#3970: Menggunakan Tangan Kiri Ketika Makan Kerana Terdapat Masyaqqah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bolehkah seseorang yang mengalami penyakit kulit pada tangan kanan menggunakan tangan kirinya untuk makan ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

(Surah al-Ahzab: 21)

Ayat di atas menunjukkan bahawa sesungguhnya telah ada bagi kamu (wahai orang-orang yang beriman) pada perkataan-perkataan Nabi SAW, perbuatan-perbuatannya, dan keadaan-keadaannya contoh teladan yang baik, agar kamu semua dapat mengikutinya. Maka, berpeganglah dengan sunnahnya kerana sesungguhnya ia dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Begitu juga, perbanyakkanlah mengingati Allah dan memohon keampunan daripada-Nya, serta bersyukur kepada-Nya dalam setiap keadaan. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 420)

Diriwayatkan daripada  Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.

Riwayat Ahmad (8952), Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya kuat.

Islam dikenali sebagai agama yang sempurna kerana ia membimbing manusia dalam segala aspek kehidupan, dari yang paling kecil hinggalah kepada yang terbesar. Selain itu, Nabi Muhammad SAW juga digambarkan sebagai individu yang luar biasa, kerana Baginda telah menyampaikan wahyu-wahyu Allah dan ajaran agama kepada  umatnya dengan sempurna.

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa Rasulullah SAW telah mengajar adab-adab makan seperti membaca bismillah, menggunakan tangan kanan serta mengambil makanan yang paling hampir dalam hidangan. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Umar bin Abu Salamah, bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya:

سَمِّ اللَّهَ، وَكُلْ بيَمِينِكَ، وَكُلْ ممّا يَلِيكَ

Maksudnya: “Bacalah bismillah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang paling hampir denganmu.”

Riwayat al-Bukhari (5376) dan Muslim (2022)

Nabi SAW seringkali mengutamakan dan mendahulukan bahagian kanan untuk sebahagian besar urusan seharian yang melibatkan kebaikan. Daripada ‘Aisyah R.Anha:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِي تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ فِي شَأْنِهِ كُلِّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW membiasakan diri mendahulukan yang kanan dalam memakai selipar, menyikat rambut, bersuci dan dalam setiap urusan kehidupan sehariannya.”

Riwayat al-Bukhari (168)

Dalam isu ni makan menggunakan tangan kiri adalah perbuatan yang menyelisihi adab yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW. Ini kerana terdapat hadith yang melarang menggunakan tangan kiri ketika makan sebagaimana yang diriwayatkan daripada Jabir R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا تَأْكُلُوا بالشِّمالِ، فإنَّ الشَّيْطانَ يَأْكُلُ بالشِّمالِ.

Maksudnya: Janganlah kalian makan dengan tangan kiri. Sesungghuhnya syaitan makan dengan tangan kiri.

Riwayat Muslim (2019)

Imam al-Nawawi berpandangan bahawa makan dan minum dengan tangan kiri hanyalah makruh dan tidak sampai ke tahap haram, dan dalam masa sama beliau berpesan agar hendaklah menjauhi perbuatan-perbuatan yang menyerupai perlakuan syaitan dengan semampu mungkin. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 13/190-191

Justeru, dalam keadaan di mana saudara mengalami kecederaan pada tangan kanan, kami katakan bahawa tidak ada masalah atau kesalahan jika saudara menggunakan tangan kiri untuk makan atau minum. Penggunaan tangan kanan dalam makan adalah sunat dan bukan wajib menurut pandangan beberapa ulama kerana ia lebih kepada adab dan etika dalam kehidupan. Oleh itu, tidak ada dosa atau salahnya jika saudara memilih untuk menggunakan tangan kiri ketika terdapat masyaqqah.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H