Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Siapakah Abu Musa al-Asy’ari dan benarkah beliau juga meriwayatkan hadis?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya: “Nabi Muhammad (SAW) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.”
(Surah al-Fath: 29)
Nama sebenar Abu Musa al-Asy’ari ialah Abdullah bin Qais RA sebagaimana yang disebut di dalam hadis ketika Nabi SAW mendoakannya. Doa Nabi SAW kepadanya:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِعَبْدِ اللهِ بنِ قَيْسٍ ذَنْبَهُ، وَأَدْخِلْهُ يَوْمَ القِيَامَةِ مُدْخَلاً كَرِيْماً
Maksudnya: “Ya Allah, Kau ampunkanlah bagi Abdullah bin Qais akan dosanya dan Engkau masukkanlah dia pada hari akhirat kelak dengan kemasukan yang mulia.”
Riwayat al-Bukhari (4323)
Beliau lebih dikenali dengan nama kunniyahnya Abu Musa al Asy’ari dan Abu Musa telah masuk Islam di Makkah lalu berhijrah ke Habsyah. Peperangan pertama yang disertainya adalah al-Khaibar. Tambahan pula, Abu Musa berasal daripada kabilah Bani Asy’ari (Kaum Asy’ariyyiin) di Yaman ini.
Abu Musa al Asy’ari merupakan seorang yang soleh, alim, rajin beribadah, kuat menuntut ilmu dan seorang berani. Selain itu, Abu Musa merupakan Qari al-Quran (pengajar al-Quran) bagi orang Basrah dan mengajar mereka tentang agama. Di samping itu, Allah SWT telah mengurniakan suara yang luar biasa kepada Abu Musa al Asy’ari. Kalau beliau membaca Al Quran, suaranya akan mendayu-dayu dan menggetarkan hati sesiapa yang mendengarnya. Para sahabat tidak akan meninggalkan masjid apabila beliau sedang membaca al-Quran. Nabi SAW pernah bersabda:
لَقَدْ أُعْطِيَ أَبُو مُوْسَى مِزْمَاراً مِنْ مَزَامِيْرِ آلِ دَاوُد
Maksudnya: “Allah SWT telah memberi Abu Musa seruling daripada seruling-seruling keluarga Daud.”
Riwayat Ibn Hibban (892)
Abu Musa juga seorang yang jujur sehingga mendapat kepercayaan daripada Saidina Ali sebagai wakilnya dalam peristiwa al-Tahkim untuk melakukan perundingan. Antara pujian dan kelebihan beliau:
- Al-Ijliy berkata: “Umar telah menghantarnya ke Basrah sebagai ketua di sana dan mengajarkan mereka al-Quran dan agama.”
- Al-Aswad bin Yazid pernah berkata: “Aku tidak pernah melihat di Kufah orang yang lebih alim daripada Ali dan Abu Musa.”
- Masruq juga pernah berkata: “Hakim dalam kalangan para sahabat ada 6 orang: Umar, Ali, Ibn Mas’ud, Ubai bin Ka’ab, Zaid bin Thabit dan Abu Musa.”
Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan tahun kewafatannya. Abu Musa wafat di Kufah dan dikatakan juga di Makkah pada tahun 42 hijrah. Selain itu, dikatakan beliau wafat pada tahun 44 hijrah ketika berusia 63 tahun. Sebagaimana Al-Zahabi juga menyetujui bahawa Abu Musa telah wafat pada bulan Zulhijjah tahun 44 hijrah. (Lihat Syarah Hadis 40, hlm. 496-497 )
Antara hadith yang diriwayatkan oleh beliau ialah:
Daripada Abu Burdah daripada bapanya Abu Musa al-Asy’ari R.Anhuma, bahawa Nabi SAW mengutusnya ke Yaman dan bertanya kepadanya tentang minuman yang dibuat di Yaman.
فَقَالَ: وَمَا هِيَ؟ قَالَ: الْبِتْعُ وَالْمِزْرُ، فَقِيلَ لِأَبِي بُرْدَةَ: وَمَا الْبِتْعُ؟ قَالَ: نَبِيذُ الْعَسَلِ، وَالْمِزْرُ نَبِيذُ الشَّعِيرِ، فَقَالَ: كُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ
Maksudnya: “Beliau bertanya: “Apakah itu? “Abu Musa berkata: “Al-Bit’u dan al-Mizru”. Ditanyakan kepada Abu Musa: “Apakah itu al-Bit’u?” Beliau menjawab: “Saripati madu dan al-Mizru pula adalah saripati gandum”. Maka Rasulullah berkata: “Semua yang memabukkan adalah haram.”
Riwayat al-Bukhari (4343)
Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H