#4012: Biografi Siti Zubaidah, Isteri Khalifah Harun al-Rasyid

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan wanita istimewa ini iaitu Siti Zubaidah yang menajdi isteri Harun al-Rasyid tentang sirah kehidupannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ‎﴿٢٦١﴾‏ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَا أَنفَقُوا مَنًّا وَلَا أَذًى ۙ لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya. Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (ugama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

(Surah al-Baqarah: 261-262)

Kami mulakan dengan namanya iaitu Amatul Aziz binti Ja’far bin Abi Ja’far al-Mansur, digelar dengan Zubaidah yang merupakan sepenting wanita bagi kerajaan Abbasiyah. Beliau merupakan cucu kepada pengasas kerajaan Abbasiyah, Khallifah Abu Ja’far al-Mansur dan juga permaisuri kepada Khalifah Harun al-Rasyid. Di samping itu, beliau adalah ibu kepada Khalifah al-Amin.

Beliau selalu bermain dengan datuknya Khalifah al-Mansur semasa beliau kecil dan kerana kecantikannya dan putihnya sehingga beliau terkenal dengan nama Zubaidah. Beliau adalah seorang yang cantik, berani, bijaksana di samping mempunyai penghormatan dan daya tarikah tersendiri.

Antara kelebihan utama permaisuri Zubaidah ialah beliau seorang penyair, cendikiawan dan juga ahli seni. Justeru, beliau dianggap sebagai ulama, penyair, dan sasterawan. Beliau telah membelanjakan banyak hartanya bagi memperelokkan kota Baghdad menjadi ibu negara yang diisi dengan ilmu, thaqafah dan hikmah sehingga menarik pelbagai cabang ilmu.

Suaminya Harun al-Rasyid amat mencintainya sementelahan lagi, beliau adalah anak bapa saudaranya. Begitu juga, pendapatnya yang tajam dan akalnya yang bernas menjadikannya salah seorang yang dirujuk oleh Harun al-Rasyid.

Istana beliau terletak di tepi sungai Dijlah barat, yang dikenali sebagai Qasr Zubaidah dan digelar sebagai Dar al-Qarar. Istananya dikelilingi kebun dan taman yang tiada tandingannya. Menariknya lagi, seorang penulis dan mufakkir Lubnan dalam bukunya bertajuk Abbasah Ukhtu al-Rasyid menyatakan bahawa Permaisuri Zubaidah telah memelihara 100 orang hamba wanita untuk menghafaz al-Quran dan setiap seorang hendaklah membaca 10 juzuk daripada al-Quran di mana mereka akan bergilir-gilir membaca sepanjang hari sehingga kedengaran di istananya seperti suara lebah kerana bacaan al-Quran tersebut.

Permaisuri Zubaidah seorang yang berfikiran positif dan moden pada pakaian di zaman kerajaan Abbasiyah ketika itu dengan pelbagai bentuk pakaian yang menarik. Beliau amat mengahrgai sutera asli dan pakaian yang berwarna-warni yang segar dan hidup seperti merah, kuning, hijau dan biru.

Beliau memiliki kasut yang diletak pelbagai permata. Ramai wanita di kota Baghdad amat cenderung dan berminat untuk menjadi tukang jahit pakaiannya. Walaupun dia dihiasi dengan kemewahan tetapi tidak lalai dengan sifatnya dermawan yang luar biasa. Beliau telah menginfakkan hartanya untuk amal kebajikan dan menolong fakir miskin.

Jasanya

Antara jasanya yang terbesar dan dianggap terhebat ketika mana beliau berjalan ke kota suci Makkah untuk menunaikan ibadat haji dari kota Baghdad, kebetulan pada tahun itu musim kemarau yang kering kontang. Permaisuri Zubaidah telah melihat kesukaran jemaah haji dan juga penduduk kota suci Makkah yang meghadapi kekurangan bekalan air bahkan sebahagian wadi telah kering.

Apabila sampai ke istananya, beliau telah mengambil satu keputusan yang berani untuk mengislah keadaan seperti itu. Antara langkahan pertamnya ialah mendalamkan lagi telaga zam-zam dan meringankan sebahagian bebanan khalayak masyarakat dengan sesegera mungkin.

Seorang penulis Saina Aiman dalam tulisannya di akhbar The Daily Star menyatakan bahawa Zubaidah menyangka dan berpendapat tidak boleh hanya bergantung kepada telaga sahaja. Dengan sebab itu, beliau menggerakkan juruteranya dengan tugasan penting iaitu membuat saliran air menuju ke kota Makkah.

Sebagai contoh terdapat beberapa wadi yang berhampiran Madinah yang mengandungi beberapa telaga. Tetapi, dapatan menunjukkan sumber asal air adalah satu sekitar 30 km. Terdapatnya satu wadi Hanin antara Makkah dan Taif dikenali sebagai Zubaidah yang dibeli wadi tersebut semuanya dan dia memerintahkan jurutera-juruteranya dan pembinanya untuk membina terusan bagi mengalirkan air-air ini dan dari telaga lain berhampiran ke kota Makkah.

Akhirnya, sempurnalah binaan telaga sepanjang terusan bagi memberi kemudahan kepada orang ramai. Perbelanjaan pembinaan telaga dan terusan tersebut bernilai hampir mencecah 1.7 juta dinar (iaitu nilainya lebih kurang 5,950 kg emas, nilai semasa lebih kurang RM 1,860,000,000). Yang mana perbelanjaan tersebut adalah dari nafkah atau duit peribadinya. Akhirnya, saliran dan telaga tersebut dikenali sebagai ‘Ain Zubaidah dan orang ramai menggelarkannya sebagai saqiyatu al-Hajij (perempuan yang memberi minum kepada jemaah haji).

Mata Air Zubaidah terletak di wadi Nu’man. Dulu, dari sana airnya disalurkan hingga ke Arafah kemudian ke wadi ‘Uranah, lalu ke Makkah. Mata air Zubaidah dulu merupakan tempat yang sangat bermanafaat untuk peduduk Makkah dan jemaah haji. Kemudian lama kelamaan jarang digunakannya kerana banyaknya mata air-mata air lain telah pun ditemui di Makkah. Walaupun mata air ini sudah tidak dimanfaatkan tapi keadaan nya tetap dipertahankan hingga sekarang ini. Usianya sudah lebih dari 12 abad. Pada tahun 1421 Kerajaan Saudi mempelajari kembali keistimewaan sumur ini supaya boleh dimanfaatkan kembali.

https://scontent.fkul4-2.fna.fbcdn.net/v/t1.6435-9/44686436_2020437317977435_6499001923687940096_n.jpg?_nc_cat=108&ccb=1-7&_nc_sid=dd63ad&_nc_ohc=Pvo5VNTpw9wAX8YCwt9&_nc_ht=scontent.fkul4-2.fna&oh=00_AfDkIMCoa0mSyljgAg6nmjS9l26iZfKaBIRd5UkYIOUK2A&oe=656808F7  

Menariknya lagi, beliau mengembangkan lagi amal kebajikannya dengan menyediakan telaga bagi jemaah haji yang berjalan dari Iraq dan juga Kufah yang menuju ke kota Makkah. Terdapatnya rumah-rumah tumpangan untuk berehat dan berteduh semasa musafir tersebut. Usaha murni yang  baik ini dengan nafkahnya yang khusus digelar sebagai Darbu Zubaidah atau teratak Zubaidah.

Al-Yafi’i pada kurun ke-8 H mensifatkan Ain Zubaidah dengan katanya, “Sesungguhnya kesannya kekal yang mengandungi pelbagai binaan yang besar lagi ajaib.” Tempatnya menarik di mana air turun daripada satu tangga ke tangga yang lain dan ianya memberi banyak manfaat.

Sesungguhnya, usaha yang dilakukan oleh Permaisuri ZUbaidah termasuk dalam sedekah jariah sebagai mana hadith riwayat Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إن مما يَلْحَقُ الْمُؤْمِنَ مِنْ عَمَلِهِ وَحَسَنَاتِهِ بَعْدَ مَوْتِهِ عِلْمًا عَلَّمَهُ وَنَشَرَهُ وَوَلَدًا صَالِحًا تَرَكَهُ وَمُصْحَفًا وَرَبَّهُ أَوْ مَسْجِدًا تَنَاهُ أَوْ بَيْتًا لابْنِ السَّبِيل بَنَاهُ أَوْ نَهْرًا أَجْرَاهُ أَوْ صَدَقَةٌ أَخْرَجَهَا مِنْ مَالِهِ فِي صِحْتِهِ وَحَيَاتِهِ يَلْحَقُهُ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya yang didapati oleh orang yang beriman dari amalan dan kebaikan yang dia lakukan setelah dia mati adalah:

  • Ilmu yang dia ajarkan dan sebarkan.
  • Anak soleh yang dia tinggalkan.
  • Mushaf al-Qur’an yang dia wariskan.
  • Masjid yang dibina.
  • Rumah bagi ibnu sabil (musafir yang terputus per- jalanan) yang dia bina
  • Sungai yang dia alirkan.
  • Sedekah yang dia keluarkan dari harta ketika dia sihat dan hidup.

Semua itu akan dihubungkan dengannya setelah dia mati.”

Riwayat Ibn Majah (242), al-Baihaqi dalam Syu’ab al- Iman (3174). Hadith ini disahihkan oleh Ibn Khuzaimah dan dihasankan oleh al-Munziri.

Imam al-Suyuti dalam kitabnya al-Dibaj ‘ala Sahih Muslim meringkaskan tentang amalan-amalan bermanfaat bagi seseorang setelah kematiannya dalam satu syair berikut:

إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ يَجْرِي                عَلَيْهِ مِنْ فِعَالٍ غَيْرِ عَشْرِ

عُلُوْمٍ بَنَّهَا وَدُعَاءِ نَخْلِ               وَغَرْسِ النَّحْل وَالصَّدَقَاتُ تَجْرِي

وَرَاثَةِ مُصْحَفٍ وَرَبَاطِ ثَغْرِ           وَحَفْرِ الْبِكْرِ أَوْ إِجْرَاءِ نَهْرٍ

وَبَيْتٍ لِّلْغَرِيبِ بَنَاهُ يَأْوى              إِلَيْهِ أَوْ بِنَاءِ مَحَلِّ ذِكْرٍ

“Apabila anak Adam meninggal,

         maka mengalirlah kepadanya sepuluh perkara;

Ilmu yang disebarkannya, doa anak yang soleh,

         pohon kurma yang ditanamnya serta sedekahnya yang mengalir,

Mushaf yang diwariskan dan menjaga perbatasan sempadan,

         Menggali telaga, mengalirkan sungai,

Rumah untuk musafir yang dibangunnya atau mendirikan tempat ibadah.”

(Lihat al-Dibaj ‘ala Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, 4/227)

Usaha pemerintah untuk memelihara Ain Zubaidah

Pada zaman Khalifah Uthmaniyyah Sultan Sulaiman al-Qanuni, air daripada empangan Zubaidah telah terputus, jadilah penduduk negeri Makkah dan sekelilingnya mencari air dari telaga-telaga di sekitar Makkah yang dikenali sebagai al-Assilat dan satu lagi dikenali sebagai al-Jukha dan ketika itu air sangat mahal. Maka, terpaksalah jemaah haji membawa air ke Arafah dari tempat yang jauh. Ketika itu, jemaah haji yang fakir semasa berada di Arafah tidak meminta kecuali air sahaja kerana mahalnya.

Bila mana hal ini berlaku, ia dibentangkan kepada Sultan Sulaiman al-Qanuni. Lantas, diberi arahan untuk membuat kajian bagaimana mengembalikan alirannya semula. Lajnah tersebut disertai oleh qadhi Makkah ketika itu Syeikh Abdul Baqi bin Ali al-Gharbi dan Amir Makkah Khairuddin Khidr, Amir Jeddah dan lain-lain lagi. Mereka berpendapat kos projek tersebut bernilai 50,000 lira Uthmaniyyah emas dengan menyangka ia tidak mampu dilaksanakan.

Akan tetapi, semangat yang ditunjukkan oleh Permaisuri ZUbaidah menyebabkan Sultan bersemangat dengan melantik Amir Ibrahim bin Barda yang berada di Mesir untuk mengetuai projek ini. Dia hadir ke kota Makkah dan mulakan projek. Dengan menggunakan tenaga pekerja seraman 400 orang hamba bersama 1,000 orang yang lain yang terdiri daripada pembina, jurutera dan penggali. Diambil pekerja daripada Mesir, Hulu Mesir, Syam, Halab, Istanbul, Yaman dan beberapa lagi yang mempunyai kepakaran.

Amir Ibrahim ini juga membawa alat daripada Mesir yang tidak terkira banyaknya dengan sangkaan dapat selesai dalam masa setahun. Tetapi, apabila turun lapangan barulah dia tahu kerja ini memang besar kerana terpaksa menggali yang kadang-kadang kedalaman melebihi 50 hasta. Ketika itu, dia merasa lemah tetapi tidak munasabah untuk berundur selepas bermulanya perjalanan ditambah untuk menjaga kemuliaan pemerintah ketika itu.

Justeru, tanggungjawab yang mustahil seperti ini menyebabkan mereka terpaksa bekerja siang malam yang kadang-kadang untuk menggali sejauh 100 hasta. Beliau amat bersabar sebagai mana sabarnya Nabi Ayub. Habis sahaja duit dia memohon bantuan yang lain hingga akhirnya mencecah 500 ribu lira Uthmaniyyah emas.

Mengejutkan, kapal yang membawa duit tersebut telah tenggelam yang nilainya ketika itu 100 ribu lira emas. Tetapi dia tidak gundah dan berputus asa. Begitu juga, Amir Ibrahim ini menghadapi ujian, anak kecilnya mati dan begitu juga 2 anaknya. Walaupun hatinya terbakar, begitu juga ramai hambanya yang mati, tapi beliau tetap sabar. Dan akhirnya, Amir Ibrahim juga meninggal dunia sebelum selesainya projek yang mustahil seperti ini.

Usaha ini diteruskan lagi dengan Amir Jeddah menggantikan. Kemudian, AMir Jeddah juga mati sebelum tamat atau selesai. Akhirnya disambung oleh Qadhi Sayyid Husain al-Hasani selepas 10 tahun penuh permulaan projek, dan perbelanjaannya cukup besar untuk itu.

Pada zaman pemerintahan kerajaan Saudi iaitu al-Malik Abdul Aziz, telah didirikan satu pejabat khas untuk mengendalikan isu ini yang dikenali sebagai Ain Zubaidah. Syeikh Abdullah al-Dihlawi telah dilantik oleh Malik Abdul Aziz pada tahun 1346 H untuk membangun semula Ain Zubaidah yang mengambil masa beberapa tahun. Kemudian, dibahagikan mengikut fasa yang kecil bagi aliran air kepada penduduk Makkah. Usaha ini dipanggil al-Dabul (tempat aliran kecil air). Itulah sejarah Ain Zubaidah yang bertahan lebih 1200 tahun.

Ujian kepadanya

Walaupun beliau mempunyai kebijaksanaan dan hikmah yang luar biasa, tetapi itu tidak menghilangkan sifat keibuannya. Beliau lebih mengahrapkan agar anaknya Amin menjadi khalifah selepas bapanya Harun al-Rasyid ganti daripada saudaranya yang tua al-Makmun kerana berasal daripada anak hamba. Ini kerana beliau juga yang memelihara Makmun yang kematian ibunya selepas kelahirannya 3 hari.

Hal ini membawa pertelingkahannya dengan suaminya. Dengan sifat tegasnya itu, akhirnya khalifah mengikut kehendaknya maka jadilah Amin khalifah selepas kemangkatan Harun al-Rasyid. Tetapi fitnah terjadi cukup besar menyebabkan pergaduhan 2 beradik dengan kematian Amin dan akhirnya al-Makmun menjadi khalifah.

Peristiwa ini menyebabkan Zubaidah amat dukacita. Walaupun begitu, beliau mengutus surat kepada al-Makmun. Penulis Amal Muhyiddin al-Kudi menyebut dalam bukunya, Dauru al-Nisa’fil Khilafah al-Abbasiyah berkata, “Antara ucapan Permaisuri Zubaidah kepada al-Makmun:

  • Aku mengucap tahniah kepada kamu sebelum aku bertemu dengan kamu dan melihatmu lagi.
  • Sekali pun aku kehilangan dua anak khalifah, tetapi aku digantikan anak sebagai khalifah yang tidak aku melahirkannya.

Antara sifat yang baik yang dilakukan oleh khalifah baru ini iaitu al-Makmun, beliau bersumpah bahawa beliau tidak menyuruh membunuh saudaranya itu. Selama lebih 32 tahun kehidupan Zubaidah selepas itu, Khalifah al-Makmun amat menghormati Zubaidah dengan sesungguh-sungguhnya dan selalu mengambil nasihat dalam urusan pemerintahan negara, Beliau banyak menerima pendapat al-Zubaidah dalam pelbagai hal.

Semoga Allah SWT merahmati Zubaidah ini dan menempatkannay bersama orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)

Bertarikh: 1 November 2023 bersamaan 17 Rabiulakhir 1445 H