#3999: Hukuman Ke Atas Penzina Lelaki dan Wanita yang Belum Berkahwin

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukuman bagi penzina yang belum berkahwin?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَاللَّاتِي يَأْتِينَ الْفَاحِشَةَ مِن نِّسَائِكُمْ فَاسْتَشْهِدُوا عَلَيْهِنَّ أَرْبَعَةً مِّنكُمْ ۖ فَإِن شَهِدُوا فَأَمْسِكُوهُنَّ فِي الْبُيُوتِ حَتَّىٰ يَتَوَفَّاهُنَّ الْمَوْتُ أَوْ يَجْعَلَ اللَّهُ لَهُنَّ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka. Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka sampai ajal matinya, atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (dari hukuman itu).”

(Surah al-Nisa’: 15)

Imam Ibn Kathir menyebutkan, pada awal keislaman, wanita yang berzina dengan didatangkan bukti yang kukuh, hukuman mereka adalah dikurung di dalam rumah dan tidak dibenarkan untuk keluar sehinggalah dia meninggal dunia. Kerana itu, yang dimaksudkan dengan firman Allah SWT: (وَاللاتِي يَأْتِينَ الْفَاحِشَةَ) adalah zina. Manakala jalan keluar yang Allah SWT telah tetapkan sebagai pembatal bagi hukuman kurung ini.

Dinukilkan daripada Ibn ‘Abbas R.A, katanya: “Sebelum ini begitulah hukumannya, sehinggalah Allah SWT surah al-Nur dan membatalkan hukuman kurung ini dengan sebatan dan rejam.”

Begini jugalah yang diriwayatkan daripada ‘Ikrimah, Sa‘id bin Jubair, al-Hasan, ‘Ata’ al-Khurasani, Abi Soleh, Qatadah, Zaid bin Aslam dan al-Dahhak. Mereka mengatakan bahawa hukuman kurung itu telah dibatalkan, dan ia merupakan perkara yang disepakati. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/204)

Allah SWT pertamanya menurunkan hukuman kurung kepada mereka yang melakukan perbuatan zina yang terkutuk. Kemudian hukuman ini dibatalkan dengan ayat lain, firman Allah SWT:

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ ۖ

Maksudnya: “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat.”

(Surah al-Nur: 2)

Hukum ini juga thabit sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin al-Samit R.A, Rasulullah SAW bersabda:

خُذُوا عَنِّي، خُذُوا عَنِّي، فَقَدْ جَعَلَ اللهُ لَهُنَّ سَبِيلًا، البِكْرُ بِالبِكْرِ جَلْدُ مِائَةٍ، وَنَفْيُ سَنَةٍ، وَالثَّيِّبُ بِالثَّيِّبِ جَلْدُ مِائَةٍ، وَالرَّجْمُ

Maksudnya: “Ambillah dariku! Ambillah dariku! Sesungguhnya Allah telah menetapkan wanita-wanita jalan keluar (dari hukuman kurung hingga mati), iaitu wanita yang belum menikah (yang berzina) dengan lelaki yang belum menikah mereka dikenakan 100 kali sebatan dan dibuang daerah selama satu tahun, sedangkan wanita yang telah menikah (yang berzina) dengan lelaki yang telah menikah, maka mereka dikenakan hukuman 100 kali sebatan dan rejam.”

Riwayat Muslim (1690), Abu Dawud (4415), al-Tirmizi (1434), Ibn Majah (2550), Ahmad (22718) dan al-Nasa’ie (7142)

Imam al-Nawawi berkata, Rasulullah SAW menerangkan bahawa hukuman inilah jalan keluar yang disebutkan oleh Allah SWT itu. Dan para ulama’ telah bersepakat bahawa penzina yang belum berkahwin wajib dikenakan hukuman 100 kali sebatan, dan penzina yang telah berkahwin serta digauli perlu direjam. Dan tidak seorang pun ahli qiblah yang menyelisihi pandangan ini, kecuali apa yang dinukilkan dari al-Qadhi ‘Iyadh dan selainnya daripada al-Khawarij dan sebahagian al-Mu‘tazilah. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 11/189)

Hukuman sebat ini tidak boleh dilakukan sesuka hati menggunakan apa jua alatan secara semberono, bahkan terdapat ketetapan yang diletakkan sebagai kriteria alat yang boleh digunakan untuk hukuman ini. Imam al-Syaukani menghuraikan ciri-ciri cemeti yang digunakan untuk sebatan sebagai satu ranting bersaiz sederhana, tidak terlalu baru atau lama. Panjangnya adalah satu hasta dan ukur lilitnya adalah sebesar satu jari. (Lihat Nail al-Autar, 7/285)

Di bawah Seksyen 125 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560), dinyatakan bahawa alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

Kaedah sebatan juga bukan dengan nafsu amarah atau pukulan sekuat hati. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebutkan, kaedah sebatan dengan satu bentuk pukulan yang sederhana (tidak terlalu kuat dan tidak terlalu perlahan) dengan menggunakan cemeti yang sederhana (tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan). (Lihat al-Siyasah al-Shar’iyyah fi Islahi al-Ra’i wa al-Ra’iyyah, hlm. 101)

Menurut undang-undang Malaysia pula, kami bawakan contoh daripada Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560) yang membicarakan perihal kaedah sebatan hukuman zina ini. Berdasarkan yang termaktub di dalam seksyen 125 (1), disebutkan:

  • Sebelum dilaksanakan, pesalah mesti diperiksa oleh seorang pegawai perubatan kerajaan untuk diperakui bahawa kesihatannya dalam keadaan baik untuk menjalani hukuman itu.
  • Jika pesalah sedang hamil, hukuman hendaklah ditangguhkan sehingga tamat tempoh 2 bulan selepas melahirkan atau keguguran, mengikut mana-mana yang berkenaan.
  • Hukuman hendaklah dilaksanakan di depan seorang pegawai perubatan kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana yang diarahkan oleh mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh kerajaan.
  • Orang yang dilantik untuk melaksanakan hukuman hendaklah adil dan matang.
  • Orang itu hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.
  • Selepas satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan ke atas dan tidak menariknya.
  • Sebatan boleh dibuat ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit.
  • Pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut hukum syarak.
  • Jika pesalah itu lelaki, sebatan hendaklah dibuat dalam keadaan dia berdiri dan bagi perempuan, dalam keadaan duduk.
  • Jika semasa perlaksanaan hukuman sebat itu pegawai perubatan kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, hukuman hendaklah ditangguhkan sehingga diperakui semula tubuhnya sihat.[1]

Kesimpulan

Jelas berdasarkan hujjah yang kami bawakan di atas bahawa hukuman bagi penzina yang belum berkahwin, sama ada lelaki atau wanita, dikenakan sebatan oleh pemerintah sebanyak 100 kali sebatan.

Alat sebatan itu pula perlulah menepati keriteria alatan untuk hukuman sebat, iaitu dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter, atau yang menyerupai dengannya.

Semoga saudara mendapat manfaat ilmu dari perkongsian ini, seterusnya bersama mendidik anak bangsa kita agar sentiasa mentaati suruhan Allah SWT dan menjauhi segala larangannya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Wallahu a‘lam

[1] Lihat https://www.peguamsyarie.com.my/akta-tatacara-jenayah-syariah-wilayah-wilayah-persekutuan-1997/. Diakses pada 30 Oktober 2023.

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H