Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah kita memelihara ikan paus?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu pengenalan ringkas berkenaan ikan paus. Secara ringkasnya, paus ialah haiwan laut yang besar yang rupanya seperti ikan, tetapi paus bukan ikan. Ia tergolong dalam kumpulan haiwan yang dikenali sebagai mamalia.[1] Mamalia-mamalia lain termasuk cimpanzi, anjing dan manusia. Seperti mamalia ini, paus mempunyai otak yang terbina dengan baik dan ia adalah antara kesemua haiwan yang paling kompleks dari segi kelakuannya.
Kebanyakan paus adalah makhluk yang sangat besar. Sejenis paus, iaitu paus biru adalah haiwan terbesar yang pernah hidup. Paus biru boleh membesar sehingga 30 meter panjangnya dan beratnya boleh mencapai lebih daripada 200 tan metrik. Tetapi, sesetengah jenis paus jauh lebih kecil daripada paus biru. Beluga dan narwhal, misalnya, membesar hanya kira-kira tiga hingga lima meter panjangnya.
Paus mempunyai bentuk asas yang sama dengan ikan, tetapi paus berbeza daripada ikan dalam banyak segi. Perbezaan yang paling ketara ialah ekornya. Ikan mempunyai sirip ekor yang tegak (atas dan bawah), tetapi paus mempunyai sirip ekor ke sisi. Ikan bernafas melalui insang yang menyerap oksigen terlarut daripada air. Paus, sebaliknya, mempunyai paru-paru dan mesti bergerak ke permukaan air untuk bernafas. Tetapi paus boleh menahan nafas untuk tempoh yang lama. Satu jenis paus, paus sperma, boleh menahan nafasnya selama dua jam. Seperti mamalia lain, paus melahirkan anak hidup-hidup dan menyusukan anaknya. Bagaimanapun, kebanyakan ikan bertelur dan tidak menyusukan anaknya. Paus juga berdarah panas- iaitu suhu badannya kekal lebih kurang sama tanpa mengira suhu di sekelilingnya. Hampir semua ikan berdarah sejuk. Suhu badannya berubah mengikut perubahan suhu air. Sepanjang zaman-berzaman paus beransur-ansur kehilangan sesetengah ciri mamalia. Misalnya, badan kebanyakan mamalia diliputi bulu, tetapi paus hanya mempunyai beberapa bulu keras di atas kepalanya. Kebanyakan mamalia juga berkaki empat. Paus tidak mempunyai kaki belakang. Satu satunya sisa-sisa kaki yang tinggal adalah dua tulang pinggul yang kecil. Di samping itu, kaki depan paus terbina menjadi kaki sirip, yang membantunya bergerak dan mengimbangi dirinya.
Manusia memburu paus sejak zaman prasejarah. Pada zaman dahulu, manusia membunuh paus untuk daging dan minyaknya, yang digunakan sebagai bahan api untuk lampu dan untuk memasak Sehingga tahun 1970-an, minyak paus dan lain-lain bahagian paus digunakan untuk membuat pelbagai keluaran, seperti kosmetik, baja, gam, ubat, dan sabun. Kini, penduduk Jepun dan juga penduduk asli di kawasan Artik, masih memakan daging paus.
Pada tahun 1900-an, kapal pemburu paus membunuh sejumlah besar paus dan membahayakan kehidupan sesetengah spesies paus. Oleh sebab ini, Suruhanjaya Pemburuan Paus Antarabangsa satu kumpulan yang terdiri daripada negara utama pemburu paus, mengenakan Moratorium (penghentian sementara) ke atas pemburuan paus secara komersial. Sesetengah kerajaan melarang mengimport keluaran paus. Paus tergolong dalam kumpulan mamalia yang dikenali sebagai setasea. Nama ini berasal daripada perkataan Latin yang bermakna haiwan laut yang besar. Ahli sains telah mengenal pasti sekurang- kurangnya 75 jenis setasea. Pelbagai jenis setasea ini dibahagikan kepada dua kumpulan utama — paus baleen, yang tidak bergigi, dan paus bergigi.
https://cdn.britannica.com/55/73255-050-5BD25091/Whales.jpg
Di antara contoh ikan paus yang terdiri dalam kumpulan paus baleen ialah paus biru, paus sei, paus betul hitam, paus sirip, paus kelabu, paus kepala busur, paus minke, dan paus kelasa. Manakala di antara contoh ikan paus yang terdiri dalam kumpulan paus bergigi ialah paus sperma, paus pembunuh, paus pandu, paus Baird berparuh, Narwhal dan Beluga. (Lihat Ensiklopedia Dunia, Terj. DBP, 16/245-248).
Dalam menjawab persoalan di atas, kami berpendapat bahawa memelihara ikan paus pada asasnya dibolehkan dengan syarat diberi makanan yang secukup dan setimpalnya. Begitu juga, tempat yang diperlukannya juga adalah mesti besar.
Usaha seperti ini memerlukan kerjasama serta modal yang amat besar di samping kepakaran dan iklim yang sesuai. Semoga ianya berjaya. Kami kemukakan di sini beberapa percubaan dalam menternak ikan paus.
Penternakan Ikan Paus
Sebuah bandar Jepun merancang untuk menternak ikan paus di teluk 620 batu di barat daya Tokyo, untuk menghiburkan pelancong, mengkaji tingkah laku pembiakan dan, akhirnya, untuk membekalkan restoran dengan daging ikan paus.
Idea itu, yang mengejutkan ahli pemuliharaan, melibatkan proses menangkap ikan paus di laut terbuka dan membawa mereka ke kawasan terjaring hampir dua batu persegi.
Hirado, di wilayah Nagasaki, ingin mendirikan platform pemerhatian dan jeti untuk bot pelancong. Institut Penyelidikan Cetacean Jepun merancang untuk menggunakan ikan paus untuk penyelidikan saintifik dan untuk mengkaji corak pembiakan.
Idea menternak ikan paus telah disambut hangat oleh Seiji Onsumi, ketua pengarah institut itu, yang dilaporkan berkata ia akan menjadi realisasi impian. Peluang untuk menjalankan penyelidikan tentang pembiakan ikan paus dan tingkah laku pembiakan akan menjadi sangat berharga.
Dia berharap akhirnya dapat menjinakkan ikan paus dan menggunakan teknik seperti inseminasi buatan untuk pembiakan ikan paus yang diternak.
Minkes, spesies yang paling tidak terancam dan paling banyak, hidup di kebanyakan lautan dan berhijrah beribu-ribu batu. Mereka adalah yang terkecil daripada paus besar, tetapi, walaupun begitu, berat sehingga sembilan tan dan makan sehingga 200kg ikan sehari.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
[1] Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, mamalia ialah haiwan bertulang belakang, badannya berbulu, jantungnya terbahagi kpd empat kebuk, dan menyusui anaknya. (Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=mamalia. Diakses pada 31 Oktober 2023)
Bertarikh: 1 November 2023 bersamaan 17 Rabiulakhir 1445 H