#4034: Selipar Dijadikan Mas Kahwin

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya mas kahwin hanya selipar adakah ianya dibolehkan ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Islam merupakan satu agama yang memandang tinggi kemuliaan institusi perkahwinan, dan mengangkat darjat wanita ke tahap yang mulia. Salah satu bukti akan kenyataan ini dalam syari’at Islam dan hukum-hakam fiqh ialah pensyari’atan mahar dalam perkahwinan.

Definisi Mahar dan Konsepnya dalam Islam

Dari sudut bahasa, mahar bermaksud:

ما يَدْفَعُهُ الزَّوْجُ إِلَى زَوْجَتِهِ بِعَقْدِ الزَّوَاجِ

Maksudnya: “Apa yang dibayar oleh suami kepada isteri sebagai hadiah kepadanya dengan sebab ‘aqad nikah.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 39/151)

Menurut istilah syara’ pula mazhab Syafi’e telah mendefinisikan mahar dengan maksud:

هُوَ مَا وَجَبَ بِنِكَاحٍ أَوْ وَطْءٍ أَوْ تَفْوِيتِ بُضْعٍ قَهْرًا

Maksudnya: “Mahar adalah suatu yang diwajibkan dengan sebab pernikahan, atau persetubuhan, atau pemerkosaan.”(Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/220)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji berkata: Mahar atau mas kahwin ialah “harta yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya dengan sebab akad nikah.” Mahar juga disebut sebagai al-sadaq dan hukumnya adalah wajib  sebaik sahaja sempurna akad nikah sama ada mas kahwin itu disebut dengan kadar tertentu ataupun tidak semasa akad tersebut. Jika terdapat permuafakatan menafikannya atau tidak menyebutnya, persetujuan tersebut batal dan mas kahwin tetap wajib diserahkan.”( Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/75)

Dalam istilah bahasa Melayu, merujuk kepada Kamus Dewan, mahar kahwin adalah merupakan pemberian yang diwajibkan daripada pengantin lelaki kepada pengantin perempuan.[1]

Dalil pensyari’atan mahar dapat dilihat melalui ayat al-Qur’an:

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً فَإِنْ طِبْنَ لَكُمْ عَنْ شَيْءٍ مِنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَرِيئًا

Maksudnya: “Dan berikanlah maskawin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebagian dari mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya.”

(Surah al-Nisa’: 4)

Ibn Kathir berkata: Menurut Ibn Abbas, perkataan النحلة membawa maksud mahar. Ibn Zaid pula menjelaskan, ianya bermaksud sesuatu yang wajib diberikan kepada isteri disebabkan aqad nikah. Seorang lelaki wajib menyerahkan mahar kepada wanita sebagai hadiah dan pemberian ke atasnya dengan penuh kerelaaan hati. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/235)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa mahar atau mas kahwin adalah satu tanggungjawab yang wajib dipenuhi oleh suami terhadap isterinya disebabkan akad nikah yang dilakukan. Sebaik-baik mahar adalah yang paling mudah dan tidak membebankan pasangan. Yang demikian boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada ‘Uqbah Bin ‘Amir bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُ الصَّدَاقِ أَيْسَرُهُ

Maksudnya: Sebaik-baik mahar adalah yang paling mudah.

Riwayat Abu Dawud(2117)

Apa yang dapat difahami daripada hadith ini adalah sepertimana berikut:

  • Dalam perkahwinan mahar merupakan perkara yang mesti diberikan oleh suami walaupun sedikit sebagai hadiah kepada isteri atau pemberian disebabkan ingin mengaulinya.
  • Mahar bukanlah semata-semata perkahwinan atau gantian bahkan ia merupakan satu kewajipan atas akad perkahwinan yang suci.
  • Hukum syarak memandang perkahwinan sebagai perkara yang digalakkan dan diberi kemudahan untuk mencapai matlamat serta hasil yang baik daripada perkahwinan.”
  • Seharusnya kemiskinan tidak menjadi halangan atau penghalang untuk perkahwinan. Suami sepatutnya memberikan apa yang mampu, dan isteri serta keluarganya sepatutnya menerima dengan hati terbuka apa yang diberikan kepada mereka. Perkahwinan bukanlah tentang perniagaan atau tawaran pembelian, tetapi lebih kepada penyatuan dan pencapaian matlamatnya.” (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/417-418 )

Dalam isu ini telah dinyatakan dalam Fiqh al-Manhaji bahawa : Tidak ada batasan untuk jumlah mahar baik yang paling rendah atau yang paling tinggi. Apa-apa yang dianggap sebagai harta atau memiliki nilai dalam bentuk wang, boleh dianggap sebagai mahar, sama ada ia sedikit atau banyak, dalam bentuk barang-barang tertentu atau hutang, atau manfaat seperti permadani, seribu lira, tempat tinggal, atau mengajar tentang kemahiran . (Lihat Fiqh al-Manhaji, 4/77)

Firman Allah SWT:

وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَاءَ ذَٰلِكُمْ أَن تَبْتَغُوا بِأَمْوَالِكُم

Maksudnya: dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara bernikah.

(Surah al-Nisa:4)

Justeru kami katakan tidak menjadi kesalahan untuk menjadikan selipar sebagai mahar pemberian kepada isteri. Ini kerana syara’ tidak mesyaratkan ketetapan yang khusus dalam pemberian mahar melainkan dengan syarat sesuatu yang diberikan itu hendaklah mempunyai nilai dan manfaat. Antara hikmah pensyariatan mahar ialah sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Fiqh al-Manhaji adalah  menzahirkan hasrat suami untuk melayani isteri dengan layanan yang baik serta membina kehidupan rumahtangga yang mulia.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a’lam.

 

Nota Kaki:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=mahar – Diakses pada 19 Oktober 2023