#4001: Perbezaan Antara Tersilap dan Terlupa Yang Terkait Dengan Perbuatan Hamba

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami perbezaan antara tersilap dan terlupa yang terkait dengan perbuatan hamba berdasarkan nas hadith?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.

(Surah al-Baqarah: 286)

Menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan nas hadith, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

 إِنَّ اللَّهَ قَدْ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku akan kesilapan, lupa dan apa yang dipaksakan ke atasnya.”

Riwayat Ibn Majah (2043)

Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebut: “Hadis ini memuatkan perkara-perkara yang amat penting. Sekiranya dituliskan perkara-perkara tersebut maka tidak akan mencukupi.” 

Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimullah menyebut: “Hadis ini mempunyai manfaat yang menyeluruh kerana terdapat tiga perkara yang selalu dibahaskan di dalam permasalahan figh bahkan ada juga yang mengatakan bahawa hadis ini adalah sebahagian daripada syariat. Ini kerana setiap perbuatan yang dilakukan oleh seorang yang mukallaf tidak terlepas daripada dua hal; sama ada sengaja ataupun tidak sengaja. Adapun yang tidak sengaja itu merangkumi dua lagi perkara iaitu sama ada terlupa ataupun dipaksa melakukannya.” (Lihat al-Fath al Mubin, hlm. 606-607).

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, al-Khataالْخَطَأَ” bermaksud berniat melakukan sesuatu namun secara tidak sengaja telah melakukan perkara yang tidak dimaksudkan. Sebagai contoh seseorang yang ingin membunuh orang kafir (di dalam perperangan) namun tersilap terbunuh orang Islam.

Al-Nisyanالنِّسْيَانَ” pula apabila teringat untuk melakukan sesuatu namun terlupa ketika melakukannya. Kedua-duanya (tersilap dan terlupa) termasuk di dalam perkara yang dimaafkan tidak dikira berdosa, namun tidak menafikan terdapatnya hukum jika seseorang itu terlupa. Sebagai contoh, seseorang yang solat terlupa untuk berwudhu’ dan menyangka dia solat dalam keadaan berwudhu’ maka dia tidak berdosa. Kemudian, jika dia teringat yang solatnya tadi dalam keadaan berhadas (yakni tidak mempunyai wudhu’) maka wajib ke atasnya untuk mengulangi semula solat tersebut. (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 3/1113).

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Begitu juga dengan firman Allah SWT, iaitu:

وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ، وَلَكِن مَا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ

Maksudnya: “Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya.”

(Surah al-Ahzab: 5)

Luasnya rahmat Allah dan kasih sayang-Nya terhadap hamba-Nya dengan sebab itu Dia tidak menghukum hamba-Nya walaupun melakukan maksiat kerana dengan tiga sebab yang disebutkan hadis ini. Ini kerana ia termasuk dalam tidak ditaklifkan. 

Hadis ini menunjukkan bahawa segala yang haram yang dilakukan di dalam ibadat atau lainya jika dilakukan oleh seorang secara ataupun dipaksa maka tidak dikira kesalahan atau diker jika berkaitan hak Allah. Adapun hak manusia dia tidak begitu sahaja bahkan dikenakan dhaman atau ga dimaafkan dari sudut dosanya.

Yang dimaafkan ialah dosa, bukannya semua hukum. Apabila perbuatan seseorang mukallaf bertentangan dengan syara’, maka ia akan mengakibatkan beberapa hukum. Di antaranya ialah hukuman terhadap perbuatanya dan dia akan mendapat dosa. Di antaranya lagi ialah mesti menyesali apa yang berlaku, bertaubat dan memperbetulkan kesalahannya atau memberi ganti rugi apa yang dirosakkan dan seumpamanya.

Lafaz hadis di atas adalah umum. la menunjukkan kepada penghapusan terhadap semua hukum yang diakibatkan oleh perbuatan mukallaf yang menyalahi syara’. Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Kemungkinan hadis ini menunjukkan bahawa dihapuskan hukumnya sahaja (iaitu selain daripada dosa). Atau boleh dikatakan juga bahawa yang dimaksudkan ialah menghapuskan dosanya sahaja atau kedua- duanya sekali (iaitu hukum dan dosanya). Pendapat terakhir inilah yang lebih tepat, kerana tidak ada dalil yang mentarjih salah satunya daripada keduanya. Oleh itu, hadis ini kekal dalam keadaan merangkumi kedua- duanya. Untuk mengatakan bahawa hadis ini hanya memberi makna menghapuskan dosa sahaja, maka ia memerlukan kepada dalil yang lain.”

Mulla Ali al-Qari dalam kitab Syarah al-Arba’in berkata: “Jelaslah, bahawa tersalah adalah lebih umum daripada dosa mengerjakannya dan hukum menyesal dan memperbetulkan kesalahan. Penghapusan dosa difahami daripada hadis ini sedangkan hukum menyesal dan memperbetulkan kesalahan difahami daripada makna firman Allah SWT:

وَمَن قَتَلَ مُؤْمِنًا خَطَنَا فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُؤْمِنَةٍ وَدِيَةٌ مُسَلَّمَةٌ إِلَى أَهْلِهِ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar “diah” (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati).”

(Surah al-Nisa’: 92)

Begitulah hikmah Allah menentukan bahawa umat ini tidak akan dihukum kecuali apabila disengajakan melakukan maksiat dan hatinya sengaja melanggar atau meninggalkan perintah dengan keinginan dan secara sukarela.

Semoga Allah SWT mengampunkan dosa kita dan sentiasa mengilhamkan kita untuk melakukan kebaikan. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ، تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنَّا

Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan suka memberi keampunan, maka ampunilah kami.” 

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Bertarikh: 31 Oktober 2023 bersamaan 16 Rabiulakhir 1445 H