#3987: Benarkah Qadha’ dan Qadar Telah Tertulis Sebelum Ciptaan Langit dan Bumi?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Ada orang kata qadha’ dan qadar telah dituilis di Luh Mahfuz sebelum ciptaan langit dan bumi beribu-ribu tahun lalu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Beriman kepada qadha’ dan qadar termasuk dalam rukun iman yang enam yang wajib kita yakini. Hadith Ibn Umar bin al-Kattab yang lebih dikenali sebagai hadith Jibril menyebut tentang iman. Antaranya:

 قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنِ الْإِيمَانِ. قَالَ: «أَنْ تُؤْمِنَ بِاللهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ» قَالَ: صَدَقْتَ.

Maksudnya: Kemudian dia bertanya lagi: ‘Ceritakan kepadaku tentang Iman.’ Lalu Baginda SAW bersabda:  ‘Engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, Rasul-Rasul-Nya, hari akhirat dan engkau beriman kepada takdir yang baik dan yang buruk.’ Kemudian dia berkata: ‘Anda berkata benar.’

Riwayat Muslim (8) pada permulaan kitab al-Iman

Qadar ialah menetapkan kadar sesuatu sebelum memutuskannya agar ia berlaku. Manakala Qada’ pula ialah menjadikannya ia berlaku mengikut apa yang ditetapkan. Ini bermakna, Qadar berlaku lebih dahulu daripada Qada’, dan kedua-duanya adalah saling lazim-melazimi dan tidak mungkin berpisah.

Ibn al-Athir mengumpamakan dengan mengatakan Qadar adalah asas atau tapak binaan, dan Qada’ pula ialah binaan yang dibangunkan di atas asas tersebut. Sayyid Sabiq melalui kitabnya Aqidah Islam menyebut, telah disebut berulang kali di dalam al-Quran al-Karim masalah qadar atau takdir, antaranya:

Segala sesuatu terlaksana dengan takdir Tuhan. Firman Allah SWT:

وَكُلُّ شَىْءٍ عِندَهُۥ بِمِقْدَارٍ

Maksudnya: “Dan segala sesuatu itu di sisi Tuhan adalah ketentuan takdir.”

(Surah al-Ra’d: 8)

Al-Maragi mengulas: Setiap sesuatu mempunyai batas waktu yang telah ditentukan iaitu tidak lebih dan tidak kurang.

Segala sesuatu diciptakan dengan takdir sebagaimana firman Allah SWT:

وَإِن مِّن شَىْءٍ إِلَّا عِندَنَا خَزَآئِنُهُۥ وَمَا نُنَزِّلُهُۥٓ إِلَّا بِقَدَرٍ مَّعْلُومٍ

Maksudnya: “Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami-lah khazanahnya, dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan ukuran yang tertentu.”

(Surah al-Hijr: 21)

Sayyid Qutb berkata: Hanya kepada Allah SWT pulangnya segala sesuatu dan pulangnya setiap orang tepat pada waktu nya yang ditetapkan.

Segala sesuatu diciptakan dengan takdir. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT:

إِنَّا كُلَّ شَىْءٍ خَلَقْنَـٰهُ بِقَدَرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu itu dengan takdir.”

(Surah al-Qamar: 49)

Al-Maraghi berkata: “Sesungguhnya segala sesuatu yang terjadi dalam kehidupan dunia ini, adalah ketentuan Allah SWT dan pembentukannya, menurut ketentuan hikmah-Nya Yang Maha Bijaksana dan aturan-Nya yang menyeluruh dan sesuai dengan sunnah-sunnah yang Dia letakkan pada makhluk-Nya.”

Kesimpulan yang dapat diambil daripada ayat di atas ialah bahawa makna qadar atau takdir itu ialah suatu peraturan yang tertentu yang telah dibuat oleh Allah SWT untuk segala yang ada di alam semesta yang maujud ini.

Oleh itu, peraturan-peraturan tersebut merupakan undang-undang umum atau kepastian yang diikatkan di dalamnya sebab dengan musababnya, juga antara sebab dan akibatnya. Imam al-Nawawi Rahimahullah memberikan definisi takdir itu dan berkata: “Sesungguhnya segala sesuatu yang diciptakan oleh Allah SWT sudah digariskan sejak zaman dahulu lagi. Allah SWT Maha Mengetahui setiap yang terjadi pada segala sesuatu tersebut dalam waktu-waktu yang telah ditentukan, sesuai dengan garis yang ditetapkan oleh-Nya. Oleh itu, terjadinya hal ini, pasti akan sesuai menurut sifat-sifat dan keadaannya yang khusus, tepat seperti yang digariskan oleh Allah SWT itu.”

Dalam Syarah Jauharah al-Tauhid oleh Syeikh Ibrahim al-Laqqani menyatakan, mengenai makna dari Qada’ dan Qadar telah menjadi perselesihan antara Asya’irah dan Maturidiah. Makna Qadar menurut Asya’irah adalah:

إِيْجَادُ الله الأشْيَاء عَلَى قَدَرٍ مَخْصُوصٍ وَوَجْهٍ مُعَيَّن أَرَادَهُ تَعَالىَ

Maksudnya: “Allah menjadikan segala sesuatu di atas ketetapan yang dikhususkan dan rupa yang ditentukan yang dikehendaki oleh Allah SWT.”

Berdasarkan makna ini, maka Qadar adalah sifat fi’il kerana ia merupakan satu ibarat daripada kejadian dan kejadian atau al-ijad adalah di antara sifat-sifat af’al. Menurut Maturidiah pula tentang Qadar:

تَحْدِيْدُ الله أَزْلاً كُلَّ مَخْلُوقٍ بِحَدِّهِ الَّذِى يُوْجَدُ عَلَيْهِ مِنْ حُسْنٍ وَقُبْحٍ وَنَفْعٍ وَضُرٍّ إِلىَ غَيْرِ ذَلِكَ أَي عِلْمُهُ تَعَالَى أَزْلاً صِفَاتِ الْمَخْلُوقَاتِ.

Maksudnya: “Pembatasan Allah pada azali akan tiap-tiap makhluk dengan batasan-Nya yang Dia menjadikan atasnya berupa kebaikan, keburukan, kemanfaatan dan kemudharatan hingga yang lainnya dalam erti mengetahui Allah SWT pada azali akan semua sifat-sifat makhluk.”

Berdasarkan pengertian ini, maka Qadar adalah  di antara sifat-sifat zat, sedangkan Qada’ menurut Asya’irah pula adalah:

إرَادَةُ الله الأَشْيَاءَ فِي الأَزْلِ عَلَى مَا هِىَ عَلَيْهِ فِيْمَا لاَ يَزَالُ

Maksudnya: “Kehendak Allah SWT akan segala sesuatu pada azali berdasarkan apa-apa yang sesuai atasnya pada masa yang sudah tidak azali.”

Oleh itu, Qada’ adalah di antara sifat-sifat zat berdasarkan pengertian ini. Manakala Qada’ menurut Maturidiah pula ialah:

إِيْجَادُ الله الأَشْيَاء مَعَ زِيَادَةِ الإحْكَامِ وَالإِتْقَان

Maksudnya: “Allah menjadikan segala sesuatu beserta dengan tambahan pengukuhan dan penelitian.”

Qada’ menurut pengertian ini adalah di antara sifat-sifat af’al. Dengan demikian, makna Qadar itu ialah bersifat hadis dan Qada’ itu bersifat qadim menurut Asya’irah. Sedangkan menurut Maturidiah, Qada’ itulah yang hadith dan Qadar adalah qadim.

Pengulas bait ini membawa kalam musannif tersebut di atas mazhab Maturidiah dalam hal Qada’ dan Qadar, bukan mazhab Asya’irah kerana Qada’ dari sudut bahasa mempunyai lebih kurang tujuh makna dan makna yang paling masyhur adalah al-Hukmu iaitu “penghukuman” yang kembalinya kepada fi’il (perbuatan) maka yang sesuai adalah menafsirkannya pada istilah dengan fi’il. Adapun Qadar maka tidak pernah datang bahawa maknanya dari sudut bahasa adalah fi’il, maka yang sesuai adalah tidak menafsirkannya pada istilah dengan fi’il melainkan dengan ilmu.

Maka kita dapat melihat bahawa Ajhuri menjadikan Qada’ adalah iradah beserta taalluq yang azali menurut qaul yang pertama atau ilmu beserta taalluq yang azali menurut qaul yang kedua. Berdasarkan setiap dari dua qaul ini, maka Qada’ adalah qadim. Menjadikan Qadar adalah penjadian di atas kesesuaian iradah atau penjadian di atas kesesuaian ilmu. Berdasarkan setiap dari dua qaul ini, maka Qada’ adalah baru.

Dalam menjawab persoalan ini, kami kemukakan sebuah hadith di mana Nabi SAW bersabda:

كَتَبَ اللهُ مَقَادِيرَ الْخَلَائِقِ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ

Maksudnya: “Allah telah menulis segala takdir makhluk lima puluh ribu tahun sebelum Dia menjadikan langit dan bumi.”

Riwayat Muslim (2653) dalam kitab al-Qadr

Imam al-Nawawi menyebut: Ulama’ berkata: “Hadith ini menjelaskan penentuan waktu penulisan takdir makhluk di dalam Lauh al-Mahfuz. atau yang lainnya, bukan penentuan takdir itu sendiri, kerana takdir itu azali, tanpa permulaan.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/3)

Sesungguhnya, qadha’ dan qadar wajib diimani oleh orang Islam. Walaupun begitu, ia hendaklah seiring dengan berusaha dan berdoa kepada Allah dalam mengimani rukun iman yang berkaitan qadha’ dan qadar. (Lihat Syarah Hadis 40, hlm. 211)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H