#4010: Mimpi Zubaidah, Isteri Harun al-Rasyid

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Siti Zubaidah pernah bermimpi berkenaan dengan pembinaannya telaga atau empangan yang dikenali sebagai Ain Zubaidah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Zubaidah atau nama sebenarnya Sukainah atau Amatul ‘Aziz binti Ja’far bin Khalifah Abu Ja’far al-Manshur (wafat tahun 216H) adalah seorang puteri dan permaisuri daripada Khilafah Bani ‘Abbas yang paling terkenal. Nama Siti Zubaidah adalah semasyhur nama suaminya, Khalifah Harun ar-Rasyid. Siti Zubaidah terkenal sebagai seorang wanita solehah yang amat mencintai al-Quran. Beliau juga terkenal dengan kedermawanannya dan telah mendirikan banyak sekolah, rumah anak yatim dan hospital untuk umum.

Pada suatu malam, Zubaidah telah bermimpi. Mimpinya amat ganjil sangat. Zubaidah telah bermimpi bahawa beliau bersetubuh dengan beribu-ribu orang!

Di zaman Harun al-Rasyid, ada seorang ulama dan pentafsir mimpi yang terkenal yang bernama Ibnu Sirin. Oleh kerana merasa malu, Zubaidah telah memanggil khadamnya seraya telah menceritakan mimpinya kepada khadamnya dan diperintahkannya supaya pergi menemui Ibnu Sirin minta ditafsirkan alamat mimpinya yang ganjil itu tetapi dengan syarat, perlu dirahsiakan namanya.

Setelah Ibnu Sirin mendengar kisah mimpi Zubaidah, beliau tersenyum sahaja. Pada hematnya, tukang penyampai mimpi ini bukanlah tuan punya sebenarnya mimpi yang diceritakan. Oleh kerana berpegang kepada amanah, khadam ini mohon izin untuk balik menemui tuannya dahulu dan memberitahu hal sebenarnya kepada tuannya.

Setelah Zubaidah mendengar telahan Ibnu Sirin, baginda terpaksalah memberi izin kepada khadamnya untuk memberitahu bahawa sebenarnya, Zubaidahlah yang bermimpi. Setelah Ibnu Sirin mendengar nama Zubaidah disebut, beliau berkata: “Sekarang, barulah padan!”

Rupa-rupanya, Ibnu Sirin mentafsirkan bahawa Permaisuri Zubaidah akan membuat kebajikan membina terusan air di Makkah yang mana terusan air ini boleh dimanfaatkan oleh ribuan jemaah haji.

Di antara jasa besar beliau yang berpanjangan manfaatnya sehingga lebih 1200 tahun adalah wakaf-wakaf beliau yang terkenal di sepanjang laluan jemaah haji dari Baghdad hingga ke Kota Makkah yang dikenali sebagai Darb Zubaidah. Siti Zubaidah telah membelanjakan jutaan dinar untuk menyediakan telaga dan kolam untuk menampung keperluan air bagi para pengembara yang menggunakan laluan tersebut.

Menurut pengembara ulung, Ibnu Battutah, tanpa kolam-kolam yang diwakafkan oleh Siti Zubaidah, nescaya laluan tersebut pasti tidak akan dapat dilalui manusia. Dalam buku Pengembaraan Ibnu Battutah, yang merupakan terjemahan Rihlah Ibnu Battutah, dinyatakan pada halaman 201 – 203, antara lain, sebagai berikut:

“….Seterusnya kami bergerak ke sebuah kawasan (sumber) air yang bernama Qarurah. Ia merupakan kolam yang dipenuhi oleh air hujan dan dibina oleh Zubaidah, puteri Ja’far, rahimahallah. Semoga Allah mengurniakan rahmatNya kepada Zubaidah dan menganugerahkan kebaikan kepada kita dengannya.

…… Jarak dari Tha’labiyyah ke Kufah ialah tiga marhalah. Kami meneruskan pengembaraan dan berhenti pula di Birkah al-Marjum

…….. di sini terdapat sebuah kolam besar yang dapat menampung keperluan semua anggota kafilah. Ia juga merupakan sebuah lagi kolam yang dibina oleh Zubaidah rahimahallah. Setiap kolam dan telaga yang ada di jalan di antara Makkah dengan Baghdad ini menunjukkan kedermawanan Zubaidah yang tinggi.

Semoga Allah membalasnya dengan kebaikan dan mengurniakan ganjaran yang sempurna kepadanya. Jikalah tidak kerana keprihatinannya ini, pasti jalan ini tidak akan dilalui oleh sesiapa pun.”

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 1 November 2023 bersamaan 17 Rabiulakhir 1445 H