#3967: Hadith Unais Tentang Hukuman Zina

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan maksud  اغْدُ يَا أُنَيْسُ dalam hadith yang menceritakan tentang hukum zina?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kami bawakan terlebih dahulu hadith yang saudara nyatakan, diriwayatkan daripada Abu Hurairah dan Zaid bin Khalid al-Juhani R.Anhuma, kata mereka:

إِنَّ رَجُلًا مِنَ الأَعْرَابِ أَتَى رَسُولَ اللَّهِ ﷺ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَنْشُدُكَ اللَّهَ إِلَّا قَضَيْتَ لِي بِكِتَابِ اللَّهِ، فَقَالَ الخَصْمُ الآخَرُ: وَهُوَ أَفْقَهُ مِنْهُ، نَعَمْ فَاقْضِ بَيْنَنَا بِكِتَابِ اللَّهِ، وَأْذَنْ لِي، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: قُلْ، قَالَ: إِنَّ ابْنِي كَانَ عَسِيفًا عَلَى هَذَا، فَزَنَى بِامْرَأَتِهِ، وَإِنِّي أُخْبِرْتُ أَنَّ عَلَى ابْنِي الرَّجْمَ، فَافْتَدَيْتُ مِنْهُ بِمِائَةِ شَاةٍ، وَوَلِيدَةٍ، فَسَأَلْتُ أَهْلَ العِلْمِ، فَأَخْبَرُونِي أَنَّمَا عَلَى ابْنِي جَلْدُ مِائَةٍ وَتَغْرِيبُ عَامٍ، وَأَنَّ عَلَى امْرَأَةِ هَذَا الرَّجْمَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَأَقْضِيَنَّ بَيْنَكُمَا بِكِتَابِ اللَّهِ، الوَلِيدَةُ وَالغَنَمُ رَدٌّ عَلَيْكَ، وَعَلَى ابْنِكَ جَلْدُ مِائَةٍ، وَتَغْرِيبُ عَامٍ، اغْدُ يَا أُنَيْسُ إِلَى امْرَأَةِ هَذَا، فَإِنِ اعْتَرَفَتْ فَارْجُمْهَا، قَالَ: فَغَدَا عَلَيْهَا، فَاعْتَرَفَتْ، فَأَمَرَ بِهَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ، فَرُجِمَتْ

Maksudnya: “Sesungguhnya seorang lelaki daripada Arab Badwi datang menemui Rasulullah SAW, lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, aku memohon kepadamu atas nama Allah (agar tidak memutuskan) melainkan engkau memutuskan untukku berdasarkan kitab Allah.’ Lalu pihak lawan pula berkata – dan dia lebih faham daripadanya (yang pertama) – : ‘Ya, putuskanlah antara kami berdasarkan kitab Allah dan izinkanlah aku untuk berbicara.’ Maka, Rasulullah SAW bersabda: ‘Katakanlah.’ Dia berkata: Sesungguhnya anakku bekerja untuk orang ini, lalu dia berzina dengan isterinya. Aku diberitahu bahawa (hukuman) ke atas anakku ialah rejam, maka aku menebusnya dengan bayaran 100 ekor kambing serta seorang hamba perempuan. Setelah itu, aku bertanya kepada ahli ilmu dan mereka mengkhabarkan kepadaku bahawa (hukuman) ke atas anakku adalah 100 kali sebatan serta dibuang daerah selama setahun. Manakala hukuman ke atas isteri orang ini pula ialah rejam. Rasulullah SAW bersabda: ‘Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya aku akan memutuskan antara kamu berdua berdasarkan Kitab Allah. Hamba perempuan dan kambing dipulangkan semula kepada kamu dan ke atas anak engkau (hukumannya) 100 kali sebatan dan dibuang daerah selama setahun. Wahai Unais, pergilah menemui isteri orang ini. Sekiranya dia mengaku (telah berzina), maka rejamlah dia.’ Dia berkata: Keesokan harinya, dia (Unais) pergi menemui perempuan itu dan dia mengakuinya (telah berzina). Maka, Rasulullah SAW memerintahkannya agar direjam lalu dia direjam.”

Riwayat al-Bukhari (2724) dan Muslim (1697)

Berbalik kepada persoalan yang saudara ajukan, perkataan (اغْدُ) merupakan kata perintah bagi kata kerja (غَدَا – يَغْدُو – غَدْوًا – غَدَاوَةً) yang bermaksud hari selepas hari ini. (Lihat Lisan al-‘Arab, 15/117)

Imam Ibn hajar al-‘Asqalani mengatakan, perkataan (اغْدُ) menunjukkan bahawa yang dimaksudkan adalah pergi dan menuju seperti mana yang dimaksudkan dengan bertolak, dan hakikat perkataan ‘pergi’ ini tidak boleh dilewatkan sehingga ke awal keesokan pagi, sebagaimana ‘bertolak’ tidak boleh dilewatkan sehingga ke tengahari keesokannya. (Lihat Fath al-Bari, 4/346)

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam berkata, perkataan (اغْدُ) berasal dari perkataan (الغُدُوُّ) yang bermaksud pergi pada keesokan harinya. Dan dikatakan juga bahawa ia bermaksud pergi secara mutlak sahaja, yakni berpagi-pagian (bersegera) pada subuh esok. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/214)

Dalam erti kata lain, yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dengan kata perintah  (اغْدُ) itu boleh merujuk kepada 2 maksud:

  • Bersegera pergi kepada wanita yang dituduh melakukan zina tersebut tanpa menunggu esok hari.
  • Bersegera dari awal pagi esok untuk bertemu dengan wanita yang dituduh melakukan zina tersebut.

Beginilah antara yang dapat kami kongsikan serba sedikit mengenai maksud sabda Baginda SAW ( اغْدُ يَا أُنَيْسُ). Saudara juga boleh membuka syarahan-syarahan ulama’ dalam kitab atau pengajian-pengajian mereka untuk mendapatkan maklumat yang lebih lengkap.

Semoga kita semua beroleh manfaat dari perkongsian ini, dan menyebarkannya kepada orang lain. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H