Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sekiranya orang yang melakukan zina itu membuat pengakuan dosanya itu, adakah diterima dan dikenakan ke atasnya hukuman?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pengakuan menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat bermaksud, perbuatan atau pernyataan mengaku atau mengakui bahawa dia telah melakukan kesalahan. Pengakuan juga disebutkan sebagai iqrar (الإِقْرَارُ) di dalam bahasa Arab. Syeikh ‘Umar bin Sa‘ud bin Fahd al-‘Aid di dalam syarah beliau ke atas Lamiyyah Ibn Taimiyyah (14/15) berkata, iqrar menurut syara‘ bermaksud pengiktirafan terhadap sesuatu dakwaan, dan iqrar ini di dalam kitab-kitab fiqh antara bukti terkuat bagi satu-satu dakwaan. Oleh yang demikian, ada ulama’ yang menggelarkannya sebagai ‘ketua segala bukti’ – yakni bukti yang paling kuat -, dan ia juga disebutkan sebagai penyaksian terhadap diri sendiri. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri.”
(Surah al-Nisa’: 135)
Dalam menjawab persoalan yang diajukan saudara, kami membawakan sebuah kisah seorang sahabat bernama Ma‘iz bin Malik yang membuat pengakuan bahawa dia telah terlanjur melakukan zina. Ini disebutkan dalam hadith daripada Abu Hurairah R.A, katanya:
أَتَى رَجُلٌ مِنْ أَسْلَمَ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ، فَنَادَاهُ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ الآخِرَ قَدْ زَنَى – يَعْنِي نَفْسَهُ – فَأَعْرَضَ عَنْهُ. فَتَنَحَّى لِشِقِّ وَجْهِهِ الَّذِي أَعْرَضَ قِبَلَهُ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ الآخِرَ قَدْ زَنَى. فَأَعْرَضَ عَنْهُ. فَتَنَحَّى لِشِقِّ وَجْهِهِ الَّذِي أَعْرَضَ قِبَلَهُ، فَقَالَ لَهُ ذَلِكَ. فَأَعْرَضَ عَنْهُ. فَتَنَحَّى لَهُ الرَّابِعَةَ. فَلَمَّا شَهِدَ عَلَى نَفْسِهِ أَرْبَعَ شَهَادَاتٍ، دَعَاهُ فَقَالَ: هَلْ بِكَ جُنُونٌ؟ قَالَ: لاَ. فَقَالَ النَّبِيُّ ﷺ: اذْهَبُوا بِهِ فَارْجُمُوهُ. وَكَانَ قَدْ أُحْصِنَ.
Maksudnya: “Seorang lelaki daripada suku Aslam datang kepada Rasulullah SAW dan Baginda ketika itu sedang berada di masjid. Lelaki itu memanggil dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya seseorang (orang yang tidak bahagia) telah berzina,’ – yakni dirinya sendiri – maka Baginda berpaling daripadanya. Dia menghadap ke sebelah arah yang Baginda berpaling kepadanya dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya seseorang (orang yang tidak bahagia) telah berzina.’ Baginda berpaling lagi daripadanya, maka dia menuju ke sebelah arah yang Baginda berpaling kepadanya dan berkata seperti itu. Baginda pun berpaling daripadanya dan orang itu menghadap kepadanya untuk kali keempat. Ketika dia bersaksi ke atas dirinya dengan empat orang saksi, maka Baginda memanggilnya dan bertanya: ‘Adakah engkau gila?’ Dia menjawab: ‘Tidak.’ Maka Nabi SAW bersabda: ‘Bawalah dia dan rejamlah.’ Dan ketika itu lelaki itu sudah berkahwin.”
Riwayat al-Bukhari (5271) dan Muslim (1691)
Dalam riwayat lain daripada Ibn ‘Abbas R.A, katanya:
لَمَّا أَتَى مَاعِزُ بْنُ مَالِكٍ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَهُ: «لَعَلَّكَ قَبَّلْتَ، أَوْ غَمَزْتَ، أَوْ نَظَرْتَ؟» قَالَ: لاَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: «أَنِكْتَهَا؟». لاَ يَكْنِي، قَالَ: فَعِنْدَ ذَلِكَ أَمَرَ بِرَجْمِهِ
Maksudnya: “Ketika Ma‘iz bin Malik datang kepada Nabi SAW (membuat pengakuan zina), Baginda bertanya kepadanya: ‘Mungkin engkau hanya mencium, atau meraba, atau memandang(nya)?’ Beliau menjawab: ‘Tidak wahai Rasulullah.’ Baginda bertanya lagi: ‘Adakah engkau benar-benar telah menyetubuhinya?’ – Baginda tidak lagi mengungkapkan dengan kata-kata kiasan (bagi memastikan adakah Ma‘iz benar-benar telah melanggar hudud) – Beliau menjawab: ‘Ya.’ Maka ketika itu barulah Baginda memerintahkan agar beliau direjam.”
Riwayat al-Bukhari (6824)
Di dalam riwayat di atas, jelas bahawa Rasulullah SAW menerima pengakuan Ma‘iz bin Malik terhadap perbuatan zina yang telah dilakukannya, kemudian menetapkan hukuman rejam ke atasnya. Penerimaan pengakuan ini juga dikuatkan lagi dengan sebuah hadith daripada Abu Hurairah dan Zaid bin Khalid al-Juhani R.Anhuma, Rasulullah SAW berkata kepada Unais bin al-Dahhak al-Aslami R.A:
اغْدُ يَا أُنَيْسُ إِلَى امْرَأَةِ هَذَا، فَإِنِ اعْتَرَفَتْ فَارْجُمْهَا، قَالَ: فَغَدَا عَلَيْهَا، فَاعْتَرَفَتْ، فَأَمَرَ بِهَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ، فَرُجِمَتْ
Maksudnya: “‘Wahai Unais, pergilah menemui isteri orang ini. Sekiranya dia mengaku (telah berzina), maka rejamlah dia.’ Dia (Abu Hurairah dan Zaid bin Khalid al-Juhani) berkata: Keesokan harinya, dia (Unais) pergi menemui perempuan itu dan dia mengakuinya (telah berzina). Maka, Rasulullah SAW memerintahkannya agar direjam lalu dia direjam.”
Riwayat al-Bukhari (2724) dan Muslim (1697)
Imam al-Nawawi berkata ketika mensyarahkan hadith ini, ulama’ telah bersepakat bahawa wajib dikenakan hukuman rejam ke atas sesiapa sahaja yang mengakui dirinya telah melakukan zina, sedangkan dia telah berkahwin. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 11/192)
Al-Khatib al-Syirbini juga menyebutkan bahawa hukuman zina itu thabit dengan 2 perkara; bukti dan juga pengakuan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/451)
Berdasarkan hujjah-hujjah yang kami bawakan di atas, kami katakan bahawa pengakuan zina yang dibuat oleh seseorang itu adalah diterima menurut syara‘, dan waijb dikenakan ke atas orang tersebut hukuman yang telah ditetapkan oleh hukum Islam. Jika penzina itu telah berkahwin, maka hukumannya adalah rejam sehingga mati. Dan jika penzina itu belum pernah berkahwin, maka dia wajib dikenakan hukuman sebat.
Hal ini juga berdasarkan kaedah:
الإِقْرَارُ سَيِّدُ الاَحْكَامِ
Maksudnya: “Ikrar itu penghulu bagi segala hukum.”
Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat ilmu kepada kita semua, seterusnya menghindari diri dari terjerumus ke dalam kemaksiatan. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Wallahu a‘lam