#4017: Ummu Aiman; Pengasuh Atau Ibu Susu Nabi SAW?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah Ummu Aiman termasuk dalam senarai ibu susuan Nabi Muhammad saw atau adakah dia hanyalah pengasuh?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berdasarkan dapatan kajian kami, menunjukkan bahawa Ummu Aiman tidak menyusukan Nabi SAW tetapi beliau adalah pengasuh dan amat dikasihi oleh Nabi SAW. Kami sertakan sedikit halnya berdasarkan kitab Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 401-402:

Namanya ialah Barakah binti Tha’labah bin ‘Amr bin Hisn bin Malik bin Salmah bin Amr bin Nu’man al-Habasyiyyah. Beliau berkahwin dengan Zaid bin Harithah selepas perkahwinannya yang pertama iaitu dengan ‘Ubaid al-Habasyi. Beliau lebih dikenali dengan Ummu Aiman kerana anak pertamanya bernama Aiman bin ‘Ubaid. Namun anak lelakinya yang paling masyhur dan merupakan seorang sahabat yang utama ialah Usamah bin Zaid. Beliau dikenali sebagai maulah29 Rasulullah SAW dan juga pengasuh Baginda SAW. Beliau menjaga dan mengasihi Nabi Muhammad sejak kecil. Baginda menganggapnya seperti ibu sendiri. Selain itu, Ummu Aiman juga termasuk orang yang pertama memeluk Islam. Beliau telah berhijrah sebanyak dua kali iaitu berhijrah ke bum Habasyahdan berhijrah ke Madinah. Menurut al-Waqidi, nama sebenar Ummu Aiman ialah Barakah dan beliau adalah hamba milik Abdullah bin ‘Abd al-Muttalib, lalu menjadi hamba milik Nabi SAW melalui warisan pusaka. (Lihat al-Isti’ab fi Ma’rifah al-Ashab, 4/1793; Usd al-Ghabah, 7/35 dan 7/290).

Tambahan lagi, terdapat riwayat yang memberi isyarat bahawa beliau termasuk dalam kalangan ahli syurga. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Sufyan bin ‘Uqbah, katanya:

كانَتْ أُمُّ أَيْمَنَ تَلَطَّفُ النَّبي صلى الله عليه وسلم وتقوم عَلَيْهِ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صلّى الله عليه وسلم: «مَنْ سرَّهُ أَنْ يَتَزَوَّجَ امْرَأَةَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَلْيَتَزَوْجُ أُمَّ أَيْمَنَ» فتزوجها زَيْدُ بْنُ حَارِثَةَ فَوَلَدَتْ لَهُ أَسَامَةَ بْنَ زَيْدٍ. فتَزَوَّجَهَا

Maksudnya: “Ummu Aiman selalu bersikap baik dan lemah lembut kepada Nabi SAW serta berkhidmat untuknya. Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesiapa yang ingin menikah dengan wanita ahli syurga maka hendaklah dia menikahi Ummu Aiman.” Lalu Zaid bin Harithah menikahinya dan (hasil perkahwinan itu) Ummu Aiman telah melahirkan Usamah bin Zaid.” (Lihat al-Tabaqat al-Kubra, 8/224; al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/359; Syeikh Syu’aib al-Arna’ut dalam Takhrij Siyar Alam al-Nubala’, 2/225, menyebutkan bahawa perawi-perawinya adalah thiqah tetapi ia munqati).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 1 November 2023 bersamaan 17 Rabiulakhir 1445 H