#4003: Tafsir Ayat 38, Surah al-Taubah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh tafsirkan kepada kami ayat 38, surah al-Taubah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Insan yang mengetahui hakikat kehidupan akan menjadikan dunia ini sebagai tempat persinggahan sementara sebelum tiba ke destinasi abadi. Mereka menjadikan dunia ini hanya sebagai (penghubung) dan bukannya ghayah (tujuan utama). Dengan menjadikan dunia ini sebagai wasilah, maka dunia ini akan berada di dalam genggamannya dan bukan di dalam hatinya.

Kehidupan ini juga umpama orang yang asing, jauh dari tempat asalnya. Dia akan sentiasa merindukan tempat asalnya iaitu di sisi Allah SWT. Maka, dia tidak akan selesa dan tenteram dalam kehidupan yang sedia ada ini meskipun dikurniakan dengan usia yang panjang, harta kekayaan dan anak-pinak kerana dia tahu bahawa dunia ini tidak akan kekal selama-lamanya. 

Menjawab persoalan di atas, kami menyatakan firman Allah SWT:

أَرَضِيتُم بِالْحَيَوةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةُ فَمَا مَتَعُ الْحَيَوة الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلُ

Maksudnya: “Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.”

(Surah al-Taubah: 38)

Imam al-Hasan al-Basri pernah berkata: “Seorang Mukmin ibarat orang asing. Tidak merasa sedih dengan sedikitnya kekayaan di dunia, dan tidak berebut untuk mendapatkannya. Dia sibuk dengan urusannya, ketika orang lain sibuk dengan urusan masing-masing.” Begitu juga Ibn Rajab al-Hanbali juga pernah berkata: “Ketika mana Allah SWT menciptakan Adam AS dan isterinya, mereka tinggal di syurga kemudian Allah keluarkan mereka dan berjanji akan pulang semula (ke syurga) berserta keturunannya yang soleh. Maka seorang Mukmin itu pasti merindukan tempat asalnya (iaitu syurga) dan cintakan tempat asal sebahagian daripada iman.” (Lihat Jami’ al-Ulum wa al-Hikam, 2/379).

Dalam Tafsir al-Bayan, disebutkan: “Mujahid berkata, “Ketika orang Islam diperintahkan ke perang Tabuk selepas pembukaan Makkah dan perang Hunain, Rasulullah SAW mengerahkan orang Islam untuk keluar pada musim panas, ketika buah-buahan sedang meranum dan mereka pula lebih selesa dengan bayang pepohon lalu berasa keberatan untuk keluar, lalu Allah SWT menurunkan ayat di atas.” Allah SWT menegur sikap mereka yang merasa keberatan dan cenderung kepada dunia dan syahwatnya, daripada menyahut seruan Allah dan rasul-Nya untuk berjihad dengan menghadapi kesukaran dan kepenatan perjalanan tetapi akan beroleh ganjaran besar di akhirat kelak. Perbuatan mereka yang mengutamakan tinggal di rumah seolah-olah ingin mendapat kesenangan hidup di dunia ini yang hanya sedikit berbanding dengan kesenangan hidup di akhirat kelak.

Kemudian Allah SWT mengancam mereka yang meninggalkan jihad itu dengan azab yang pedih. Ibn Abbas berkata: Rasulullah SAW mengerahkan satu perkampungan Arab, tapi mereka keberatan, lalu Allah SWT menahan hujan dari mereka sebagai azab yang dikenakan kepada mereka. Allah SWT juga akan menggantikan mereka dengan kaum lain yang akan membela Nabi-Nya dan menegakkan agama-Nya. Perbuatan mereka yang ingkar dan tidak turut serta dalam jihad, sebenarnya sedikitpun tidak memudaratkan Allah SWT, kerana Allah SWT Maha Berkuasa atas segala sesuatu termasuk memberikan kemenangan meskipun tanpa penglibatan mereka.

Seterusnya Allah SWT memperingatkan orang beriman bahawa sekiranya mereka tidak mahu keluar berjihad bersama-sama dengan rasul-Nya tatkala diseru, maka Allah SWT akan membela dan menolong rasul-Nya bagi menghadapi musuh serta Dia mencukupkannya daripada pertolongan dan bantuan manusia. Ia adalah sama seperti kejadian ketika Baginda SAW dihalau oleh orang Quraisy daripada tanah airnya sendiri, bersama dengan sahabat setianya Abu Bakar R.A, iaitu ketika kedua-duanya berada di dalam Gua Thur dan Baginda berkata kepada sahabatnya, “Janganlah engkau sedih kerana Allah bersama kita, maka mereka pasti tidak akan tahu kedudukan kita dan mereka tidak akan sampai ke sini.” (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/250)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Bertarikh: 31 Oktober 2023 bersamaan 16 Rabiulakhir 1445 H