#4016: “Kalau Macam Ni Baik Tak Payah Kahwin,” Dikira Lafaz Kinayah?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, macam mana kalau suami cakap “Kalau macam ni baik tak payah kahwin,” kepada saya. Adakah ini termasuk dalam lafaz kinayah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik

(Surah al-Baqarah: 229)

Pertama, kami menyatakan bahawa majoriti fuqaha’ bersepakat berkenaan talak kinayah (kiasan) yang hanya akan terjatuh jika disertakan dengan niat menceraikan isteri.

Kedua, berlaku perbezaan pendapat dikalangan fuqaha’ mazhab berkenaan lafaz talak yang berbentuk kinayah. (Lihat Al-Mausu‘ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, 35/137.)

Mazhab Hanafi: Lafaz kinayah adalah semua lafaz yang boleh membawa maksud ‘cerai’ dan selainnya. Contohnya, “Kamu ba’in (tidak boleh dirujuk semula)” atau “Kamu haram untuk aku” atau “Kamu telah terlepas (dari ikatan pernikahan)” atau “Kamu telah bebas (dari ikatan pernikahan)”. Tidak akan terjatuh talak menggunakan lafaz-lafaz tersebut melainkan disertakan dengan niat.

Jika seseorang melafazkan lafaz kinayah tersebut kerana; berada dalam perbincangan ‘bab talak’, atau sedang bertanya tentang talak, atau berada dalam keadaan marah dan pertengkaran. Maka dia perlu bersumpah tentang niatnya semasa sedang marah dan bertengkar tersebut, dan talak akan terjatuh mengikut keputusan qadi. (Lihat Bada’i‘ Al-Sana’i‘, 3/107)

Mazhab Maliki: Mereka membahagikan lafaz kinayah kepada dua:

Kinayah Zahirah (Kiasan yang jelas): Lafaz ini menurut Mazhab maliki seperti lafaz sorih (jelas), maka terjatuh talak dengan lafaz ini kerana ia mengandungi makna ‘talak’ yang jelas. Contohnya kata lelaki pada isterinya: “Kamu selamanya (terputus akad daripada aku)!” atau “Kamu ditalak satu yang boleh dirujuk!” atau “Kamu ibarat telah mati!” atau selainnya.

Kinayah Khafiyyah (Kiasan yang tersembunyi): Lafaz ini pula tidak mengandungi makna ‘talak’ yang jelas. Contohnya kata lelaki pada isterinya: “Masuklah kamu (ke dalam rumah)!” atau “Pergilah kamu!” atau “Beredarlah kamu!” atau selainnya. Jika dia berniat menceraikan isterinya dengan lafaz-lafaz tersebut, jatuh talak mengikut bilangan yang diniatkan, dan terjatuh talak tiga jika dia tidak menetapkan bilangan talak. (Lihat Hashiyah Al-Sawi  ‘ala Al-Sharh Al-Kabir, 1/458)

Mazhab Syafie: Lafaz kinayah ialah lafaz yang mengandungi makna talak dan selainnya. (Lihat Mughni Al-Muhtaj, 4/456) Contohnya seperti kata lelaki pada isterinya: “Kamu bebas daripada aku!” atau “Pergilah ke ahli keluarga engkau” dan selainnya. Jika dia berniat menceraikan isterinya dengan lafaz-lafaz tersebut, jatuh talak mengikut bilangan yang diniatkan, dan terjatuh talak satu jika dia tidak menetapkan bilangan talak. Ulama’ Syafie juga meletakkan syarat untuk terjatuhnya talak dengan lafaz kinayah adalah lafaz tersebut mestilah berserta niat, bukan sebelum lafaz atau selepas lafaz. (Lihat Mughni Al-Muhtaj, 4/462)

Mazhab Hanbali: Lafaz Kinayah terbahagi kepada dua:

Kinayah Zahirah (Kiasan yang jelas): Lafaz yang membawa masuk Ba’in (talak yang tidak boleh dirujuk). Contohnya, “Kamu bebas daripada aku!” atau “Kamu selamanya (terputus akad daripada aku)!” atau “Kamu ba’in (tidak boleh dirujuk)!” atau selainnya.

Kinayah Khafiyyah (Kiasan yang tersembunyi): Lafaz ini pula tidak mengandungi makna ‘talak’ yang jelas, ia mengandungi maksud talak satu. Seperti kata lelaki pada isterinya: “Keluarlah kamu!” atau “Pergilah kamu!” atau “kamu bukan isteri aku!” atau selainnya.

Ulama’ Hanbali berpendapat, talak tidak jatuh dengan kedua-dua lafaz di atas kecuali jika disertakan dengan niat. Mereka juga turut mensyaratkan untuk jatuhnya talak dengan lafaz kinayah tersebut mestilah diiringi niat, atau lafaz tersebut diungkapkan ketika marah dan bertengkar. Hal yang demikian kerana keadaan marah dan bertengkar itu diibaratkan seperti niat.

Jika dia mendakwa tidak berniat untuk menceraikan isterinya ketika marah, dia perlu bersumpah kerana berkemungkinan dia memang tidak berniat untuk menceraikan isterinya. (Lihat Kasyaf Al-Qina’, 5/251)

Kami menyimpulkan daripada perbahasan lafaz kinayah di atas bahawa talak hanya akan terjatuh jika lafaz kinayah diiringi dengan niat dan kehendak suami untuk menceraikan isterinya.

Dalam isu ini kami katakan bahawa talak tidak jatuh kerana dia lebih kepada tunjuk rasa kemarahan dan tidak puas hati. Sekali pun ia lafaz kinayah tetapi ia memerlukan kepada niat serta pendapat hakim kerana keputusannya dianggap muktamad. Ini bertepatan dengan kaedah menyebutkan:

حُكْمُ الحَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim mengangkat perselisihan.”

Kami mengambil kesempatan di sini untuk berpesan kepada pasangan yang menghadapi seperti ini:

  • Pasangan suami isteri harus menyedari dan saling menghormati antara satu sama lain akan nilai dan harga diri masing-masing, sekalipun di antara kedua-duanya itu terdapat perbezaan, baik dalam hal penghasilan, kecerdasan, mahupun kekuatan jasmani mahupun rohani.
  • Hubungan suami isteri harus ditegakkan atas dasar nilai-nilai kemanusiaan, yang dapat digambarkan sebagaimana berikut: “Saya adalah manusia yang bernilai, secara kebetulan, pendapatan saya kecil. Akan tetapi, hakikatnya saya adalah manusia dan engkau pun manusia.”

Pertelingkahan ataupun konflik antara suami isteri adalah sesuatu yang terjadi sebagaimana pepatah menyebut: “Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.”

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 1 November 2023 bersamaan 17 Rabiulakhir 1445 H