Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya telah membaca tulisan tuan berkenaan hukuman hudud ke atas penzina menurut Islam. Persoalan saya, bagaimana pula jika penzina itu belum berkahwin, uzur dan lemah, adakah dia juga dikenakan hukuman sebat 100 kali?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Dalam menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan firman Allah SWT:
الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ ۖ
Maksudnya: “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat.”
(Surah al-Nur: 2)
Imam Ibn Kathir berkata, ayat Allah yang mulia ini menceritakan tentang hukuman bagi penzina, dan para ulama’ mempunyai perincian dan perselisihan tentang hukuman tersebut. Penzina itu boleh jadi dia belum berkahwin atau dia sudah berkahwin. Sekiranya dia belum berkahwin, maka hukumannya adalah 100 kali sebatan seperti yang disebutkan dalam ayat, dan ditambah dengan hukuman buang daerah menurut pendapat majoriti ulama’ kecuali Imam Abu Hanifah. Menurut Imam Abu Hanifah, hukuman buang daerah ini tertakluk kepada keputusan pemerintah, jika dia mahu maka dikenakan hukuman buang daerah, dan jika dia tidak mahu maka tidak dihukum demikian. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/3)
Ini thabit berdasarkan riwayat Abu Hurairah dan Zaid bin Khalid al-Juhani R.Anhuma, kisah seorang lelaki Badawi yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang anaknya yang belum berkahwin telah berzina dengan isteri majikannya, lalu lelaki ini membayar kepada majikan anaknya 100 ekor kambing serta seorang hamba perempuan. Maka Baginda SAW bersabda:
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَأَقْضِيَنَّ بَيْنَكُمَا بِكِتَابِ اللَّهِ، الوَلِيدَةُ وَالغَنَمُ رَدٌّ عَلَيْكَ، وَعَلَى ابْنِكَ جَلْدُ مِائَةٍ، وَتَغْرِيبُ عَامٍ، اغْدُ يَا أُنَيْسُ إِلَى امْرَأَةِ هَذَا، فَإِنِ اعْتَرَفَتْ فَارْجُمْهَا، قَالَ: فَغَدَا عَلَيْهَا، فَاعْتَرَفَتْ، فَأَمَرَ بِهَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ، فَرُجِمَتْ
Maksudnya: “Rasulullah SAW bersabda: ‘Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya aku akan memutuskan antara kamu berdua berdasarkan Kitab Allah. Hamba perempuan dan kambing dipulangkan semula kepada kamu dan ke atas anak engkau (hukumannya) 100 kali sebatan dan dibuang daerah selama setahun. Wahai Unais, pergilah menemui isteri orang ini. Sekiranya dia mengaku (telah berzina), maka rejamlah dia.’ Dia berkata: Keesokan harinya, dia (Unais) pergi menemui perempuan itu dan dia mengakuinya (telah berzina). Maka, Rasulullah SAW memerintahkannya agar direjam lalu dia direjam.”
Riwayat al-Bukhari (2724) dan Muslim (1697)
Keadaan Kesihatan Penzina Boleh Mempengaruhi Hukuman?
Berbalik kepada persoalan yang saudara ajukan, kami melihat bahawa ianya berkisar tentang keadaan kesihatan penzina tersebut, adakah ianya diraikan oleh Islam sebelum melaksanakan sebarang hukuman ke atasnya, atau ianya tidak memberikan sebarang perubahan terhadap hukum yang telah ditetapkan.
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Sa‘id bin Sa‘ad bin ‘Ubadah R.Anhuma, katanya:
كَانَ بَيْنَ أَبْيَاتِنَا رُوَيْجِلٌ ضَعِيفٌ، فَخَبَثَ بِأَمَةٍ مِنْ إِمَائِهِمْ، فَذَكَرَ ذَلِكَ سَعْدٌ لِرَسُولِ اَللَّهِ ﷺ فَقَالَ: اِضْرِبُوهُ حَدَّهُ. فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اَللَّهِ! إِنَّهُ أَضْعَفُ مِنْ ذَلِكَ، فَقَالَ: خُذُوا عِثْكَالًا فِيهِ مِائَةُ شِمْرَاخٍ، ثُمَّ اِضْرِبُوهُ بِهِ ضَرْبَةً وَاحِدَةً. فَفَعَلُوا
Maksudnya: “Di kawasan kejiranan kami ada seorang lelaki kecil yang lemah telah berzina dengan salah seorang budak perempuan mereka. Lalu Sa‘ad mengkhabarkan hal itu kepada Rasulullah SAW dan beliau bersabda: ‘Pukullah (sebat 100 kali) dia sebagai hukumannya.’ Mereka berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya dia tidak tahan dengan pukulan seperti itu. Baginda bersabda: ‘Ambillah pelepah kurma yang memiliki seratus ranting dan pukullah dengan itu sekali.’ Kemudian mereka melakukannya.”
Riwayat Ahmad (522), al-Nasa’ie (7268) dalam al-Sunan al-Kubra dan Ibn Majah (2754)
Imam Ibn Kathir menceritakan sebuah kisah mengenai Nabi Allah Ayyub A.S, beliau pernah marah kepada isterinya yang didapati melakukan sesuatu perkara. Nabi Ayyub A.S bersumpah sekiranya dia diberikan kesembuhan oleh Allah SWT, dia akan menyebat isterinya sebanyak 100 kali. Apabila beliau sembuh, mana mungkin isterinya yang menjaganya dengan sempurna, sifat rahmat, kasih sayang dan belas ihsan dibalas dengan sebatan. Maka Allah SWT menurunkan firman-Nya:
وَخُذْ بِيَدِكَ ضِغْثًا فَاضْرِب بِّهِ وَلَا تَحْنَثْ
Maksudnya: “Dan (Kami perintahkan lagi kepadanya): ‘Ambilah dengan tanganmu seikat jerami kemudian pukulah (isterimu) dengannya; dan janganlah engkau merosakkan sumpahmu itu’.”
(Surah Sad: 44)
Dan jerami yang dimaksudkan itu adalah al-syimrakh atau pelepah kurma yang memiliki seratus ranting, atau segenggam batang-batang gandum (yang mungkin menyamai 100 batang). Nabi Ayyub A.S pun memukul isterinya dengan jerami itu sekali sahaja, maka dengan itu dia telah menunaikan sumpahnya dan tidak melanggar sumpah tersebut. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/66)
Imam al-San‘ani berkata, hadith ini sebagai bukti bahawa orang yang lemah atau uzur kerana sesuatu penyakit atau seumpamanya, dan dia tidak mampu untuk dikenakan ke atasnya hukuman yang biasa (seperti sebatan 100 kali), maka dikenakan ke atasnya hukuman yang seumpama dengan hukuman asal secara sekali gus tanpa mengulangi sebatan, seperti sebatan menggunakan ranting-ranting atau seumpamanya. Majoriti ulama’ mengatakan, kesemua ranting-ranting yang ada pada pelepah kurma perlu terkena pada tubuh pesalah agar tercapainya hukuman hudud itu. Dan dikatakan juga, tidak perlu sehingga semua ranting mengenai tubuh pesalah kerana Allah SWT tidak menciptakan ranting-ranting pada pelepah tiu tumbuh secara melintang lurus sehingga 100, oleh itu mustahil untuk kesemua 100 itu mengenai tubuh semasa hukuman. Sekiranya orang yang sakit itu boleh sembuh, atau takut dia ditimpa kepanasan atau kesejukan cuaca di luar (kerana dikenakan hukuman di luar), maka boleh ditunda dahulu sehingga dia sembuh atau hilang ketakutan itu. (Lihat Subul al-Salam, 4/419)
Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam berkata, pada hadith ini padanya bukti bahawa seseorang pemerintah itu perlu memeriksa terlebih dahulu keadaan kesihatan orang yang dikenakan hukuman sebatan, dan pemerintah juga perlu memastikan nyawa pesalah itu terpelihara dengan cara mengurangkan sedikit hukuman yang dijatuhkan. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/237)
Kesimpulan
Natijah dari perbincangan ini, hukuman asas bagi penzina yang belum adalah sebatan sebanyak 100 kali dan dibuang daerah selama setahun, mengikut ketentuan yang akan ditetapkan oleh pemerintah setempat. Dan keadaan kesihatan penzina itu boleh mempengaruhi hukuman, yang mana pada hakikatnya ini adalah salah satu bentuk rahmat Allah SWT kepada para hamba-Nya, meskipun mereka telah melakukan maksiat atau kesilapan.
Sekiranya penzina itu uzur atau lemah kerana sebarang penyakit atau ketakutan, yang mana penyakit itu boleh sembuh dan ketakutan itu boleh hilang, maka diharuskan untuk menunda dahulu hukuman ke atasnya sehinggalah dia sembuh atau hilang ketakutannya.
Sekiranya dia tidak ada harapan untuk sembuh, maka boleh untuk diringankan sedikit hukuman ke atasnya dengan mengenakan sebatan secara sekali gus sahaja seperti menggunakan pelepah tamar yang mempunyai 100 tangkai atau seumpamanya.
Semoga penulisan ini bermanfaat buat para pembaca dan seterusnya menambahkan ilmu baru kepada kita semua. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahu a‘lam