Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ada yang mengatakan bahawa ayat rejam tidak disebutkan di dalam al-Quran, maka tidak benarlah hujjah bahawa hukum ini diturunkan oleh Allah SWT. Bagaimana kita ingin menjawab tuduhan ini? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pertamanya, pensyari‘atan hukum-hakam Islam semasa hayat Rasulullah SAW melalui beberapa fasa sehinggalah wafatnya Baginda SAW. Salah satu daripada perkara tersebut adalah al-naskh (النَّسْخُ) atau pembatalan beberapa hukum dan ayat. Memahami konsep al-naskh ini penting bagi memastikan jawaban ke atas syubhah atau tuduhan yang ditimbulkan ini akan lebih mudah difahami.
al-Naskh (النَّسْخُ) dari sudut bahasa membawa maksud mengangkat dan juga menghilangkan. Dikatakan: “Matahari menasakhkan bayangan iaitu mengangkatnya” atau “Angin menasakhkan kesan-kesan iaitu menghilangkannya”. al-Naskh juga membawa maksud menukilkan (memindahkan). Contohnya: “Aku menasakhkan al-Kitab”, yakni aku menukilkan apa yang terdapat di dalamnya sekalipun tidak sedikitpun menghilangkannya daripada tempatnya. (Lihat al-Faqih wa al-Mutafaqqih, hlm. 189)
Seterusnya, ulama’ membahagikan perbahasan al-naskh yang terdapat di dalam al-Quran kepada 3:
- Nasakh hukum dengan mengekalkan rasm (ayat al-Quran)
- Nasakh rasm (ayat al-Quran) dengan mengekalkan hukum
- Nasakh rasm (ayat) berserta dengan hukum
Syubhah yang timbul ini termasuk di dalam pembahagian al-naskh yang ke-2, iaitu diangkat rasm (ayat al-Quran) dengan mengekalkan pengamalan hukumnya di dalam kehidupan. ( Lihat al-Faqih wa al-Mutafaqqih, hlm. 192)
Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam mengatakan, Allah SWT telah menurunkan ayat rejam di dalam al-Quran, dan nas ayat tersebut adalah:
الشَّيْخُ وَالشَّيْخَةُ إِذَا زَنَيَا فَارْجُمُوهُمَا أَلْبَتَّةَ نَكَالًاً مِنْ اللَّهِ وَاَللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: “Dan lelaki yang pernah berkahwin dan juga perempuan yang pernah berkahwin (baik masih atau sudah bercerai), jika keduanya berzina, maka rejamlah mereka sebagai hukuman dari Allah. Allah jualah yang Maha Mengetahui lagi Bijaksana.” (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/225)
Ini jelas sebagaimana yang warid daripada Ibn ‘Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
قَالَ عُمَرُ: لَقَدْ خَشِيتُ أَنْ يَطُولَ بِالنَّاسِ زَمَانٌ، حَتَّى يَقُولَ قَائِلٌ: لاَ نَجِدُ الرَّجْمَ فِي كِتَابِ اللَّهِ، فَيَضِلُّوا بِتَرْكِ فَرِيضَةٍ أَنْزَلَهَا اللَّهُ، أَلاَ وَإِنَّ الرَّجْمَ حَقٌّ عَلَى مَنْ زَنَى وَقَدْ أَحْصَنَ، إِذَا قَامَتِ البَيِّنَةُ، أَوْ كَانَ الحَبَلُ أَوِ الِاعْتِرَافُ – قَالَ سُفْيَانُ: كَذَا حَفِظْتُ – أَلاَ وَقَدْ رَجَمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَجَمْنَا بَعْدَهُ
Maksudnya: “‘Umar berkata: ‘Sesungguhnya aku takut apabila zaman telah berlalu sehingga ada yang mengatakan: Kami tidak menemukan hukum rejam di dalam al-Quran. Maka mereka sesat dengan meninggalkan suatu kewajiban yang telah diturunkan Allah SWT. Ketahuilah, sesungguhnya (hukuman) rejam itu adalah hak yang wajib dilaksanakan terhadap orang yang berzina yang telah bernikah, sekiranya telah ada saksi, atau kehamilan, atau pengakuan…’ – Sufyan berkata: ‘Begitulah lafaz yang aku hafal – “…Ketahuilah, sesungguhnya Rasulullah SAW telah melaksanakan hukuman rejam, dan kami pun merejam sepeninggalan Baginda’.”
Riwayat al-Bukhari (6829) dan Muslim (1691)
Imam Ibn Kathir juga mengatakan, kesemua jalur-jalur riwayat yang menyebutkan tentang hukum ini menjadi bukti bahawa ayat rejam itu pernah tertulis, kemudian diangkat bacaannya, dan dikekalkan hukumnya serta diamalkan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/5)
Semoga, penerangan ini mampu membungkam syubhah yang ditimbulkan ini. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”
Wallahu a‘lam