#4029: Menyapu Muka dengan Kedua Tangan Sejurus Selepas Berdoa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kebiasaannya setiap kali selepas kita selesai berdoa, kebanyakkan daripada kita akan menyapu atau mengusap muka dengan kedua-dua tangan. Sebenarnya, apakah hukumnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya:Dan Tuhan kamu berfirman: ‘Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.’

(Surah al-Ghafir: 60)

Ayat ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa Allah SWT menuntut para hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tiada khilaf dalam kalangan orang Islam. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 183/24).

Di dalam agama Islam, doa bukanlah sesuatu perkara yang remeh tetapi mempunyai peranannya yang besar. Oleh sebab itu, ia sendiri dianggap sebagai ibadah. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada al-Nu‘man bin Basyir bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ

Maksudnya:Doa itu merupakan ibadah.”

Riwayat al-Tirmizi (3247); beliau menilainya sebagai hasan sahih.

Selain itu, kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan bimbingan sang Penciptanya dalam setiap keadaan. Tambahan lagi, banyak doa-doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian

Seterusnya, termasuk dalam adab-adab berdoa adalah mengangkat tangan ke langit ketika berdoa. Ini adalah sesuatu yang thabit dalam syarak kerana padanya terdapat kerendahan hati dan permohonan yang bersungguh-sungguh kepada Allah SWT. Hal ini adalah sebagaimana sabda Nabi SAW:

الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

Maksudnya:Seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan.

Riwayat Muslim (1015)

Al-Qurtubi menjelaskan bahawa lafaz “يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ” (dia menadah tangannya ke langit) adalah merujuk kepada ketika berdoa. Jadi, ini menunjukkan bahawa mengangkat dan menadah kedua tangan ke langit ketika berdoa adalah disyariatkan. (Lihat al-Mufhim, 3/59).

Begitu juga Najmuddin al-Tufi ketika mensyarahkan lafaz “يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ” menyebutkan, hal ini menunjukkan bahawa termasuk dalam adab-adab berdoa adalah mengangkat kedua tangan ke langit. Malah Nabi SAW sendiri mengangkat kedua tangan Baginda ketika istisqa’ (doa minta hujan) sehingga dapat dilihat putihnya ketiak Baginda. (Lihat al-Ta‘yin fi Syarh al-Arba‘in, 1/114).

Keduanya, dalam menjawab soalan di atas,berkenaan menyapu muka dengan kedua tangan sejurus selepas berdoa, sesungguhnya jumhur fuqaha dalam kalangan Hanafiyyah mengikut pendapat yang paling sahih, Malikiyyah, Syafi‘iyyah dan Hanabilah telah bersepakat bahawa diharuskan/dibolehkan untuk orang yang berdoa menyapu mukanya dengan kedua tangannya selepas selesai berdoa di luar solat. Kami bawakan di sini sebahagian daripada kenyataan mereka.

Imam al-Haskafi al-Hanafi menyebutkan, menyapu muka sejurus selepas berdoa adalah disunatkan mengikut pendapat yang paling sahih (asah). (Lihat al-Dur al-Mukhtar, hlm. 70). Begitu juga dinyatakan dalam al-Fatawa al-Hindiyyah (5/318) bahawa mengusap wajah dengan kedua tangan apabila selesai berdoa, dikatakan bahawa hal itu tidak ada apa-apa (yakni tidak mempunyai dasar yang kuat). Namun, ramai dalam kalangan masyayikh (guru) kami mengambil kira perkara tersebut dan ia adalah sahih, dan terdapat riwayat yang mendukungnya. Demikianlah (yang dinyatakan) dalam al-Ghiyathiyyah.

Imam Syihabuddin al-Nafrawi al-Maliki juga ada menyatakan bahawa dianjurkan (sunat) untuk menyapu mukanya dengan kedua tangannya sejurus selepas berdoa sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda SAW. (Lihat al-Fawakih al-Dawani, 2/335).

Imam al-Nawawi turut menyebutkan bahawa di antara adab-adab berdoa adalah memilih waktu-waktu, tempat-tempat dan keadaan-keadaan yang mulia, menghadap ke arah kiblat, mengangkat tangan, menyapu muka selepas selesai daripadanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/655-656).

Begitu juga al-‘Allamah al-Mardawi al-Hanbali dalam al-Insaf (2/173) juga ada menyatakan bahawa seseorang menyapu mukanya dengan kedua tangannya ketika di luar solat apabila selesai berdoa mengikut pendapat Imam Ahmad. Perkara ini disebutkan oleh al-Ajurri dan selainnya.

Seterusnya, dalil berkenaan perkara ini adalah sebagaimana riwayat daripada Umar R.A, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ فِي الدُّعَاءِ، لَمْ يَحُطَّهُمَا حَتَّى يَمْسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengangkat kedua tangannya ketika berdoa dan Baginda tidak akan meletakkan kedua tangannya sehinggalah Baginda menyapu keduanya ke muka Baginda.”

Riwayat al-Tirmizi (3386) dan beliau menilainya sebagai hadith yang gharib.

Al-San‘ani menyatakan bahawa hadith ini mempunyai beberapa syawahid (sokongan). Di antaranya hadith Ibn Abbas R.Anhuma di sisi Abu Daud dan selain daripada beliau. Dengan itu, kesemua jalur atau riwayat yang ada itu mengangkat hadith tersebut ke tahap hasan. (Lihat Subul al-Salam, 2/709).

Al-Mubarakfuri menyebutkan, hadith ini menjadi dalil atau petunjuk kepada tuntutan menyapu muka dengan kedua tangan selepas selesai berdoa. Dikatakan bahawa di antara munasabah bahawa Allah SWT tidak akan memulangkan orang yang berdoa dengan kosong, menunjukkan bahawa seakan-akan rahmat Allah itu jatuh di atas kedua tangan tersebut. Maka, ia (kedua tangan) diletakkan di muka kerana muka adalah anggota badan yang paling mulia dan paling berhak untuk dimuliakan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/232).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa menyapu muka sejurus selepas selesai berdoa adalah dianjurkan (sunat). Sekalipun begitu, kami tidak menafikan bahawa perkara ini termasuk dalam perkara yang diperselisihi ulama disebabkan oleh perselisihan mereka terhadap kedudukan hadith yang dijadikan sebagai sandaran atau hujah dalam perkara ini. Mereka yang berpendapat, ia adalah dha‘if maka tidak menjadikannya sebagai hujah, lalu akan berpendapat ia tidak dianjurkan dan tidak disyariatkan. Manakala mereka yang berpendapat, ia adalah hasan, maka akan menjadikannya sebagai dalil dan hujah yang menyatakan perkara itu adalah dianjurkan.

Namun, kami melihat dalam hal ini adalah luas. Justeru, tidak menjadi masalah bagi sesiapa yang menyapu muka dengan kedua tangannya selepas selesai berdoa kerana ia termasuk dalam adab-adab berdoa sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi. Begitulah juga jika seseorang itu tidak menyapu mukanya selepas berdoa tidaklah menjadi kesalahan kerana perbuatan tersebut bukanlah bersifat wajib.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا

Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”