#399 Berbual dalam Masjid

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum bersembang-sembang dan bertanya khabar di dalam masjid? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّـهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ

Maksudnya:(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.”

(Surah al-Nur: 36)

Ibn Kathir menyebutkan bahawa Allah SWT memerintahkan untuk memuliakan masjid dengan menyucikannya daripada segala kotoran, perkara yang sia-sia, perkataan atau perbuatan yang tidak berkait dengannya. Ini juga adalah pendapat Ibn Abbas, ‘Ikrimah, al-Dhahhak, dan ramai lagi dalam kalangan ulama tafsir. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 6/62)

Berbual-bual di dalam masjid

Mengenai perkara ini, al-Nawawi menyebutkan bahawa diharuskan untuk bercakap berkaitan perkara-perkara yang mubah [1] di dalam masjid sama ada urusan dunia atau selainnya, sekalipun ada diselangi ketawa dan sebagainya selagimana masih dalam ruang lingkup yang harus. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/180)

Terdapat sebuah hadith daripada Jabir bin Samurah R.A, beliau berkata:

كَانَ لاَ يَقُومُ مِنْ مُصَلاَّهُ الَّذِى يُصَلِّى فِيهِ الصُّبْحَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ فَإِذَا طَلَعَتْ قَامَ وَكَانُوا يَتَحَدَّثُونَ فَيَأْخُذُونَ فِى أَمْرِ الْجَاهِلِيَّةِ فَيَضْحَكُونَ وَيَتَبَسَّمُ

Maksudnya:Nabi SAW tidak bangun dari tempat yang Baginda dirikan solat Subuh sehinggalah terbit matahari. Apabila terbitnya matahari, Baginda bangun dan mereka pun bersembang-sembang mengenai perkara Jahiliyyah sehingga ketawa sedangkan Nabi SAW pula hanya tersenyum.

Riwayat Muslim (6179)

Hadith di atas menunjukkan bahawa diharuskan untuk bercakap-cakap berkenaan khabar-khabar Jahiliyyah dan selainnya mengenai hal-hal umat. Di samping itu, diharuskan juga ketawa. Namun, yang lebih baik adalah cukup sekadar tersenyum sebagaimana dilakukan oleh Baginda SAW. Tambahan lagi, para ulama menyatakan bahawa makruh hukumnya memperbanyakkan ketawa, malah di sisi ahli ilmu ia adalah sangat tercela. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 15/79)

Selain itu, Ibn Qudamah juga ada menyebutkan bahawa makruh hukumnya lalai dalam percakapan berkaitan urusan dunia. (Lihat al-Mughni, 1/329)

Perkara yang sama juga disebutkan oleh Bekas Mufti Besar Arab Saudi, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz ketika ditanya berkenaan hukum orang yang sedang menunggu solat sambil berbual-bual mengenai perkara selain zikrullah mahupun kalam Nabi SAW di dalam masjid.

Beliau menjawab, masjid bukanlah tempat untuk membincangkan mengenai urusan dunia, tetapi tempat untuk mengingati Allah (zikrullah), membaca al-Quran, mendirikan solat, beribadah, muzakarah ilmu dan seumpamanya. Perbuatan mereka itu — yakni berbual-bual mengenai urusan dunia — adalah makruh kerana sepatutnya mereka menyibukkan diri dengan amalan yang memberi manfaat kepada mereka di hari akhirat seperti membaca al-Quran, berzikir, berbincang mengenai perkara yang bermanfaat buat mereka di hari akhirat dan lain-lain. Itulah yang sepatutnya dilakukan oleh seorang Mukmin.

Sekiranya sedikit sahaja perbualan mengenai urusan dunia, maka tidak mengapa, seperti seseorang bercakap-cakap dengan saudaranya mengenai perkara yang mendatang daripada hal keduniaan. Akan tetapi kalaulah sehingga diadakan satu majlis khas bagi membincangkan mengenai hal-hal keduniaan itu — atau sehingga berlebihan — maka hukumnya adalah makruh.[2]

Oleh itu, berbual di dalam masjid adalah harus selagimana tidak mengganggu orang lain yang sedang beribadah di dalam masjid tersebut. Diingatkan juga bahawa perbualan tersebut hendaklah dalam ruang lingkup perkara-perkara yang diharuskan dan tidak berlebih-lebihan serta bukan dalam perkara-perkara yang diharamkan seperti mengumpat, mencarut, mengadu domba dan sebagainya. Termasuklah juga bukan perkara yang sia-sia yang langsung tidak membawa sebarang manfaat bahkan lebih dekat kepada kelalaian. Terdapat sebuah hadith daripada Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW bersabda:

يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ يَتَحَلَّقُونَ فِي مَسَاجِدِهِمْ وَلَيْسَ هِمَّتُهُمْ إِلاَّ الدُّنْيَا لَيْسَ لِلَّهِ فِيهِمْ حَاجَةٌ فَلاَ تُجَالِسُوهُمْ

Maksudnya:Akan datang satu masa di mana manusia akan berkumpul di dalam masjid, sedangkan tiadalah keinginan mereka (pada waktu itu) kecuali hanya dunia semata-mata. Allah tidak memerlukan kepada apa yang mereka lakukan dan janganlah kamu duduk bersama mereka.

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (7916)

Saya juga mengambil kesempatan di sini untuk menyebutkan sebuah hadith yang tersebar dalam kalangan masyarakat, yang dikatakan bahawa Baginda SAW bersabda:

مَنْ تَكَلَّمَ بِكَلامِ الدُّنْيَا فِي الْمَسَاجِدِ ، أَوْ فِي الْمَسْجِدِ ، أَحْبَطَ اللَّهُ تَعَالَى أَعْمَالَهُ أَرْبَعِينَ سَنَةً

Maksudnya:Sesiapa yang bercakap berkaitan hal dunia di dalam masjid-masjid atau masjid maka Allah SWT akan membatalkan amalan-amalannya selama 40 tahun.”

Hadith ini adalah palsu sepertimana yang disebutkan oleh al-Shaghani. Begitu juga al-Qari menyebutkan bahawa hadith ini adalah batil dari sudut mabna (binaan matan) dan juga makna. (Lihat al-Asrar al-Marfu‘ah, hlm. 338; al-Kasyf al-Khafa’, 2/285)

Oleh itu, kami katakan bahawa hukum riwayat atau hadith ini adalah palsu dan kita tidak boleh sama sekali menyandarkannya kepada Nabi SAW ataupun menyebarkannya kepada orang lain melainkan untuk menjelaskan kepalsuannya.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat diharuskan untuk berbual-bual di dalam masjid selagimana tidak mengganggu orang lain yang sedang beribadah di dalam masjid tersebut. Pada masa yang sama, hendaklah menjaga adab-adab di dalam masjid. Selain itu, perbualan tersebut juga hendaklah dalam ruang lingkup perkara-perkara yang diharuskan dan tidak berlebih-lebihan serta bukan dalam perkara-perkara yang diharamkan atau langsung tidak memberi sebarang manfaat.

Sekalipun begitu, kami juga ingin menasihatkan jika dapat mengelakkan daripada berbual-bual kosong atau mengurangkan perbualan mengenai hal-hal dunia di dalam masjid, maka ia adalah lebih baik kerana sepatutnya seorang Mukmin itu menyibukkan diri dengan amalan yang memberi manfaat kepada mereka di hari akhirat seperti membaca al-Quran, berzikir dan berbincang mengenai perkara yang bermanfaat buat mereka di hari akhirat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 3 Februari 2022 bersamaan 1 Rejab 1443H

 

[1] Yakni perkara-perkara yang tidak ditegah dan tidak diwajibkan dalam Islam. Dalam erti kata lain, perkara-perkara yang harus. (Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=mubah.)

[2] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/6929/حكم-الاكثار-من-الكلام-في-امور-الدنيا-في-المسجد.