#4: Kesahihan Kisah Sakit Nabi Ayub A.S

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Benarkah kisah Nabi Ayub AS yang dikatakan ditimpa sakit memudaratkan sehingga berulat kakinya? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Keturunan Nabi Ayub AS

Kami mulakan dengan susur galur nasab keturunan Nabi Allah Ayyub AS. Para ulama’ telah khilaf berkenaan dengan nasabnya sehingga Abu al-Baqa’ berkata: Tidak sah pada nasabnya sesuatu pun. Walaupun begitu, Ibn Kathir mentarjihkan bahawa Nabi Ayyub dari keturunan al-Aish ibn Ishaq dan disebut bahawa ibunya adalah anak perempuan Nabi Allah Luth AS. Inilah yang dihikayatkannya daripada Ibn ‘Asakir.

Yang rajihnya, daripada pelbagai pendapat bahawa nasabnya apa yang disebutkan oleh Ibn Ishaq seperti berikut. Nabi Ayyub AS bin ‘Amush bin Zarih bin al-Aish bin Ishaq bin Ibrahim. Dikatakan nama isterinya Rahmah sebagai wanita solehah dari keturunan Nabi Allah Yusuf AS.[1]

Kisah Nabi Ayub AS Sakit

Kami nukilkan terlebih dahulu kisah di atas, seperti mana yang diceritakan oleh Ibnu Kathir dalam kitabnya, Qasas al-Anbiya’: Para ulama tafsir, sejarawan dan yang lainnya berkata: Nabi Ayyub AS adalah pemilik harta melimpah dibandingkan dengan orang-orang yang semisal dengannya, antaranya binatang ternakan, hamba sahaya, dan tanah yang luas di al-Tsaniyah (الثَّنية) di daerah Huran (حُورَانَ). Ibnu ‘Asakir menceritakan bahawa tanah itu semuanya milik Nabi Ayyub AS. Beliau memiliki ramai anak dan isteri.

Kemudian kenikmatan-kenikmatan itu diambil daripadanya dan beliau diuji dengan pelbagai musibah. Tidak ada satu bahagian pun anggota badannya yang sihat kecuali lisan dan hatinya. Beliau berzikir kepada Allah dengan keduanya. Nabi Ayyub AS sentiasa bersabar mengharapkan pahala daripada Allah. Beliau sentiasa berzikir kepada Allah di waktu malam, siang, pagi dan petang hari.

Nabi Ayyub AS menderita penyakit yang kronik sehingga teman-temannya menjauhinya, orang ramai merasa jijik, beliau diusir dari daerahnya, dibuang di tempat sampah di luar kampung halamannya dan orang ramai tidak mahu berhubungan dengannya. Tidak ada seorang pun yang mahu mendekatinya kecuali isterinya. Dialah yang memenuhi segala keperluannya. Isterinya mengetahui segala kebaikan-kebaikan Nabi Ayyub AS pada masa lampau dan kasih sayangnya kepada dirinya. Isterinya sentiasa mendampinginya, mengubatinya, dan membantunya ketika membuang hajat sehinggalah melakukan segala perkara untuk kebaikannya.

Maka keadaan si isteri pun mulai lemah dan terkikis harta bendanya. Bahkan dia juga terpaksa menjadi pembantu kepada orang lain untuk mendapatkan upah bagi membeli makanan dan memenuhi keperluannya. Semoga Allah meredhainya.

Beliau adalah seorang wanita yang sabar bersama suaminya meskipun harta dan anak keturunan mereka musnah tanpa sisa. Beliau turut merasakan musibah yang menimpa suaminya, tidak mempunyai apa-apa dan harus menjadi pembantu orang lain yang sebelumnya berada dalam kebahagian, kenikmatan, dan kecukupan. Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan hanya kepada-Nya kita kembali. Rasulullah SAW bersabda:

أَشَدُّ النَّاسِ بَلاَءً الأَنْبِيَاءُ ، ثُمَّ الصَّالِحُونَ، ثُمَّ الأَمْثَلُ فَالأَمْثَلُ

Maksudnya“Manusia yang paling berat ujiannya adalah para nabi, lalu orang-orang soleh dan seterusnya.”[2]

Baginda SAW juga bersabda:

يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ، فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صَلَابَةٌ زِيدَ فِي بَلَائِهِ

Maksudnya“Seseorang diuji sesuai dengan kadar keagamaannya. Apabila agamanya sedang kuat, maka ujiannya akan ditambah.”[3]

Semua itu menjadikan Nabi Ayyub AS lebih bersabar, mengharap pahala, memuji dan bersyukur kepada Allah. Bahkan ada sebuah peribahasa yang diambil daripada kesabaran Nabi Ayyub AS dan pelbagai bentuk ujian yang menimpanya serta begitu banyak hikmah dari kejadian yang menimpa Nabi Ayyub AS.

Daripada Mujahid, beliau berkata: Nabi Ayyub AS adalah orang pertama yang terkena penyakit gatal.

Para ulama berbeza pendapat berkaitan dengan berapa lama Nabi Ayyub AS menghadapi ujian.

  • Wahb berpendapat bahawa Nabi Ayyub AS diuji selama tiga tahun.
  • Anas berkata: Beliau diuji selama tujuh tahun satu bulan. Beliau dibuang di tempat sampah Bani Israel. Cairan-cairan mulai meleleh pada tubuhnya, kemudian Allah SWT memberikan kelapangan bagi dirinya, melipatgandakan pahalanya serta memujinya.
  • Humaid berkata: Nabi Ayyub AS menjalani ujian tersebut selama lapan belas tahun.

Al-Suddi berkata: Dagingnya mulai berjatuhan sehingga tidak tersisa sedikit pun selain tulang dan urat. Isterinya sentiasa menaburkan abu sebagai alas tidurnya.

Ketika masa berjalan demikian lama, isterinya berkata: “Wahai Ayyub, sekiranya engkau berdoa kepada Allah, nescaya Allah akan memberikan kelapangan bagimu.”

Nabi Ayyub AS menjawab: “Aku telah menjalani hidup dengan sihat selama tujuh puluh tahun. Sangat sedikit sekali bagi Allah bila aku bersabar untuk menghadapi ujian ini selama tujuh puluh tahun.” Si isteri tersentak mendengar ungkapan Nabi Ayyub AS. Si isteri juga pernah bekerja kepada orang lain untuk mendapatkan upah, serta memberi makan Nabi Ayyub AS dengan upahnya. Kemudian, orang ramai tidak mengambilnya bekerja setelah mengetahui bahawa dia adalah isteri Nabi Ayyub AS. Mereka risau tersebar penyakitnya apabila bergaul dengan isterinya. Apabila dia tidak lagi menemui orang yang mahu mengambilnya bekerja, lalu dia menjual salah satu tocang rambutnya kepada anak-anak perempuan ternama untuk membeli makanan yang baik dan banyak. Dia membawanya kepada Nabi Ayyub AS. Nabi Ayyub AS lalu bertanya: “Dari manakah engkau mendapatkan makanan-makanan ini?” Nabi Ayyub AS tidak mahu makan sebelum diberitahu asal makanan tersebut. Si isteri menjawab: “Aku bekerja dengan orang.”

Keesokan harinya, si isteri sekali lagi tidak berjaya menemui seseorang yang mahu mengambilnya bekerja. Akhirnya dia menjual tocang rambutnya yang kedua untuk membeli makanan dan memberikannya kepada Nabi Ayyub AS. Baginda menolak dan tidak mahu makan sebelum diberitahu dari mana asal makanan-makanan tersebut. Si isteri pun membuka tudungnya. Tatkala Nabi Ayyub AS melihat kepala isterinya telah botak, Nabi Ayyub AS berdoa sepertimana firman Allah SWT:

وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ

MaksudnyaDan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayyub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.”[4]

Nabi Ayyub AS mempunyai dua orang saudara. Suatu hari keduanya datang menziarahi Nabi Ayyub AS. Namun mereka tidak sanggup untuk mendekatinya kerana bau busuk yang sangat menyengat. Mereka berdua berdiri dari jauh. Salah seorang daripada mereka berkata kepada saudaranya: “Sekiranya Allah mengetahui kebaikan Nabi Ayyub AS, nescaya Dia tidak akan mengujinya dengan ujian seperti ini.” Nabi Ayyub AS lalu tersentak mendengar perkataan keduanya, dan inilah pertama kali Baginda tersentak seperti itu. Baginda lalu berdoa: “Ya Allah, sekiranya Engkau mengetahui bahawa aku tidak pernah bermalam dalam keadaan kenyang. Aku sangat tahu tempat orang-orang yang kelaparan, maka benarkanlah ucapanku ini.” Maka kedengaran suara dari langit yang membenarkannya dan kedua saudaranya itu juga mendengar suara itu. Kemudian Nabi Ayyub AS berdoa: “Ya Allah, sekiranya engkau tahu bahawa aku tidak pernah memiliki dua pakaian sedangkan aku tahu ada orang yang telanjang, maka benarkanlah ucapanku ini.” Maka terdengar suara yang membenarkannya dan kedua orang itu mendengarnya.

Kemudian Nabi Ayyub AS sambil bersujud, Baginda berdoa: “Ya Allah, dengan kemuliaan-Mu aku tidak akan mengangkat kepalaku selama-lamanya sebelum Engkau hilangkan penyakit ini dariku.” Nabi Ayyub AS tidak mengangkat kepalanya sehingga seluruh penyakitnya sembuh sepenuhnya.[5]

Syeikh al-Sobuni berkata: Cara diberi sembuh oleh Allah kepada Nabi Ayyub AS selepas beliau berdoa kepada-Nya, maka Allah wahyukan untuk beliau menghentak kakinya ke bumi. Kemudian dia lakukan dan keluar daripadanya air yang sejuk. Kemudian diperintahkan kepadanya untuk minum dan mandi daripadanya. Lantas Allah menyembuhkannya bahkan menjadi lebih sempurna apa yang telah dimilikinya dengan kesihatan dan kekuatan.[6]

Ibn Kathir berkata: Ini adalah cara pelepasan dan penyelesaian kemelut yang dikurniakan kepada siapa yang bertaqwa dan mentaati Allah, lebih-lebih lagi pada hak perempuan yang sabar, yang soleh.

 

Benarkah Kisah Nabi Ayub AS Sakit Hingga Berulat Kakinya?

Berkenaan dengan penyakit Nabi Ayyub AS, salah satu daripada sifat nabi-nabi adalah ‘ismah atau ma’sum. Syeikh ‘Ali al-Sobuni mentakrifkan ma’sum dengan tiga perkara:

  • Tidak melakukan dosa besar.
  • Tidak melakukan perkara yang mencarik maruah.
  • Tidak menerima penyakit yang dilihat jijik dan hina oleh masyarakat.

Syeikh Ali al-Sobuni berkata lagi: Perkara seperti ini adalah dinukilkan daripada Israiliyyat yang tidak sah. Antaranya seperti rakan taulannya menjauhkan diri daripadanya, bau badannya busuk sehingga keluar ulat, dia dibuang dari negerinya, dia dicampak ke tempat sampah, dan lain-lain. Semuanya ini menafikan kedudukan Nubuwwah sepertimana yang telah diputuskan oleh ulama’ tauhid bahawa para nabi bersih dan selamat dari penyakit yang menggerunkan dan meliarkan. Bagaimana ia mungkin sesuai dengan martabat kenabian.[7]

Al-Qurtubi menukilkan daripada Ibn al-‘Arabi, katanya: “(Kesahihan) kisah ini adalah terlalu jauh, sedangkan ia perlu kepada nukilan yang sahih. Dan tidak ada jalan untuk menemuinya.”[8]

Dalam kitab al-Isra’iliyyat wa al-Maudhu’at fi Kutub al-Tafsir, disebut: “Yang wajib kita percaya ialah Baginda ditimpa ujian, dan ujian yang menimpanya tidak sampai tahap seperti yang tersebut dalam pembohongan-pembohongan ini, …. seperti baginda memelihara ulat pada badannya.”[9]

Kami menutup perbincangan ini dengan menukilkan pendapat al-Maraghi yang menyebut: Dalam kisah yang dinyatakan pada ayat ini dan ayat-ayat yang lain, terdapat pengajaran bagi Baginda dan bagi orang yang mendengar beritanya. Di samping itu, kisah Nabi Ayyub AS ini menyedarkan manusia bahawa dunia ini hanyalah ladang akhirat, sementara kewajipan seseorang ialah bersabar terhadap setiap cubaan yang dideritainya di dunia, kemudian bersungguh-sungguh ketika menunaikan hak Allah SWT dan bersabar dalam keadaan senang mahupun susah.[10]

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 13 Januari 2022 bersamaan 10 Jamadil Akhir 1443H

 

[1] Lihat al-Nubuwwah wa al-Anbiya’, hlm. 278

[2] Riwayat al-Nasa’ie (7440) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9776)

[3] Riwayat Ahmad (1481)

[4] Surah al-Anbiya’: 83

[5] Lihat Qasas al-Anbiya’, 5/450-460

[6] Lihat al-Nubuwwah wa al-Anbiya’, hlm. 278

[7] Lihat al-Nubuwwah wa al-Anbiya’, hlm. 279

[8] Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 11/324

[9] Lihat al-Isra’iliyyat wa al-Maudhu’at fi Kutub al-Tafsir, hlm. 391

[10] Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4481

Original price was: RM10.00.Current price is: RM7.00.
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.

Siri Kematian

10 eBook Siri Kematian

Original price was: RM60.00.Current price is: RM35.00.
Original price was: RM79.00.Current price is: RM68.00.

eBook Siri umum

[eBook] Inilah Doaku

Original price was: RM10.00.Current price is: RM5.00.
Out of stock
Original price was: RM30.00.Current price is: RM20.00.

Siri Kematian

10 eBook Siri Kematian

Original price was: RM60.00.Current price is: RM35.00.
Out of stock
Original price was: RM130.00.Current price is: RM105.00.