#4027:  Syarat Pengakuan Zina

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan berkenaan hukuman zina. Adakah sekali pengakuan zina sahaja telah mencukupi untuk seseorang itu dikenakan hukuman hudud, atau disyaratkan untuk beriqrar sebanyak 4 kali?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).

(Surah al-Isra’: 32)

Ibn Kathir berkata: Allah SWT melarang para hambaNya daripada perbuatan zina dan menegah daripada mendekatinya. Begitu juga setiap yang membawa kepada zina seperti faktor-faktor dan aspek-aspek yang membawa kepadanya. Firman-Nya: (وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً) “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji”, yakni suatu perbuatan dosa besar. Firman-Nya: (وَسَاءَ سَبِيلًا) “dan satu jalan yang jahat,” yakni merupakan seburuk-buruk jalan dan tingkah laku. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 5/72)

Dalam menjawab persoalan yang diajukan saudara, kami membawakan terlebih dahulu sebuah kisah seorang sahabat bernama Ma‘iz bin Malik yang membuat pengakuan bahawa dia telah terlanjur melakukan zina. Ini disebutkan dalam sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

أَتَى رَجُلٌ مِنْ أَسْلَمَ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ، فَنَادَاهُ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ الآخِرَ قَدْ زَنَى – يَعْنِي نَفْسَهُ – فَأَعْرَضَ عَنْهُ. فَتَنَحَّى لِشِقِّ وَجْهِهِ الَّذِي أَعْرَضَ قِبَلَهُ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ الآخِرَ قَدْ زَنَى. فَأَعْرَضَ عَنْهُ. فَتَنَحَّى لِشِقِّ وَجْهِهِ الَّذِي أَعْرَضَ قِبَلَهُ، فَقَالَ لَهُ ذَلِكَ. فَأَعْرَضَ عَنْهُ. فَتَنَحَّى لَهُ الرَّابِعَةَ. فَلَمَّا شَهِدَ عَلَى نَفْسِهِ أَرْبَعَ شَهَادَاتٍ، دَعَاهُ فَقَالَ: هَلْ بِكَ جُنُونٌ؟ قَالَ: لاَ. فَقَالَ النَّبِيُّ ﷺ: اذْهَبُوا بِهِ فَارْجُمُوهُ. وَكَانَ قَدْ أُحْصِنَ

Maksudnya: “Seorang lelaki daripada suku Aslam datang kepada Rasulullah SAW dan Baginda ketika itu sedang berada di masjid. Lelaki itu memanggil dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya seseorang (orang yang tidak bahagia) telah berzina,’ – yakni dirinya sendiri – maka Baginda berpaling daripadanya. Dia menghadap ke sebelah arah yang Baginda berpaling kepadanya dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya seseorang (orang yang tidak bahagia) telah berzina.’ Baginda berpaling lagi daripadanya, maka dia menuju ke sebelah arah yang Baginda berpaling kepadanya dan berkata seperti itu. Baginda pun berpaling daripadanya dan orang itu menghadap kepadanya untuk kali keempat. Ketika dia bersaksi ke atas dirinya dengan empat orang saksi, maka Baginda memanggilnya dan bertanya: ‘Adakah engkau gila?’ Dia menjawab: ‘Tidak.’ Maka Nabi SAW bersabda: ‘Bawalah dia dan rejamlah.’ Dan ketika itu lelaki itu sudah berkahwin.”

Riwayat al-Bukhari (5271) dan Muslim (1691)

Berdasarkan riwayat di atas, fuqaha’ berbeza pendapat sama ada disyaratkan 4 kali pengakuan atau berpada dengan sekali pengakuan sahaja untuk dikenakan ke atas orang tersebut hukuman hudud.

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam membahagikan kepada 2 pandangan:

Pertama: Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad serta majoriti ulama’, seperti al-Hakam bin ‘Utaibah dan Ibn Abi Laila, mereka mengatakan bahawa disyaratkan iqrar sebanyak 4 kali.

Mereka berhujjah dengan hadith Abu Hurairah R.A di atas, kerana Rasulullah SAW tidak menghukum Ma‘iz kecuali selepas 4 kali pengakuan dari dirinya sendiri. Mereka juga mengqiaskan dengan penyaksian dalam hukum zina yang tidak diterima kecuali selepas didatangkan 4 orang saksi.

Kedua: Imam Malik, Imam Syafi‘i, Abu Thaur dan Ibn al-Munzir pula mengatakan, hukuman hudud itu boleh dikenakan berpada dengan sekali pengakuan sahaja.

Ini berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah dan Zaid bin Khalid al-Juhani R.Anhuma, Rasulullah SAW berkata kepada Unais bin al-Dahhak al-Aslami R.A:

اغْدُ يَا أُنَيْسُ إِلَى امْرَأَةِ هَذَا، فَإِنِ اعْتَرَفَتْ فَارْجُمْهَا، قَالَ: فَغَدَا عَلَيْهَا، فَاعْتَرَفَتْ، فَأَمَرَ بِهَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ، فَرُجِمَتْ

Maksudnya: “‘Wahai Unais, pergilah menemui isteri orang ini. Sekiranya dia mengaku (telah berzina), maka rejamlah dia.’ Dia (Abu Hurairah dan Zaid bin Khalid al-Juhani) berkata: Keesokan harinya, dia (Unais) pergi menemui perempuan itu dan dia mengakuinya (telah berzina). Maka, Rasulullah SAW memerintahkannya agar direjam lalu dia direjam.”

Riwayat al-Bukhari (2724) dan Muslim (1697)

Di dalam hadith ini, Rasulullah SAW tidak mensyaratkan pengakuan sebanyak 4 kali. Dan Rasulullah SAW juga menjatuhkan hukuman rejam ke atas al-Juhainah, sedangkan dia hanya membuat sekali pengakuan sahaja.

Mereka juga menjawab pendalilan dengan hadith Ma‘iz di atas, riwayat-riwayat yang menyebutkan pengulangan iqrar dan pengakuan ini adalah riwayat yang mudhtarib, ada yang mengatakan 4 kali iqrar, 2 kali iqrar dan 3 kali iqrar. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/222-223)

Fuqaha’ al-Syafi‘iyyah menyebutkan, berpada dengan sekali pengakuan atau iqrar sahaja tanpa disyaratkan mengulangnya sebanyak 4 kali, kerana Rasulullah SAW memerintahkan hukuman rejam dengan umum pengakuan sahaja. Sabda Baginda SAW: “Wahai Unais, pergilah menemui isteri orang ini. Sekiranya dia mengaku (telah berzina), maka rejamlah dia.” Adapun pengulangan dalam hadith Ma‘iz itu kerana Baginda SAW syak terhadapnya, lalu berkata: “Adakah engkau gila?” bagi mendapatkan kepastian. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/113; Nihayah al-Muhtaj, 7/430; Mughni al-Muhtaj, 5/451)

Menjadi kewajiban seorang mu’min itu, meskipun telah mengakui kesilapannya, dia juga mestilah menyertakan penyesalan dan bersegera untuk memohon keampunan daripada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh. Ingatlah kita kepada firman Allah SWT:

أَفَلَا يَتُوبُونَ إِلَى اللَّهِ وَيَسْتَغْفِرُونَهُ ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunannya (sesudah mereka mendengar keterangan-keterangan tentang kepercayaan mereka yang salah dan balasan seksanya)? Padahal Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Ma’idah: 74)

Semoga, kita beroleh manfaat dari perkongsian ini, dan dapat berkongsi ilmu ini dengan masyarakat muslim yang lain. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Wallahu a‘lam