Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Ada sebahagian lelaki gemar memakai cincin perak dengan batu akik. Kadang-kadang sampai lebih daripada satu cincin yang mereka pakai pada jari-jari mereka. Soalan saya, sebenarnya apakah hukum lelaki memakai cincin lebih daripada satu dan bolehkah begitu? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Perhiasan pada asalnya adalah diharuskan sekiranya tiada dalil yang mengharamkannya seperti berlebihan dan melampaui batas serta mendatangkan fitnah. Syeikh Sadiq Hassan al-Qinnauji menukilkan daripada Abu Sa’ud yang menyebutkan, “Sesungguhnya setiap perhiasan itu diharuskan melainkan apabila didatangkan dengan dalil (yang melarangnya).” (Lihat Fath al-Bayan fi Maqasid al-Quran, 4/335)
Firman Allah SWT:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
(Surah al-A‘raf: 31)
Syeikh al-Sa‘di menyatakan di dalam tafsirnya, apa yang dimaksudkan ayat di atas adalah perintah menutup aurat ketika solat. Oleh itu, menutup aurat apa yang terdapat pada perhiasan di badan. Selain itu, merangkumi apa yang terkandung di dalam ayat ini adalah memakai pakaian yang baik dan bersih, arahan menutup aurat dan penggunaan perhiasan untuk kecantikan. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 1/287).
Seterusnya, cincin termasuk dalam perhiasan buat lelaki dan wanita. Oleh itu, semua jenis cincin dibenarkan untuk dipakai oleh golongan lelaki melainkan cincin emas. Dalam erti kata lain, cincin emas adalah haram dan tidak dibenarkan untuk dipakai oleh golongan lelaki. Hal ini berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa:
أنَّهُ نَهَى عَنْ خَاتَمِ الذَّهَبِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW melarang (lelaki) daripada memakai cincin emas.”
Riwayat Muslim (2089)
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa kaum Muslimin telah berijma‘ (bersepakat) akan keharusan perempuan untuk memakai cincin emas dan telah berijma‘ juga akan pengharaman buat lelaki bagi memakai cincin emas. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/65)
Perbahasan lanjut mengenai perkara ini bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #770: Lelaki Memakai Cincin Emas[1] dan #771: Lelaki Memakai Cincin Perak.[2]
Kemudian dalam menjawab soalan di atas, dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa para fuqaha berselisih pendapat mengenai hukum lelaki memakai cincin lebih daripada satu kepada beberapa pendapat.
Pertamanya, ulama Malikiyyah menaskan bahawa tidak boleh bagi seorang lelaki untuk memakai lebih daripada satu cincin. Jika dia memakai cincin lebih daripada satu, hukumnya adalah haram meskipun beratnya kurang dari batas yang ditetapkan syariat.
Keduanya, fuqaha Syafi‘iyyah berselisih pendapat mengenai hal ini. Pengarang Mughni al-Muhtaj menukilkan sebahagian daripada perbezaan ini. Beliau menyatakan, dalam kitab al-Raudhah dan kitab asalnya disebutkan, jika seseorang lelaki membuat atau mempunyai banyak cincin untuk dipakai secara bergantian satu persatu, maka ia adalah dibolehkan. Secara zahirnya adalah dibenarkan seseorang lelaki untuk mengambil atau membuat banyak cincin, bukan untuk memakainya. Dalam masalah ini terdapat khilaf yang masyhur, dan pendapat yang seharusnya dipegang adalah diharuskan untuk memakai cincin lebih daripada satu selagi mana tidak membawa kepada pembaziran atau berlebih-lebihan.
Ketiganya, ulama Hanabilah berpendapat, jika seseorang lelaki memiliki beberapa bentuk cincin untuk dirinya sendiri, maka jelasnya (mengikut pendapat yang kuat) ia adalah dibolehkan, asalkan tidak terkeluar daripada adat kebiasaan. Begitu juga dibolehkan untuk seseorang lelaki memakai dua bentuk cincin atau lebih secara sekali (serentak), selagi mana hal itu tidak terkeluar daripada adat kebiasaan — sehingga membawa kepada berlebih-lebihan dan melampaui batasan biasa. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/28).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami melihat hal ini adalah luas. Kami berpendapat bahawa seseorang lelaki itu diharuskan untuk memakai dua bentuk cincin atau lebih secara sekali (serentak), selagi mana hal tersebut tidak terkeluar daripada adat kebiasaan dan tidak membawa kepada pembaziran. Di sana terdapat kaedah menyebutkan:
الأَصْلُ فِي عَادَاتِنَا الإِبَاحَةُ حَتَّى يَجِيءَ صَارِفُ الإِبَاحَةِ
Maksudnya: “Hukum asal dalam perkara-perkara adat kita adalah diharuskan sehinggalah terdapatnya dalil yang mengangkat keharusan tersebut.”
Selain daripada itu, Muhammad Husain al-Jizani dalam kitabnya, Dirasah wa Tahqiq Qa’idah: al-Aslu fi al-‘Ibadat al-Man‘u (hlm. 47) ada menukilkan perkataan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah yang menyatakan, hukum asal dalam perkara ibadat ialah al-Tauqif. Oleh itu, tidak disyariatkan daripadanya melainkan apa yang disyariatkan oleh Allah SWT. Jika tidak, kita akan termasuk dalam makna firman Allah SWT:
أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُم مِّنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَن بِهِ اللَّهُ
Maksudnya: “Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan – mana-mana bahagian dari ugama mereka – sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?”
(Surah al-Syura: 21)
Manakala bagi perkara adat pula, hukum asalnya adalah dimaafkan, maka janganlah dilarang daripadanya melainkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT. Jika tidak, kita akan termasuk dalam makna firman Allah SWT:
قُلْ أَرَأَيْتُم مَّا أَنزَلَ اللَّهُ لَكُم مِّن رِّزْقٍ فَجَعَلْتُم مِّنْهُ حَرَامًا وَحَلَالًا
Maksudnya: “Katakanlah (kepada kaum yang mengada-adakan sesuatu hukum): ‘Sudahkah kamu nampak baik-buruknya sesuatu yang diturunkan Allah untuk manfaat kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram, dan sebahagian lagi halal?’”
(Surah Yunus: 59)
Sekiranya ia terkeluar daripada adat kebiasaan setempatnya atau membawa kepada pembaziran, maka kami berpendapat sebaik-baiknya pemakaian dengan cara begitu dielakkan. Begitu juga pemakaian cincin pada jari telunjuk dan jari tengah bagi lelaki hukumnya adalah makruh. Penjelasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel dalam Ahkam Syar‘iyyah kami yang bertajuk: “Lelaki Memakai Cincin di Jari Tengah.”
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”
Nota Kaki:
[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/770-hukum-lelaki-memakai-cincin-emas/. Diakses pada 2 November 2023.
[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/771-hukum-lelaki-memakai-cincin-perak/. Diakses pada 2 November 2023.