Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya kawan saya telah dijatuhkan cerai oleh suami ketika dia dalam keadaan haid. Soalan saya adakah jatuh talak tersebut ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dari sudut bahasa, talak bermaksud lepas dan terlepas. Sementara dari sudut syarak, ia bermaksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz dan seumpamanya. Secara lebih jelas, pengertian talak sepertimana disebut dalam al-Qamus al-Fiqhi boleh difahami seperti berikut:
- Mengangkat ikatan perkahwinan.
- Menghilangkan penguasaan terhadap isteri dengan lafaz yang jelas atau kinayah yang zahir atau dengan lafaz yang tertentu disertakan bersama niat. Hal ini sepertimana disebut oleh al-Dusuqi.
- Mengangkat ikatan perkahwinan pada masa tersebut atau akan datang dengan lafaz yang khusus atau yang mengambil kedudukannya. (Lihat Dur al-Mukhtar,hlm.3/226, al-Mughni, 16/192 dan Mughni al-Muhtaj,3/279) .
Talak berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat pula bermaksud pelepasan ikatan nikah dengan ucapan talak, cerai, dan sebagainya oleh suami.
Firman Allah SWT:
ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ
Maksudnya :” Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”
(Surah al-Baqarah: 229)
Sheikh al-Maraghi menyatakan di dalam tafsirnya: “Ayat ‘sesudah itu bolehlah ia memegang terus’ membawa makna rujuklah kembali bukan dengan niat untuk melukainya. Akan tetapi dengan niat untuk melakukan islah (tambah baik) dan bergaul dengan cara yang baik. Dan ayat ‘melepaskan dengan cara yang baik’ selepas berlaku 3 kali talak,maka berikanlah haknya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/169)
Talak merupakan jalan terakhir yang digunakan oleh suami dalam penyelesaian masalah sekiranya tidak dapat dielakkan. Namun, sekiranya perkara ini digunakan hanya untuk memuaskan nafsunya, maka talak itu dianggap halal, namun perkara itu amat dibenci oleh Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/120)
Driwayat Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ
Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.”
Riwayat Abu Daud (2178)
Al-Son’ani pula menjelaskan bahawa hadith ini menjadi dalil bahawa sebaiknya, jauhilah diri daripada terjatuh dalam perbuatan talak ini selagimana terdapat padanya keluasan, iaitu ruang-ruang untuk tidak menceraikan. (Lihat Subul al-Salam, 2/248)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami ingin menyatakan bahawa dalam Islam, talak yang dijatuhkan ke atas isteri ketika dalam keadaan haid tetap diambil kira dan terjatuhnya talak. Pendapat ini adalah pandangan jumhur ulama dari kalangan empat mazhab yang muktabar, iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali, dan Syafie. Suami yang menjatuhkan talak kepada isterinya ketika berada dalam keadaan haid adalah haram dan berdosa, kerana tindakan ini memanjangkan tempoh ‘iddah isteri yang seharusnya lebih singkat dalam keadaan normal. Talak seumpama ini dikategorikan dalam talak bid’i.
Telah dinyatakan dalam Fiqh al-Manhaji bahawa Talaq Bid’i Iaitu talaq ketika isteri dalam keadaan haid atau nifas, ataupun dia dalam keadaan suci tetapi telah disetubuhi oleh suaminya, maka talak dalam keadaan ini dinamakan talaq bid’i. Hukumnya adalah haram dan berdosa, serta jatuh talaknya kerana bertentangan dengan bentuk talak yang disyariatkan.
Hal ini berdasarkan hadith daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma: “Bahawa beliau (Ibn ‘Umar) menceraikan isterinya yang sedang haid pada zaman Rasulullah SAW. Umar bin al-Khattab pun bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hal tersebut, lalu Rasulullah SAW bersabda:
مُرْهُ فَلْيُرَاجِعْهَا، ثُمَّ لِيُمْسِكْهَا حَتَّى تَطْهُرَ، ثُمَّ تَحِيضَ ثُمَّ تَطْهُرَ. ثُمَّ إِنْ شَاءَ أَمْسَكَ بَعْدُ، وَإِنْ شَاءَ طَلَّقَ قَبْلَ أَنْ يَمَسَّ، فَتِلْكَ العِدَّةُ الَّتِي أَمَرَ اللَّهُ أَنْ تُطَلَّقَ لَهَا النِّسَاءُ.
Maksudnya: “Perintah dia (Ibn ‘Umar) untuk kembali rujuk kepada isterinya. Hendaklah dia menahannya sehingga suci, kemudian haid dan suci lagi. Kemudian, jika dia mahu, dia boleh kekal dengannya selepas itu. Dan jika dia mahu, dia boleh menceraikannya sebelum menyetubuhinya. Itulah ‘iddah yang diperintahkan Allah apabila kamu menceraikan isteri.”
Riwayat al-Bukhari (5251), Abu Daud (2182) dan al-Nasa’ie (3390)
Sebab diharamkan talak Bid’i ini adalah kerana ia memberi kemudaratan kepada isteri disebabkan panjangnya tempoh ‘iddah kerana waktu haid tidak termasuk di dalam ‘iddah. Begitu juga, diharamkan menceraikan isteri yang disetubuhi ketika suci kerana kemungkinan akan mengandung. (Lihat Fiqh al-Manhaji,4/126)
Diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri RA, bahawa sabdanya:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tiada kemudaran (dalam Syariat Islam) dan tidak boleh mengenakan kemudaratan (tanpa hak).”
Riwayat Ahmad (22778) dan Ibn Majah (2340)
Dalam isu ini juga Syeikh Abdullah al-Bassam menukilkan dalam kitabnya Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram bahawa: Jumhur ulama dari empat mazhab yang muktabar berpandangan jatuhnya talak sekiranya ia dijatuhkan dalam keadaan isteri sedang haid. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/484)
Justeru kami katakan di sini talak yang dijatuhkan ketika isteri dalam keadaan haid adalah terjatuh dan ia termasuk dalam talak bid’i. Sesiapa yang menjatuhkan talak kepada isterinya dalam keadaan tersebut dikira berdosa dan tindakan tersebut adalah diharamkan oleh syara’.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahu a’lam.