#4032: Sahabat Nabi Yang Memiliki Lebih Empat Isteri Semasa Jahiliyyah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah sahabat mempunyai 10 orang isteri dan bagaimanakah penyelesaiannya ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nikah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sebuah akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan.

Perkataan nikah berasal dari perkataan Arab (نَكَحَ يَنْكِحُ نَكْحاً ونِكَاحاً) yang bermaksud bernikah dan perkataan (الاخْتِلَاطُ) yang bermaksud bercampur. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/34)

Dari istilah syarak, nikah ialah suatu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh atau berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Masyarakat arab menggunakan perkataan nikah dengan makna akad yang juga membawa maksud persetubuhan serta berseronok-seronok. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/671)

Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:

فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۖ

Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain) dua, tiga atau empat.”

(Surah al-Nisa’: 3)

Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)

Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah al-Rum: 21)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Pernikahan sememangnya dianjurkan dalam Islam dengan syarat mestilah berlandaskan kepada syariah yang telah ditetapkan. Pernikahan yang sah dan sempurna adalah pernikahan yang memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang diletakkan syara’. Terdapat juga beberapa jenis pernikahan yang dilarang dalam Islam seperti nikah mut’ah (yang diamalkan pengikut ajaran Syiah), nikah muaqqat (nikah kontrak) dan lain-lain. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiah, 41/325)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan sahabat nabi yang bernama Ghailan Bin Salamah  pernah memiliki 10 orang isteri pada zaman jahiliyah, setelah beliau memeluk islam bersama isteri-isterinya Rasulullah SAW memerintahkannya supaya memilih 4 orang sahaja dari mereka dan menceraikan yang lain. Ini kerana Islam mengharaman seorang lelaki mengahwini lebih daripada 4 orang wanita. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Salim R.A bahawa beliau berkata:

أَنَّ غَيْلَانَ بِن سَلَمَةَ، أَسْلَمَ، وَلَهُ عَشْرُ نِسَوَةٍ، فَأَسْلَمْنَ مَعَهُ، فَأَمَرَهُ النَّبِيُّ ﷺ أَن يَتَخَيَّرَ مِنْهُنَّ أَرْبَعً

Maksudnya: Ghailan Bin Salamah telah memeluk islam dan dia memiliki 10 orang isteri. Kesemua mereka memeluk islam bersama dengannya lalu Rasululullah SAW memerintahkannya supaya memilih hanya 4 orang dari isteri-isterinya.

Riwayat Tirmizi(1128), dan Ibn Hibban (1377)

Hadith ini menunjukkan bahawa batasan maksimum jumlah isteri yang dibenarkan bagi lelaki adalah empat isteri. Yang demikian juga berdasarkan firman Allah SWT:

فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۖ

Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain) dua, tiga atau empat.”

(Surah al-Nisa’: 3)

Al-Syaukani ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Ayat ini memnunjukkan bahawa pengharaman berkahwin lebih daripada empat . Perintah ini merupakan perintah umum kepada seluruh ummat. Setiap yang ingin berkahwin hendaklah memilih bilangan dari jumlah yang telah ditetapkan oleh syara’.

Hadis ini juga  menunjukkan bahawa jika seorang lelaki telah memeluk islam yang sebelumnya  mengahwini  lebih dari  empat isteri, maka dia diperintahkan untuk memilih empat daripada mereka, dan melepaskan yang lain kerana jumlah empat adalah had maksimum untuk seorang lelaki Muslim.(Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram,5/328)

Justeru kami katakan berdasarkan hadith di atas kami sahabat nabi ada yang pernah mengahwini dan mempunyai lebih dari 4 isteri semasa jahiliyyah. Namun, apabila telah memeluk islam Rasulullah SAW memerintahkannya untuk memilih hanya 4 orang isteri sahaja daripada isteri-isterinya dan menceraikan yang lain. Ini kerana lelaki muslim tidak dibolehkan berkahwin lebih dari 4 orang isteri.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahua’lam