Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Menempatkan orang sakit di masjid, adakah dibolehkan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:
أُصِيبَ سَعْدٌ يَوْمَ الخَنْدَقِ فِي الأَكْحَلِ، فَضَرَبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْمَةً فِي المَسْجِدِ، لِيَعُودَهُ مِنْ قَرِيبٍ فَلَمْ يَرُعْهُمْ- وَفِي المَسْجِدِ خَيْمَةٌ مِنْ بَنِي غِفَارٍ،- إِلَّا الدَّمُ يَسِيلُ إِلَيْهِمْ، فَقَالُوا: يَا أَهْلَ الخَيْمَةِ، مَا هَذَا الَّذِي يَأْتِينَا مِنْ قِبَلِكُمْ؟ فَإِذَا سَعْدٌ يَغْذُو جُرْحُهُ دَمًا، فَمَاتَ مِنْهَا.
Maksudnya: “Pada hari peperangan Khandaq, Sa‘d terluka pada bahagian urat nadi tangannya. Maka Nabi SAW memasang khemah di dalam masjid, agar Baginda dapat menjenguknya daripada dekat. Di dalam masjid juga terdapatnya khemah Bani Ghifar. Tidak ada perkara yang mengejutkan mereka – melainkan darah yang mengalir ke arah mereka (Bani Ghifar). Lantas mereka bertanya: ‘Wahai penghuni khemah, darah apakah mengalir daripada kamu datang kepada kami?’ Tiba-tiba didapati darah Sa‘d yang mengalir daripada lukanya dan beliau meninggal dunia disebabkannya.”
Riwayat al-Bukhari (463) dan Muslim (1769)
Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: “Sa’ad bin Mu’az, salah seorang pemimpin Ansar, menghadiri pertempuran Badar dan Uhud. Dia juga terluka pada Hari Khandaq, dan luka itu berdarah tanpa hentinya. Baginda Nabi SAW memerintahkan untuk merawatnya di dalam khemah di masjid, agar dia sembuh dengan segera, dan dia dirawat oleh seorang wanita yang dikenali sebagai “Rufaidah” yang merawat pesakit. Sa’ad memohon kepada Allah supaya tidak mematikannya sehingga dia melihat balasan kepada Bani Quraizah, yang telah mengkhianati perjanjian dan bersama, dan akhirnya, doanya terkabul. Beliau tidak meninggal sehingga orang-orang Bani Quraizah dibunuh, dan wanita serta anak-anak mereka dijadikan tawanan perang.” Hadith ini menjadi dalil bolehnya untuk tidur di masjid, dan meletakkan orang sakit di dalamnya walaupun dia dalam terluka. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/128-129)
Justeru, menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa dibolehkan menempatkan orang yang sakit di dalam masjid walaupun orang tersebut mengalami luka sebagaimana hadith ini.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ
Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”
Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H