#4020: Biji Teratai

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini ada orang memberi saya snek biji teratai. Saya baru pertama kali memakannya dan rasanya seperti kekacangan. Sebenarnya bolehkah kita makannya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.”

(Surah al-Baqarah: 172)

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan biji teratai. Biji teratai adalah benih tumbuhan dalam genus Nelumbo, terutamanya spesies Nelumbo nucifera. Biji ini digunakan dalam masakan Asia dan perubatan tradisional. Kebanyakan dijual dalam bentuk kering dan telah dikupas, dan benih ini kaya dengan protein, vitamin B, dan mineral diet.


Kredit: Jiwa Sihat

Terdapat dua jenis biji teratai kering yang boleh didapati secara komersial; kulitnya berwarna coklat dan putih. Pertamanya, ia dipetik apabila kepala biji teratai sudah masak atau hampir masak dan keduanya, ia dipetik apabila kepala biji masih hijau sepenuhnya tetapi hampir masak. Biji teratai putih telah dikupas dan dibersihkan daripada membran. Apabila dipetik, biji yang berasa pahit dibuang menggunakan jarum berongga. Biji teratai yang kulitnya coklat berwarna coklat kerana biji yang masak melekat pada membran. Lapisan kulit keras ini disingkirkan dengan menghancurkan biji benih itu separuh.

Kredit: Idntimes

Biji teratai kering yang telah lama berubah menjadi warna kuning-coklat. Walau bagaimanapun, sesetengah penjual biji teratai kering melunturkan produk mereka dengan hidrogen peroksida, natrium hidroksida atau bahan kimia lain.[1]

Selain daripada itu, terdapat kajian menunjukkan bahawa biji teratai mempunyai beberapa khasiat. Di antaranya:

  • Mengurangkan risiko pelbagai jenis kanser.
  • Membantu melegakan kesakitan yang ringan.
  • Berpotensi melawan jangkitan kuman.
  • Melindungi organ hati.
  • Meningkatkan tahap insulin.
  • Merawat sawan.
  • Mengatasi cirit-birit.[2]

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2). Justeru, diharuskan untuk memakan semua makanan yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudharatan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi — kerana ia adalah suci dan tidak memudaratkan — dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci. (Lihat al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Selain itu, al-Qarafi juga ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal — berlepas daripada hukum haram.

Selain daripada itu, al-Zarkasyi turut menyatakan, halal di sisi Imam al-Syafi‘i ialah sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya. Kemudian, Imam al-Syafi‘i menguatkan pendapatnya itu dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:

وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ؛ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Dan sesuatu yang didiamkan mengenainya (berkenaan hukumnya) adalah rahmat buat kamu, maka janganlah kamu mencari-cari mengenainya.

Berdasarkan kepada kaedah dan prinsip ini, banyak permasalahan yang rumit diselesaikan. (Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/70-71).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, biji teratai termasuk dalam jenis tumbuhan atau makanan yang tidak terdapat nas syarak mengenai pengharamannya. Jadi, ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu halal dan diharuskan untuk memakannya selagi mana tidak terdapat dalil lain yang menunjukkan hukum sebaliknya seperti mengandungi racun atau memudaratkan pemakannya. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Bahkan terdapat kajian menunjukkan bahawa ia mengandungi khasiat dari segi kesihatan sebagaimana yang kami telah sebutkan di atas. Islam menganjurkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya:Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.

(Surah al-A‘raf: 157)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin. Wallahu a‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 1 November 2023 bersamaan 17 Rabiulakhir 1445 H

Nota Kaki:

[1] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Lotus_seed. Diakses pada 1 November 2023.

[2] Artikel ditulis oleh Aprinda Puji dan disemak secara perubatan oleh Dr. Andreas Wilson Setiawan. Tarikh dikemaskini 06/09/2023. (Lihat https://hellosehat.com/nutrisi/fakta-gizi/manfaat-biji-teratai/. Diakses pada 1 November 2023).