#4038:  Penzina Hamil

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Jika seorang perempuan yang sudah berkahwin mengaku berzina dan hamil dari hubungan zina tersebut, bagaimana pelaksanaan hukuman hudud ke atasnya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

(Surah al-Isra’: 32)

Ibn Kathir berkata, Allah SWT melarang para hambaNya daripada perbuatan zina dan menegah daripada mendekatinya. Begitu juga setiap yang membawa kepada zina seperti faktor-faktor dan aspek-aspek yang membawa kepadanya. Firman-Nya: (وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً) “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji”, yakni suatu perbuatan dosa besar. Firman-Nya: (وَسَاءَ سَبِيلًا) “dan satu jalan yang jahat,” yakni merupakan seburuk-buruk jalan dan tingkah laku. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/72)

Perzinaan merupakan suatu yang sangat keji, kerana ia adalah punca-punca, nasab (keturunan) menjadi kacau-bilau dan manusia saling bunuh-membunuh, sembelih-menyembelih, kerana mempertahankan kehormatan. Perzinaan juga merupakan cara yang buruk jika ditinjau dari segi menyamakan antara manusia dan binatang, iaitu tidak menjodohkan antara yang betina dengan yang jantan secara khusus. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3941-3942)

Berbalik kepada persoalan saudara, jika seseorang perempuan penzina yang telah berkahwin dan mengandung akibat zina itu, syara‘ menetapkan ke atasnya hukuman rejam.

Ini jelas sebagaimana yang warid daripada Ibn ‘Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

قَالَ عُمَرُ: لَقَدْ خَشِيتُ أَنْ يَطُولَ بِالنَّاسِ زَمَانٌ، حَتَّى يَقُولَ قَائِلٌ: لاَ نَجِدُ الرَّجْمَ فِي كِتَابِ اللَّهِ، فَيَضِلُّوا بِتَرْكِ فَرِيضَةٍ أَنْزَلَهَا اللَّهُ، أَلاَ وَإِنَّ الرَّجْمَ حَقٌّ عَلَى مَنْ زَنَى وَقَدْ أَحْصَنَ، إِذَا قَامَتِ البَيِّنَةُ، أَوْ كَانَ الحَبَلُ أَوِ الِاعْتِرَافُ – قَالَ سُفْيَانُ: كَذَا حَفِظْتُ – أَلاَ وَقَدْ رَجَمَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ وَرَجَمْنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “‘Umar berkata: ‘Sesungguhnya aku takut apabila zaman telah berlalu sehingga ada yang mengatakan: Kami tidak menemukan hukum rejam di dalam al-Quran. Maka mereka sesat dengan meninggalkan suatu kewajiban yang telah diturunkan Allah SWT. Ketahuilah, sesungguhnya (hukuman) rejam itu adalah hak yang wajib dilaksanakan terhadap orang yang berzina yang telah bernikah, sekiranya telah ada saksi, atau kehamilan, atau pengakuan…’ – Sufyan berkata: ‘Begitulah lafaz yang aku hafal – “…Ketahuilah, sesungguhnya Rasulullah SAW telah melaksanakan hukuman rejam, dan kami pun merejam sepeninggalan Baginda’.”

Riwayat al-Bukhari (6829) dan Muslim (1691)

Dalam sebuah lagi hadith yang diriwayatkan daripada ‘Imran bin Husain R.A, katanya:

أَنَّ امْرَأَةً، مِنْ جُهَيْنَةَ أَتَتْ نَبِيَّ اللَّهِ ﷺ وَهِيَ حُبْلَى مِنَ الزِّنَى فَقَالَتْ يَا نَبِيَّ اللَّهِ أَصَبْتُ حَدًّا فَأَقِمْهُ عَلَىَّ فَدَعَا نَبِيُّ اللَّهِ ﷺ وَلِيَّهَا فَقَالَ: أَحْسِنْ إِلَيْهَا فَإِذَا وَضَعَتْ فَائْتِنِي بِهَا‏.‏ فَفَعَلَ فَأَمَرَ بِهَا نَبِيُّ اللَّهِ ﷺ فَشُكَّتْ عَلَيْهَا ثِيَابُهَا ثُمَّ أَمَرَ بِهَا فَرُجِمَتْ ثُمَّ صَلَّى عَلَيْهَا

Maksudnya: “Bahwasanya ada seorang perempuan dari Juhainah datang menemui Nabi SAW dalam keadaan hamil kerana zina. Lantas perempuan tersebut berkata: ‘Wahai Rasulullah, aku telah melakukan pelanggaran hukum had, maka tegakkanlah hukum tersebut kepadaku!’ Lantas Rasulullah SAW memanggil walinya dan bersabda: ‘Berbuat baiklah kepadanya! Apabila dia telah melahirkan, bawalah dia kepadaku!’ Walinya melakukan perintah tersebut. Setelah itu, Nabi SAW memerintahkan untuk membawa perempuan tersebut lalu dia diikat dengan pakaiannya. Selanjutnya Baginda memerintahkan (untuk merajamnya). Perempuan itu pun direjam lalu disembahyangkan.”

Riwayat Muslim (1696)

Imam al-Nawawi berkata ketika mensyarahkan hadith ini, ulama’ telah bersepakat bahawa wajib dikenakan hukuman rejam ke atas sesiapa sahaja yang mengakui dirinya telah melakukan zina, sedangkan dia telah berkahwin. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 11/192)

Imam Ibn Battal menyebutkan, ulama’ bersepakat bahawa perempuan yang mengandung dari perbuatan zina tidak dijatuhkan ke atasnya hukuman rejam sehinggalah dia melahirkan anak tersebut. Akan tetapi, mereka berbeza pada menentukan bilakah wajib dikenakan hukuman rejam tersebut:

  • Imam Malik mengatakan bahawa perempuan itu dijatuhkan hukuman rejam sejurus melahirkan anak, jika dia menjumpai sesiapa yang boleh menyusukan anaknya itu. Jika dia tidak menjumpai ibu susuan, maka dilewatkan pelaksanaan hukum ke atasnya sehinggalah anak itu putus susu, kerana bimbang akan kesihatan anak tersebut.
  • Imam al-Syafi‘i pula berkata, tidak dikenakan hukuman rejam sehinggalah bayi itu putus susu, sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 8/456)

Kesimpulan

Selepas meneliti hujjah di atas, kami katakan bahawa perempuan yang telah berkahwin, kemudian mengandung dari hasil penzinaan yang dilakukannya, maka dikenakan ke atasnya hukuman rejam menurut syara‘. Dan kami cenderung memilih pandangan Imam al-Syafi‘i bahawa tidak dikenakan hukuman rejam sehinggalah anak yang dilahirkan itu putus susu.

Hal ini kerana kami melihat kepada maqasid menjaga nyawa bayi tersebut lebih wajar untuk diutamakan. Dan kami pernah mengeluarkan sebuah artikel berkenaan kelebihan susu ibu yang bertajuk: “Kelebihan Susu Ibu”. Kami memetik dari artikel tersebut, mengapa pentingnya diutamakan susu ibu kandung berbanding ibu susuan yang lain. Antaranya yang disebutkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia adalah:

  • Susu ibu, terutamanya kolostrum, menguatkan sistem imuniti bayi.
  • Ia melindungi bayi dari jangkitan seperti cirit birit, selesema, bronkitis dan radang paru-paru.
  • Susu ibu mencegah berbagai masalah alahan seperti asma, ekzema dan kolik bayi.
  • Susu ibu mengandungi nutrien tertentu yang amat kritikal untuk perkembangan otak. Ia membantu dalam meningkatkan kecerdikan anak.[1]

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahu a‘lam

 

Nota Kaki:

[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/kebaikan-susu-ibu/. Diakses pada 3 November 2023.