#3978: Pendapat Tabib Berkenaan Tabiat Makan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah tabib melarang daripada kita memakan makanan secara melampau?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami kemukakan di sini: Daripada Miqdam bin Ma’di Karib RA, beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ، بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أَكَلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ، فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ، وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ، وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ

Maksudnya: “Tidaklah seorang anak Adam memenuhi satu tempat yang lebih teruk dari (memenuhi) perutnya. Cukuplah bagi anak Adam makanan yang boleh menegakkan tulang belakangnya, jika boleh (lebih dari itu) maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumnya dan sepertiga untuk nafasnya.”

Riwayat Ahmad (4/132), al-Tirmizi (2380), al-Nasaie (6769) (6770) dan Ibn Majah (3349). Al-Tirmizi berkata hadis ini hasan

Daripada hadis ini ramai ulama memberi pandangan antaranya:

  • Al-Haris bin Kaladah (pakar perubatan Arab) berkata: “Mengisi perut secara berlebihan merupakan punca utama penyakit.”
  • Al-Hasan berkata: “Hai anak Adam makanlah dengan memenuhi satu pertiga perutmu dan minumlah satu pertiga serta berilah ruang satu pertiga untuk perutmu bernafas supaya kamu dapat berfikir.”

Berkata sebahagian para tabib yang terdahulu:

  • “Sesiapa yang menghendaki kesihatan tubuh badan maka kurangkanlah makan dan minum dan sesiapa yang menghendaki kesihatan hati maka tinggalkanlah dosa.”
  • Thabit bin Qurrah berkata: “Kerehatan tubuh badan ialah dengan kurangnya makan, dan kerehatan jiwa ialah dengan kurangnya dosa dan kerehatan lisan ialah dengan kurangnya bercakap.”
  • Yahya bin Mandah meriwayatkan di dalam kitab Manaqib Imam Ahmad dengan sanadnya daripada Imam Ahmad, bahawa beliau ditanya tentang sabda Nabi SAW: “Satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman, dan satu pertiga untuk pernafasan. Maka beliau berkata: “Satu pertiga untuk makanan adalah qut (bijirin), satu pertiga untuk minuman adalah kekuatan, dan satu pertiga lagi untuk pernafasan adalah ruh.”

Imam al-Qurthubi juga menegaskan, budaya banyak makan, hobi memasak, adalah kebiasaan orang kafir. Beliau menyebut:

وَقَدْ ذَمَّ اللَّهُ تَعَالَى الْكُفَّارَ بِكَثْرَةِ الْأَكْلِ فَقَالَ: وَالَّذِينَ كَفَرُوا يَتَمَتَّعُونَ وَيَأْكُلُونَ كَما تَأْكُلُ الْأَنْعامُ وَالنَّارُ مَثْوىً لَهُمْ” فَإِذَا كَانَ الْمُؤْمِنُ يَتَشَبَّهُ بِهِمْ، وَيَتَنَعَّمُ بِتَنَعُّمِهِمْ فِي كُلِّ أَحْوَالِهِ وَأَزْمَانِهِ، فَأَيْنَ حَقِيقَةُ الْإِيمَانِ، وَالْقِيَامُ بِوَظَائِفِ الْإِسْلَامِ؟! وَمَنْ كَثُرَ أَكْلُهُ وَشُرْبُهُ كَثُرَ نَهَمُهُ وَحِرْصُهُ، وَزَادَ بِاللَّيْلِ كَسَلُهُ وَنَوْمُهُ، فَكَانَ نَهَارَهُ هَائِمًا، وَلَيْلَهُ نَائِمًا

Maksudnya: “Allah mencela orang kafir yang banyak makan. Allah berfirman: “Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.”

“Oleh kerana itu, apabila ada orang mukmin yang meniru budaya dan trend mereka, dan menikmati segala kenikmatan dunia setiap saat, lantaran itu dimana hakikat imannya dan pembudayaan perlaksanan Islam pada dirinya?!  Barangsiapa yang banyak makan dan minum, maka dia akan semakin rakus dan tamak, bertambah malas dan banyak tidur di malam hari. Siang harinya digunakan untuk makan dan minum, sedangkan malamnya hanya untuk tidur.” (Lihat Tafsir al-Qurthubi, 11/67).

(Lihat Syarah Hadis 40, hlm. 508-511)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H