#4044: Lelaki Menutup Kepalanya dalam Solat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah dianjurkan atau disunatkan bagi lelaki untuk menutup kepalanya atau memakai kopiah ketika mendirikan solat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, pada asalnya sah solat seorang lelaki yang tidak menutup kepalanya sebagaimana yang disebut oleh para ulama seperti Imam al-Nawawi. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/51).

Secara umumnya, dianjurkan atau disunatkan bagi lelaki untuk menutup kepalanya dengan serban atau apa-apa pada maknanya. Perkara tersebut (yakni disunatkan untuk menutup kepala) lebih ditekankan bagi imam kerana dalam keadaan begitulah Nabi SAW mendirikan solat. Imam al-Nawawi menyebutkan, dianjurkan (sunat) bagi lelaki untuk mendirikan solat dengan memakai pakaian terbaik yang ada dan memakai serban. (Lihat Raudhah al-Talibin, 1/288).

Begitu juga al-‘Allamah al-Buhuti turut menyatakan, disunatkan bagi lelaki dan bagi imam pula adalah lebih ditekankan kerana dia menjadi ikutan dan berada di hadapan para makmum serta solat mereka bergantung dengan solat imam tersebut, untuk mendirikan solat dengan memakai dua helai kain (yakni atas dan bawah). Bahkan sebahagian mereka menyebutkannya secara ijma‘. Ibn Tamim dan selainnya menambah, dengan menutup kepalanya dengan memakai serban atau apa-apa yang pada maknanya. Hal ini kerana dalam keadaan begitulah Nabi SAW mendirikan solat. Al-Majd juga menyebutkannya dalam syarahnya. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 1/266).

Bahkan ulama Hanafiyyah berpendapat, makruh solat seseorang dengan kepala yang terdedah (tidak tertutup) kerana malas. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh al-‘Allamah al-Haskafi dalam al-Durr al-Mukhtar (1/429) ketika menyebutkan perkara-perkara makruh dalam solat iaitu solat seseorang dalam keadaan terdedah kepalanya kerana malas dan tidak mengapa dengannya (yakni dalam keadaan terdedah kepala) kerana merendah diri.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa menutup kepala ketika solat bagi lelaki tidak termasuk dalam rukun-rukun solat, bahkan sah solat seseorang lelaki sekalipun tanpa menutup kepala mereka. Akan tetapi menutup kepala bagi lelaki ketika mendirikan solat termasuk dalam perkara-perkara yang dianjurkan. Justeru, kami berpendapat bahawa disunatkan atau dianjurkan bagi seseorang lelaki untuk menutup kepala mereka sama ada dengan memakai serban, kopiah, songkok atau apa-apa pada maknanya ketika dalam solat.

Akan tetapi jika seseorang lelaki itu tetap tidak menutup kepala mereka ketika mendirikan solat, hal itu tidaklah mengapa dan ia hanyalah khilaf aula (menyelisihi perkara yang lebih utama), dan tidaklah dihukumkan sebagai haram mahupun makruh.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)