#3969: Pendapat Ulama Tentang Kerja yang Paling Mulia atau Paling Baik

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang pendapat ulama’ berkenaan kerja yang paling mulia atau paling baik?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِن رِّزْقِهِ ۖ وَإِلَيْهِ النُّشُورُ

Maksudnya: “Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaan-Nya).

Surah al-Mulk (15)

Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di berkata: Maksudnya, Dia-lah yang menundukkan bumi untuk kamu agar kamu dapat memperoleh apa sahaja yang kamu perlukan, seperti bercucuk tanam, mendirikan bangunan, membuat jalan yang menghubungkan ke tempat yang jauh dan pelbagai negara. “Maka berjalanlah di segala penjurunya,” maksudnya untuk mencari rezeki dan penghasilan, dan makanlah sebahagian daripada rezekinya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 552)

Berkenaan persoalan di atas, para ulama’ berbeza pendapat berkenaan jenis pekerjaan apakah yang paling baik?

  • Al-Mawardi berkata: “Pekerjaan yang paling baik adalah pertanian, kerana ia lebih mendekati kepada sifat tawakkal.”
  • Al-Nawawi berkata: “Pekerjaan yang paling baik adalah pekerjaan manusia dengan tangannya. Apabila ia pertanian, maka ia adalah pekerjaan yang terbaik, kerana di dalamnya mencakupi pekerjaan tangan dan di dalamnya terdapat unsur tawakkal. Selain itu, kerana di dalamnya terdapat manfaat yang bersifat umum untuk manusia, binatang melata dan burung-burung.”
  • Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Pekerjaan yang terbaik adalah daripada harta orang-orang kafir, iaitu dengan berjihad. Inilah pekerjaan Nabi SAW, kerana di dalamnya terdapat unsur meninggikan kalimat Allah.”
  • Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di berkata: “Para ulama’ berbeza pendapat mengenai pekerjaan duniawi yang paling utama. Antara mereka ada yang mengutamakan pertanian dan antara mereka juga ada yang mengutamakan perdagangan. Sebahagian ulama lain mengutamakan pekerjaan dengan tangan, daripada pembuatan dan kemahiran kraftangan.”

Hal yang paling baik diucapkan dalam masalah ini adalah: Sesungguhnya pekerjaan yang paling utama adalah pekerjaan yang sesuai dengan keadaan seseorang. Seluruh pekerjaan hendaklah bersifat bersih dan tidak ada penipuan serta menegakkan kewajiban dari pelbagai sudut.”

Ibn Muflih dalam al-Adab al-Syar’iyyah berkata, bahawa kesimpulannya sebagai berikut:

“Sunat hukumnya bekerja walaupun sudah berkecukupan, sebagaimana juga dibolehkan bekerja yang halal demi menambah harta dan pangkat, kesejahteraan, kenikmatan, dan dalam rangka mensejahterakan keluarga, disertai dengan keselamatan agama, harga diri, sifat rendah hati dan dalam rangka menyelesaikan tanggungjawab.

Bekerja menjadi wajib hukumnya bagi orang yang tidak memiliki makanan asasi dan orang yang berkewajiban menafkahkan keluarganya berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

كَفَى بِالمَرْءِ إثْمًا أَنْ يحْبِسَ عَمَّنْ يَمْلِكُ قُوتَهُ

Maksudnya: “Cukuplah seseorang dianggap berdosa dengan mengabaikan orang yang menjadi tanggungannya.”

Riwayat Muslim (996)

Al-Qadhi berkata: “Bekerja yang bukan bertujuan untuk menimbun harta, melainkan hanya sekadar sebagai wasilah untuk taat kepada Allah, sebagai hubungan persaudaraan atau bersikap ‘iffah (menjaga kehormatan diri) di hadapan manusia, maka ia menjadi lebih utama. Kerana di dalamnya terdapat manfaat untuk orang lain dan untuk dirinya sendiri. Ia menjadi lebih utama daripada meluangkan waktu hanya untuk ibadat sunat, kerana di dalamnya terdapat manfaat untuk orang lain. Sebaik-baik manusia adalah orang yang dapat memberikan manfaat kepada orang lain.”

Inilah juga sepertimana dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam kitabnya, Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (4/220).

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H