#4048: Kenabian Bunyamin

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah Bunyamin iaitu adik kepada Nabi Yusuf A.S ialah seorang nabi? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, Binyamin atau Bunyamin, bahkan Banyamin adalah merujuk kepada nama saudara atau adik kandung kepada Nabi Yusuf A.S. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Muhammad Murtadha al-Zabidi bahawa:

بِنْيامِين بالكسْر: اسمُ أَخٍ لسيِّدِنا يوسُفَ الصِّدِّيق، عَلَيْهِمَا السَّلَام، لأُمِّه وأَبيه

Maksudnya: “Binyamin dibaca dengan baris bawah (pada huruf ba’) iaitu nama saudara/adik kepada Saidina Yusuf al-Siddiq ‘Alaihima al-Salam, iaitu saudara seibu sebapa — adik kandung.” (Lihat Taj al-‘Arus min Jawahir al-Qamus, 34/286).

Sebutannya dengan baris atas pada huruf ba’ ada dinyatakan oleh Muhammad al-Amin bin Abdullah al-Urami al-Harari ketika menafsirkan ayat:

إِذْ قَالُوا لَيُوسُفُ وَأَخُوهُ أَحَبُّ إِلَىٰ أَبِينَا مِنَّا وَنَحْنُ عُصْبَةٌ إِنَّ أَبَانَا لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ

Maksudnya: “(Kisah itu bermula) ketika saudara-saudara Yusuf berkata (sesama sendiri): ‘Sesungguhnya Yusuf dan adiknya, lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata.’

(Surah Yusuf: 8)

Beliau menyebutkan bahawa:

{وَأَخُوهُ} الشَّقِيقُ بِنْـيَامِين بِكَسْرِ الْبَاءِ وَفَـتْحِهَا

Maksudnya: “Dan saudaranya iaitu adik kandungnya, Binyamin boleh dibaca dengan huruf ba’ berbaris bawah dan huruf ba’ berbaris atas — iaitu Banyamin.” (Lihat Tafsir Hada’iq al-Ruh wa al-Raihan fi Rawabi ‘Ulum al-Quran, 13/322).

Begitu juga Syeikh Muhammad Nawawi al-Jawi turut menyebutkan dalam kitabnya ketika menafsirkan ayat 8 Surah Yusuf (sebagaimana dinyatakan di atas) bahawa:

وَأَخُوهُ الشَّقِيقُ بِنْـيَامِين بِكَسْرِ الْبَاءِ وَفَـتْحِهَا

Maksudnya: “Dan adik kandungnya, Binyamin boleh dibaca dengan huruf ba’ berbaris bawah dan huruf ba’ berbaris atas — iaitu Banyamin.” (Lihat Marah Labid li Kasyf Ma‘na al-Qur’an al-Majid, 1/523).

Manakala sebutannya dengan baris depan pada huruf ba’ ada dinyatakan oleh ‘Isamuddin Ismail bin Muhammad al-Hanafi dalam kitabnya bahawa:

بِنْـيَامِين بِكَسْرِ الْبَاءِ وَنُـقِلَ بِضَمِّ الْبَاءِ

Maksudnya: “Binyamin dibaca dengan huruf ba’ berbaris bawah dan dinukilkan juga dibaca dengan huruf ba’ berbaris depan — iaitu Bunyamin.” (Lihat Hasyiah al-Qunawi ‘ala Tafsir al-Baidhawi, Cet. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 10/259).

Dalam menjawab soalan di atas, berkenaan kenabian Bunyamin, hal ini adalah sesuatu yang tidak sabit secara khusus buat Bunyamin tanpa turut memasukkan bersamanya adik-beradiknya yang lain. Tidak dijumpai dalam kalangan ahli sirah dan sejarah yang menyebutkan dirinya sebagai nabi tanpa menyebutkan juga bersamanya adik-beradiknya yang lain. Nama adik-beradik Nabi Yusuf A.S sebagaimana disebutkan oleh al-Qurtubi ialah Rubil (رُوبِيلُ) — dan dia adalah anak yang paling sulung di antara mereka, — Syam‘un (شَمْعُونُ), Lawi (لَاوِي), Yahuza (يَهُوذَا), Zayalun (زيالون), Yasyjir (يشجر), Dan (دان), Naftali (نفتالي), Jad (جاد), Asyir (آشر) dan Binyamin (بِنْيَامِينَ). (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 9/130).

Secara umumnya, para ulama berbeza pendapat mengenai kenabian Bunyamin kepada sekurang-kurangnya dua pendapat.

Pendapat pertama, sebahagian ulama berpendapat Bunyamin adalah seorang nabi. Ibn ‘Adil dalam tafsirnya menyebutkan, kenikmatan sempurna yang terhasil yang membezakan Nabi Ibrahim dan Nabi Ishaq daripada seluruh manusia yang lain adalah kenabian. Oleh itu, yang dimaksudkan dengan “menyempurnakan kenikmatan” itu adalah al-Nubuwwah (kenabian). Dengan demikian, maka wajarlah pendapat yang menyatakan bahawa anak-anak Nabi Ya‘qub kesemua mereka adalah nabi. Hal ini sebagaimana dinyatakan dalam firman Allah SWT:

 وَيُتِمُّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكَ وَعَلَىٰ آلِ يَعْقُوبَ

Maksudnya: “Serta akan menyempurnakan nikmat-Nya kepadamu dan kepada keluarga Ya‘qub.

(Surah Yusuf: 6)

Jika ada pertanyaan tentang bagaimana mungkin mereka boleh menjadi nabi setelah tindakan mereka ke atas Nabi Yusuf A.S? Maka, jawapannya adalah bahawa tindakan mereka itu berlaku sebelum kenabian mereka, sedangkan kemaksuman hanya sabit pada waktu kenabian, bukan sebelumnya. (Lihat al-Lubab fi ‘Ulum al-Kitab, 11/19; lihat juga Mafatih al-Ghaib oleh Fakhruddin al-Razi, 18/421).

Begitu juga Syeikh al-Asyqar turut menyatakan dalam kitabnya, al-Rusul wa al-Risalat (hlm. 19) bahawa di sini sebahagian nabi ada ditunjukkan atau diberi isyarat oleh al-Quran akan kenabian mereka. Akan tetapi kita tidak mengetahui nama-nama mereka. Mereka ialah al-Asbat (الأسباط), dan al-Asbat ialah anak-anak Nabi Ya‘qub. Mereka ialah seramai 12 orang lelaki dan al-Quran hanya menyebutkan nama salah seorang daripada mereka iaitu Nabi Yusuf. Manakala baki sebelas orang lagi daripada kalangan mereka, tidak disebutkan namanya oleh Allah SWT kepada kita — dalam al-Quran. Akan tetapi Allah SWT mengkhabarkan kepada kita bahawa Dia memberikan wahyu kepada mereka. Firman Allah SWT:

قُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنزِلَ إِلَيْنَا وَمَا أُنزِلَ إِلَىٰ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): ‘Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Ya‘qub serta anak-anaknya.’

(Surah al-Baqarah: 136)

Begitu juga firman Allah SWT:

أَمْ تَقُولُونَ إِنَّ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطَ كَانُوا هُودًا أَوْ نَصَارَىٰ ۗ قُلْ أَأَنتُمْ أَعْلَمُ أَمِ اللَّهُ ۗ وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن كَتَمَ شَهَادَةً عِندَهُ مِنَ اللَّهِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “‘Atau patutkah kamu mengatakan, bahawa Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Ya‘qub beserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani, (padahal agama mereka telah pun ada sebelum adanya agama Yahudi atau agama Kristian itu)?’ Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?’ Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan.

(Surah al-Baqarah: 140)

Selain itu, dalam kitab yang sama, dalam perbahasan mengenai kemaksuman para nabi daripada dosa-dosa kecil, beliau menyebutkan beberapa contoh, kemudian beliau menyebutkan, cukuplah beberapa contoh yang kami telah sebutkan ini, dan masih banyak lagi contoh-contoh yang lain. Sekiranya tidak, al-Quran ada menyatakan berkenaan kemarahan Nabi Yunus terhadap kaumnya dan keluarnya Baginda dari kaumnya (yakni meninggalkan mereka) tanpa izin daripada Tuhannya, begitu juga perbuatan yang dilakukan oleh anak-anak Nabi Ya‘qub terhadap adik-beradik mereka, Nabi Yusuf ketika mereka membuangnya ke dalam sumur, kemudian Allah memberi wahyu kepada mereka dan menjadikan mereka nabi. (Lihat al-Rusul wa al-Risalat, hlm. 109).

Pendapat kedua menyatakan bahawa adik-beradik Nabi Yusuf bukanlah nabi. Inilah pendapat yang rajih (kuat) yang dipegang oleh para pentahqiq dalam kalangan ulama. Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Ibn Kathir bahawa tidak ada dalil mahupun bukti yang menunjukkan kepada kenabian adik-beradik Nabi Yusuf A.S. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 4/319).

Begitu juga al-Suyuti turut menyebutkan, di sana terdapat dua pendapat ulama mengenai (kenabian) adik-beradik Nabi Yusuf A.S. Pendapat kebanyakan ulama dalam kalangan salaf (terdahulu) mahupun khalaf (terkemudian) ialah mereka bukan nabi. Adapun ulama salaf, tidak dinukilkan daripada seorangpun dalam kalangan sahabat yang mana mereka berpendapat akan kenabian mereka (adik-beradik Nabi Yusuf). Begitu juga Ibn Taimiyyah turut menyebutkan, aku tidak menghafal (mengetahui) daripada seorangpun dalam kalangan tabi‘in yang berpendapat demikian. Adapun atba‘ al-Tabi‘in, maka dinukilkan daripada Ibn Zaid bahawa beliau berpendapat akan kenabian mereka, lalu pendapat ini dipegang oleh sekelompok kecil dalam kalangan ulama, begitu juga pendapat ini diingkari (dikritik) oleh sebilangan besar dalam kalangan atba‘ al-Tabi‘in dan ulama selepas mereka.

Adapun ulama khalaf, maka dalam kalangan mufassir juga mempunyai perbezaan pendapat. Di antara mereka ada yang berpendapat sebagaimana pendapat Ibn Zaid seperti al-Baghawi. Ada juga di antara mereka yang dengan tegas menolak pendapat tersebut seperti al-Qurtubi, Imam Fakhruddin dan Ibn Kathir. Ada juga di antara mereka yang menukilkan dua pendapat mengenai hal itu tanpa memberikan sebarang tarjihan seperti Ibn al-Jauzi.  Ada juga di antara mereka yang tidak mengulas tentang perkara ini, tetapi menyebutkan apa yang menunjukkan bahawa mereka bukan nabi seperti tafsirannya mengenai al-Asbat sebagai sesiapa yang dilantik menjadi nabi dalam kalangan Bani Isra’il dan diturunkan kepada mereka dengan apa yang diturunkan kepada nabi-nabi mereka seperti pendapat Abu al-Laith al-Samarqandi dan al-Wahidi.

Ada juga di antara mereka yang tidak mengulas langsung mengenai perkara tersebut, akan tetapi mereka menafsirkan al-Asbat sebagai anak-anak Nabi Ya‘qub. Maka sebahagian orang menyangka itu adalah pendapat yang menyatakan kenabian mereka. Akan tetapi sebenarnya yang dimaksudkan adalah keturunannya (zuriatnya) dan bukannya anak-anaknya. Al-Qadhi ‘Iyadh juga ada menyatakan dalam al-Syifa bahawa adik-beradik Nabi Yusuf tidak sabit akan kenabian mereka. Selain itu, disebutkan al-Asbat ketika mana disebutkan juga mengenai para nabi. Para mufassir menyebutkan, makna yang dikehendaki daripadanya adalah sesiapa yang dilantik menjadi nabi daripada anak-anak al-Asbat (anak-anak Nabi Ya‘qub). Justeru, lihatlah nukilan ini daripada para mufassir seperti al-Qadhi. Ibn Kathir menyebutkan, ketahuilah bahawa tidak ada dalil mahupun bukti yang menunjukkan kepada kenabian adik-beradik Nabi Yusuf A.S. Bahkan konteks ayat al-Quran itu menunjukkan kepada perkara yang sebaliknya. Ada dalam kalangan manusia yang menyangka mereka diberikan wahyu selepas itu. Mengenai hal ini terdapatnya perbincangan, dan orang yang mendakwa mengenai hal tersebut perlu membawa bukti. Mereka tidak menyebutkan mengenai hal itu melainkan hanya merujuk kepada firman Allah SWT:

وَمَا أُنزِلَ إِلَىٰ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطِ

Maksudnya: “Dan apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Ya‘qub serta anak-anaknya.

(Surah al-Baqarah: 136)

Dalam hal ini terdapatnya kebarangkalian (ihtimal); kerana suku kaum bani Isra’il dipanggil sebagai al-Asbat (الْأَسْبَاطُ) sebagaimana suku orang Arab dipanggil sebagai kabilah (قَبَائِلُ) dan suku orang bukan Arab dipanggil sebagai bangsa (شُعُوبٌ). Maka Allah SWT menyebutkan bahawasanya Dia memberikan wahyu kepada para nabi dalam kalangan asbat Bani Isra’il dan Dia menyebutkannya secara umumnya (ijmalan) kerana jumlah mereka adalah ramai. Akan tetapi setiap zuriat daripada adik-beradik Nabi Yusuf termasuk dalam kalangan asbat, dan tidak terdapatnya dalil mahupun bukti yang menunjukkan setiap mereka itu (yakni adik-adik Nabi Yusuf) diturunkan wahyu kepada mereka. (Lihat al-Hawi li al-Fatawi, 1/367-368).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa Bunyamin yang merupakan adik-beradik Nabi Yusuf A.S, bukanlah seorang nabi sebagaimana pendapat majoriti ulama seperti Ibn Kathir, al-Suyuti dan lain-lain. Hal ini kerana tidak terdapat dalil mahupun bukti yang menunjukkan bahawa semua adik-beradik Nabi Yusuf A.S turut dilantik menjadi nabi. Sekalipun begitu, kami tidak menafikan hal ini termasuk dalam perkara yang diperselisihi ulama disebabkan oleh ketidakjelasan dalil yang menunjukkan kepada hal tersebut. Oleh sebab itu, sebahagian ulama berpendapat kesemua adik-beradik Nabi Yusuf juga dilantik sebagai nabi.

Pada kesempatan ini, sebagai penutupnya, kami katakan juga bahawa berkenaan soal adik-beradik Nabi Yusuf termasuklah salah seorang daripadanya Bunyamin adalah seorang nabi ataupun tidak, kejahilan mengenainya tidaklah mengakibatkan seseorang itu mendapat hukuman dan tidak juga memberi kesan ke atas iman orang yang beriman kerana ia bukanlah termasuk dalam perkara-perkara akidah yang dipertanggungjawabkan oleh agama. Justeru, adalah lebih baik untuk tidak terlalu banyak menyibukkan diri membahaskan mengenainya. Lebih-lebih lagi perbahasan mengenainya dalam kitab-kitab tafsir dan tarikh (sejarah) adalah lebih panjang dan luas bagi sesiapa yang ingin menambah pengetahuan mengenainya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)