Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kebiasaannya selepas selesai proses akad nikah di sesetengah tempat, akan ada majlis atau upacara di mana pengantin saling memakaikan cincin kepada pasangan masing-masing. Pengantin lelaki akan menyarungkan cincin pada jari manis pengantin perempuan dan begitulah juga sebaliknya. Soalannya, dalam Islam sebaik-baiknya cincin pernikahan dipakai pada jari mana? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa tidak ada perselisihan pendapat dalam kalangan fuqaha mengenai jari yang boleh dipakai cincin bagi golongan wanita. Hal ini kerana cincin sememangnya perhiasan bagi wanita dan mereka boleh memakai cincin pada mana-mana jari tangan mahupun kaki yang diinginkannya. Akan tetapi para fuqaha berselisih pendapat mengenai jari yang boleh dipakai cincin bagi golongan lelaki kepada beberapa pendapat.
Pertamanya, sebahagian ulama Hanafiyyah berpendapat, cincin sepatutnya dipakai pada jari kelingking tangan kiri dan bukannya pada jari-jari lain mahupun tangan kanan. Namun, sebahagian yang lain pula berpendapat, cincin boleh dipakai pada tangan kanan (di jari kelingking). Bahkan al-Faqih Abu al-Laith dalam Syarh al-Jami‘ al-Saghir tidak membezakan antara tangan kanan dan kiri. Hal ini kerana riwayat-riwayat mengenai Rasulullah SAW berkaitan dengan perkara ini adalah bercanggah. Sebahagian mereka menyatakan, memakai cincin pada tangan kanan adalah satu tanda orang yang melampaui batas. Namun, hal itu tidak benar sama sekali kerana hadith yang sahih daripada Rasulullah SAW menafikan hal tersebut.
Keduanya, pendapat yang terpilih di sisi Imam Malik adalah memakai cincin pada tangan kiri pada jari kelingking adalah disunatkan. Malah Imam Malik sendiri memakai cincin pada tangan kirinya. Abu Bakar bin al-‘Arabi dalam al-Qabas Syarh al-Muwatta’ menyebutkan, sahih daripada Nabi SAW bahawasanya Baginda memakai cincin pada tangan kanannya dan juga pada tangan kirinya. Akan tetapi menurut kebanyakan mereka Baginda sering kali memakainya pada tangan kirinya. Oleh itu, memakainya pada tangan kanan dihukumkan sebagai makruh. Selain itu, cincin dipakai pada jari kelingking kerana demikianlah sunnah yang ditunjukkan oleh Nabi SAW dan mengikuti Baginda SAW dalam hal itu adalah baik. Begitu juga kerana memakai cincin pada tangan kiri jauh daripada sifat ujub.
Ketiganya, menurut ulama mazhab Syafi‘i, diharuskan bagi lelaki untuk memakai cincin perak pada jari kelingking tangan kanannya dan jika dia mahu dia boleh memakainya pada jari kelingking tangan kirinya. Kedua-duanya sama-sama sahih daripada perbuatan Nabi SAW. Akan tetapi pendapat yang sahih lagi masyhur adalah memakai cincin pada jari kanan lebih afdhal kerana ia adalah perhiasan dan tangan kanan lebih mulia. Namun, sebahagian mereka (ulama Syafi‘iyyah) berpendapat, memakai cincin pada tangan kiri lebih afdhal. Di dalam Sunan Abi Daud dengan sanad yang sahih bahawasanya Ibn Umar R.Anhuma memakai cincin pada tangan kirinya. Begitu juga dalam riwayat yang lain dengan sanad yang hasan bahawasanya Ibn Abbas R.Anhuma memakai cincin pada tangan kanannya.
Begitu juga menurut ulama Syafi‘iyyah, memakai cincin pada jari tengah dan jari telunjuk adalah dilarang. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ali bin Abu Talib R.A, katanya:
نَهَانِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ أَتَخَتَّمَ فِي إِصْبَعِي هَذِهِ أَوْ هَذِهِ. قَالَ فَأَوْمَأَ إِلَى الْوُسْطَى وَالَّتِي تَلِيهَا
Maksudnya: “Rasulullah SAW melarangku daripada memakai cincin pada jari ini dan ini (sambil menunjukkan kepada jari tengah dan selepasnya iaitu jari telunjuk[1]).”
Riwayat Muslim (2078)
Tegahan Nabi SAW dalam hadith di atas difahami sebagai makruh tanzih sebagaimana dijelaskan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/71; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/463).
Keempatnya, menurut ulama Hanabilah, memakai cincin pada jari kelingking tangan kiri adalah lebih afdhal berbanding memakainya pada jari kelingking tangan kanan. Dinaskan mengenai hal itu dalam riwayat Soleh dan dihukumkan sebagai lemah (dha‘if) dalam riwayat al-Asram dan selainnya yang menyatakan mengenai memakai cincin pada tangan kanan. Al-Daraqutni dan ulama selainnya menyatakan, riwayat yang terpelihara (mahfuz) adalah Nabi SAW memakai cincin pada tangan kirinya iaitu pada jari kelingkingnya kerana ia jari yang paling hujung. Maka, ia lebih jauh daripada mengganggu tangan ketika memegang sesuatu atau melakukan sesuatu.
Begitu juga dihukumkan sebagai makruh memakai cincin pada jari telunjuk dan jari tengah kerana ada larangan yang sahih dalam hal tersebut. Secara zahirnya, tidak makruh memakai cincin pada jari ibu jari dan jari manis, meskipun memakai cincin pada jari kelingking lebih utama (afdhal) berdasarkan kepada nas. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/26-27).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami simpulkan jawapan kami sebagaimana berikut:
- Kami berpendapat bahawa bagi golongan perempuan, tidak menjadi masalah buat mereka untuk memakai cincin pada mana-mana jari yang dikehendaki. Justeru, pengantin lelaki boleh menyarungkan cincin pada mana-mana jari isterinya yang diingininya sama ada jari manis mahupun jari-jari yang lain.
- Manakala bagi golongan lelaki pula, kami berpendapat sebaik-baiknya cincin disarungkan pada jari kelingking mereka kerana itulah sunnahnya yang ditunjukkan oleh Baginda SAW. Adapun berkenaan sama ada dipakai pada jari kelingking tangan kanan atau kiri, kami melihat hal itu adalah luas. Akan tetapi kami berpendapat memakainya pada jari kelingking tangan kanan adalah lebih baik kerana mengutamakan sebelah kanan adalah lebih utama sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha.[2]
- Begitu juga kami berpendapat bahawa makruh bagi lelaki untuk memakai cincin pada jari telunjuk dan juga jari tengah. Ini kerana terdapat hadith sahih yang melarang lelaki untuk memakai cincin pada dua jari tersebut dan larangan itu difahami sebagai makruh.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”
Nota Kaki:
[1] Diketahui bahawa jari yang ditunjukkan oleh Ali RA selepas jari tengah itu merujuk kepada jari telunjuk adalah berdasarkan riwayat hadith yang lain. Ini seperti mana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj Syarh Sahih Muslim.
[2] Aisyah R.Anha berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِي تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ وَفِي شَأْنِهِ كُلِّهِ
Maksudnya: “Nabi SAW selalu mendahulukan bahagian kanan dalam memakai selipar, menyikat rambut, bersuci dan dalam setiap urusan kehidupan sehariannya.”
Riwayat al-Bukhari (168)