Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah terdapat larangan untuk memakai cincin di jari tengah? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, perhiasan pada asalnya adalah diharuskan sekiranya tiada dalil yang mengharamkannya seperti berlebihan dan melampaui batas serta mendatangkan fitnah. Syeikh Sadiq Hassan al-Qinnauji menukilkan daripada Abu Sa’ud yang menyebutkan, “Sesungguhnya setiap perhiasan itu diharuskan melainkan apabila didatangkan dengan dalil (yang melarangnya).” (Lihat Fath al-Bayan fi Maqasid al-Quran, 4/335)
Firman Allah SWT:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
(Surah al-A‘raf: 31)
Syeikh al-Sa‘di menyatakan di dalam tafsirnya, apa yang dimaksudkan ayat di atas adalah perintah menutup aurat ketika solat. Oleh itu, menutup aurat apa yang terdapat pada perhiasan di badan. Selain itu, merangkumi apa yang terkandung di dalam ayat ini adalah memakai pakaian yang baik dan bersih, arahan menutup aurat dan penggunaan perhiasan untuk kecantikan. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 1/287).
Keduanya, cincin termasuk dalam perhiasan buat lelaki dan wanita. Oleh itu, semua jenis cincin dibenarkan untuk dipakai oleh golongan lelaki melainkan cincin emas. Dalam erti kata lain, cincin emas adalah haram dan tidak dibenarkan untuk dipakai oleh golongan lelaki. Hal ini berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa:
أنَّهُ نَهَى عَنْ خَاتَمِ الذَّهَبِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW melarang (lelaki) daripada memakai cincin emas.”
Riwayat Muslim (2089)
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa kaum Muslimin telah berijma‘ (bersepakat) akan keharusan perempuan untuk memakai cincin emas dan telah berijma‘ juga akan pengharaman buat lelaki bagi memakai cincin emas. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/65)
Perbahasan lanjut mengenai perkara ini bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #770: Lelaki Memakai Cincin Emas[1] dan #771: Lelaki Memakai Cincin Perak.[2]
Ketiganya, dalam menjawab soalan di atas, terdapat riwayat daripada Ali bin Abu Talib R.A, katanya:
نَهَانِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ أَتَخَتَّمَ فِي إِصْبَعِي هَذِهِ أَوْ هَذِهِ. قَالَ فَأَوْمَأَ إِلَى الْوُسْطَى وَالَّتِي تَلِيهَا
Maksudnya: “Rasulullah SAW melarangku daripada memakai cincin pada jari ini dan ini (sambil menunjukkan kepada jari tengah dan selepasnya iaitu jari telunjuk[3]).”
Riwayat Muslim (2078)
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa kaum Muslimin telah berijma‘ (bersepakat) akan sunnah memakai cincin pada jari kelingking bagi lelaki. Manakala bagi wanita pula, boleh dipakai pada mana-mana sahaja daripada jarinya. Adapun tegahan Nabi SAW dalam hadith di atas membawa hukum makruh tanzih. Begitu juga dibolehkan untuk mengenakan cincin pada tangan kanan ataupun kiri kerana pada keduanya itu terdapat hadis yang sahih. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/71; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/463).
Tambahan lagi, turut dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa menurut ulama Syafi‘iyyah, memakai cincin pada jari tengah dan jari telunjuk adalah dilarang berdasarkan kepada hadith riwayat Ali bin Abu Talib R.A sebagaimana di atas. Begitu juga menurut ulama Hanabilah dihukumkan sebagai makruh memakai cincin pada jari telunjuk dan jari tengah kerana ada larangan yang sahih dalam hal tersebut. Secara zahirnya, tidak makruh memakai cincin pada jari ibu jari dan jari manis, meskipun memakai cincin pada jari kelingking lebih utama (afdhal) berdasarkan kepada nas. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/27)
Adapun bagi perempuan pula, tidak ada perselisihan pendapat dalam kalangan fuqaha mengenai jari yang boleh dipakai cincin. Hal ini kerana cincin sememangnya perhiasan bagi perempuan dan mereka boleh memakai cincin pada mana-mana jari tangan mahupun kaki yang diinginkannya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/26).
Dalam erti kata lain, golongan wanita boleh memakai cincin pada mana-mana jari, tidak kira jari kelingking, jari manis, jari tengah, jari telunjuk atau ibu jari. Semua jari adalah sama sahaja bagi hak mereka, tidak ada keutamaan antara jari-jari tangan bagi perempuan dalam soal pemakaian cincin.
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa makruh bagi lelaki untuk memakai cincin pada jari telunjuk dan juga jari tengah. Ini kerana terdapat hadith sahih yang melarang lelaki untuk memakai cincin pada dua jari tersebut dan larangan itu difahami sebagai makruh. Sebaliknya, sunnahnya bagi lelaki untuk memakai cincin pada jari kelingking. Manakala bagi perempuan pula, mereka boleh memakai cincin pada mana-mana jari yang dikehendakinya. Jadi, tidak makruh sekalipun mereka memakainya pada jari tengah mahupun telunjuk.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”
Nota Kaki:
[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/770-hukum-lelaki-memakai-cincin-emas/. Diakses pada 2 November 2023.
[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/771-hukum-lelaki-memakai-cincin-perak/. Diakses pada 2 November 2023.
[3] Diketahui bahawa jari yang ditunjukkan oleh Ali RA selepas jari tengah itu merujuk kepada jari telunjuk adalah berdasarkan riwayat hadith yang lain. Ini seperti mana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj Syarh Sahih Muslim.