Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah saya menangguhkan atau melewatkan mandi wajib bagi tujuan memasak terlebih dahulu? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, secara umumnya, mandi wajib ialah mandi yang tidak sah ibadat tanpanya apabila terdapat sebab-sebab yang mewajibkan mandi. Sebab-sebabnya ialah janabah, haidh, bersalin dan mati. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/73).
Seterusnya, para ulama telah menetapkan bahawa syarat fardhu bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:
- Niat
- Menghilangkan najis jika sekiranya ada pada badan.
- Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan. (Lihat Matan Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 21).
Keduanya, sebagaimana yang kita maklumi bahawa mandi wajib tujuannya adalah untuk mengangkat hadas besar. Justeru, mandi wajib hendaklah dengan menggunakan air mutlak, yang boleh digunakan bagi mengangkat hadas dan membersihkan najis. Air mutlak ialah air yang suci lagi menyucikan iaitu air yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT. Air tersebut masih dikatakan air mutlak walaupun ia sudah berubah disebabkan lama terbiar, disebabkan tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/31).
Tambahan lagi, Dr. Wahbah al-Zuhaili ada menyebutkan beberapa contoh air mutlak. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh beliau bahawa air-air yang boleh digunakan untuk bersuci ada tujuh iaitu air laut, air hujan, air sungai, air mata air, air salji dan air sejuk. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/79).
Ketiganya, dalam menjawab soalan di atas, tidak dinafikan kadang-kadang seseorang terpaksa menangguhkan atau melewatkan mandi wajibnya kerana beberapa perkara dan sebab. Di antaranya, mungkin kerana keluar dari rumah untuk mencari makanan kerana lapar atau pergi ke pasar bagi membeli sesuatu atau terpaksa memasak terlebih dahulu atau seumpamanya.
Secara umumnya, diharamkan ke atas orang yang berjunub atau berhadas besar lima perkara:
- Solat.
- Membaca al-Quran.
- Memegang mashaf dan membawanya.
- Tawaf.
- Duduk di dalam masjid. (Lihat al-Tazhib fi Adillah Matn al-Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 40)
Oleh yang demikian, difahami bahawa memasak atau melakukan aktiviti selain daripada lima perkara di atas tidak termasuk dalam perkara yang dilarang untuk dilakukan oleh orang yang sedang berjunub atau berhadas besar. Bahkan hal ini dikuatkan lagi dengan beberapa riwayat yang menunjukkan bahawa sahabat Nabi SAW ada yang menangguhkan untuk mandi wajib — yakni tidak segera mandi wajib.
Bahkan, Imam al-Bukhari turut menamakan salah satu bab dalam kitab sahihnya (1/109) sebagai “Bab Orang Berjunub Keluar dan Berjalan di Pasar dan Selainnya.” Kemudian, beliau memasukkan dua hadith di bawah bab tersebut. Salah satunya adalah hadith daripada Qatadah bahawa Anas bin Malik menyampaikan kepada mereka bahawa:
أَنَّ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَطُوفُ عَلَى نِسَائِهِ، فِي اللَّيْلَةِ الوَاحِدَةِ، وَلَهُ يَوْمَئِذٍ تِسْعُ نِسْوَةٍ
Maksudnya: “Nabi SAW pernah bersetubuh dengan kesemua isterinya pada malam yang sama, dan Baginda mempunyai sembilan orang isteri.”
Riwayat al-Bukhari (284)
Keduanya, hadith daripada Abu Hurairah R.A, katanya:
لَقِيَنِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا جُنُبٌ، فَأَخَذَ بِيَدِي، فَمَشَيْتُ مَعَهُ حَتَّى قَعَدَ، فَانْسَلَلْتُ، فَأَتَيْتُ الرَّحْلَ، فَاغْتَسَلْتُ ثُمَّ جِئْتُ وَهُوَ قَاعِدٌ، فَقَالَ: أَيْنَ كُنْتَ يَا أَبَا هِرٍّ، فَقُلْتُ لَهُ، فَقَالَ: سُبْحَانَ اللهِ يَا أَبَا هِرٍّ إِنَّ المُؤْمِنَ لاَ يَنْجُسُ.
Maksudnya: “Rasulullah SAW bertemu denganku ketika aku dalam keadaan berjunub. Baginda memegang tanganku dan aku berjalan bersamanya sehingga Baginda duduk. Maka aku menyelinap lalu pulang ke rumah dan terus mandi. Kemudian aku datang lagi. Rasulullah SAW pada ketika itu duduk. Lantas Baginda bertanya: ‘Ke mana kamu tadi wahai Abu Hurairah?’ Aku pun memberitahu Baginda apa yang berlaku. Maka Nabi SAW bersabda: ‘Subhanallah! Wahai Abu Hurairah, sesungguhnya orang beriman itu tidak najis.’”
Riwayat al-Bukhari (285) dan Muslim (371)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menjadikan hadith ini sebagai dalil membolehkan seseorang menangguhkan mandi wajib untuk memenuhi keperluan-keperluannya terlebuh dahulu seperti memasak dan lain-lain. Hal ini adalah sebagaimana yang beliau nyatakan bahawa hadith ini mengandungi dalil yang membolehkan untuk melewatkan atau menangguhkan mandi wajib dari awal waktunya dan menunjukkan kepada keharusan untuk orang berjunub melakukan aktiviti-aktiviti (selain perkara yang dilarang ketika berhadas besar) untuk memenuhi keperluan-keperluannya sebelum dia mandi wajib.” (Lihat Fath al-Bari, 1/391).
Sekalipun tidak ada masalah bagi orang yang sedang dalam hadas besar untuk memasak, akan tetapi sebaik-baiknya mereka berwuduk terlebih dahulu sekurang-kurangnya. Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh al-Khatib al-Syirbini bahawa diqiaskan orang yang berjunub dengan perempuan yang haid dan nifas sekiranya telah berhenti darahnya. Begitu juga diqiaskan dengan perbuatan makan dan minum. Hikmah akan perkara tersebut adalah bagi meringankan hadasnya dan kebersihan. Sekiranya dia melakukan semua perkara tersebut (yakni seperti makan, minum dan tidur) dalam keadaan berjunub, hukumnya adalah makruh. Wuduk yang dimaksudkan disini ialah wuduk syar‘i (yakni sebagaimana hendak solat) dan bukannya lughawi (yakni dengan maksud perbuatan membasuh tangan). (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/195).
Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa:
كانَ رَسولُ اللهِ ﷺ إذا كانَ جُنُبًا، فأرادَ أنْ يَأْكُلَ، أوْ يَنامَ، تَوَضَّأَ وُضُوءَهُ لِلصَّلاةِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW sekiranya dalam keadaan berjunub. Kemudian, Baginda mahu makan atau tidur, Baginda akan berwuduk terlebih dahulu sebagaimana wuduknya bagi menunaikan solat.”
Riwayat al-Bukhari (288); Muslim (305)
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak mengapa seseorang yang sedang berjunub untuk memasak terlebih dahulu sebelum mandi wajib, dan hal tersebut tidak termasuk dalam perkara yang dilarang, bahkan sebaliknya nas menunjukkan ia adalah diharuskan. Sekalipun begitu, jika seseorang yang sedang berjunub dapat menyegerakan mandi wajib terlebih dahulu bagi mengangkat hadas besar yang sedang ditanggung, maka ia adalah lebih baik.
Begitu juga sekalipun tidak ada masalah bagi orang yang sedang dalam hadas besar untuk memasak, akan tetapi sebaik-baiknya mereka berwuduk terlebih dahulu sekurang-kurangnya. Tujuan dan hikmahnya akan perkara tersebut adalah bagi meringankan hadasnya dan kebersihan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ التَّوَّابِينَ ، وَاجْعَلْنِي مِنَ الْمُتَطَرِيْنَ.
Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah aku dalam kalangan orang yang bertaubat serta mengamalkan kebersihan.”
Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H