanakan hukuman sebat. Imam al-Qurtubi menyebutkan, para ulama’ berbeza pendapat tentang maksud kehadiran orang yang ramai. Adakah maksudnya berlaku hanya kepada para penzina dan menghinanya dengan kehadiran orang ramai. Jika begitu, ia akan menghalang individu yang dikenakan hukuman had (dari terus melakukannya). Sesiapa yang hadir, melihat dan mengambil pelajaran, serta menjauhi perbuatan tersebut di samping menyebarkan apa yang berlaku maka ia akan menjadi pengajaran selepas itu. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 12/111)

Dr. Herman Pilipenko dari Siberia menyatakan bahawa merotan akan melepaskan endorphins daripada otak di mana ia akan membuatkan orang yang ketagihan arak bebas dari ketagih. Ini menyebabkan mereka akan serta-merta berhenti dari meminum arak.[1]

Semoga, perkongsian ini dapat mendidik kita agar sentiasa melaksanakan suruhan Allah SWT dan meninggalkan segala larangannya. Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Wallahu a‘lam

[1] Lihat https://www.dailymail.co.uk/news/article-2258395/How-beat-addictions-literally-Siberian-psychologists-thrash-patients-sticks-help-kick-habits.html. Diakses pada 27 Oktober 2023.

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H