#4050: Binatang Disetubuhi Manusia

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Maaf jika soalan saya agak melampau. Saya nampak masyarakat kita sudah makin kurang akhlak dan moralnya sehingga terkadang itu ada yang sanggup melawak untuk menyetubuhi binatang dan seumpamanya. Persoalan saya, jika benar perkara itu berlaku, bagaimana apakah hukuman yang Islam kenakan ke atas binatang itu sendiri dan pelaku perbuatan songsang ini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Melakukan persetubuhan dengan binatang adalah perbuatan tercela yang melanggar fitrah manusia, dan merupakan salah satu dosa yang paling keji. Perbuatan mungkar ini adalah diharamkan dengan persepakatan ulama’ Islam. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) – yang terang daripadanya dan yang tersembunyi.”

(Surah al-An‘am: 151)

Bagaimana mungkin seseorang itu tergamak mendatangi binatang-binatang, sedangkan Allah SWT telah menciptakan bagi setiap jantina itu pasangan dari jantina yang lainnya, dan pastinya pasangan ini dari jenis yang sama. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

وَمِن كُلِّ شَيْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu sentiasa mengingati dan menghayati kebesaran Kami).”

(Surah al-Zariyat: 49)

Akan tetapi, masih ada sebahagian mereka yang telah rosak fitrahnya sehingga lebih memilih untuk bersama dengan haiwan berbanding pasangan yang Allah telah jadikan buat mereka. Maka Islam juga menetapkan hukuman yang berat bagi perbuatan terkutuk ini sebagai ancaman kepada sesiapa sahaja yang berkehendak melakukannya.

Pengharaman perbuatan ini jelas berdasarkan ancaman-ancaman yang disebutkan dalam nas syara‘. Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebutkan, sesiapa yang menyetubuhi binatang, maka dihukumkan ke atasnya dengan hukuman ta‘zir dan tidak dikenakan hukuman hudud, ini berdasarkan pandangan yang kuat menurut mazhab. Hal ini kerana perbuatan ini bukanlah perkara yang menaikkan nafsu syahwat mereka yang mempunyai fitrah yang selamat dan lurus, bahkan mereka tidak akan cenderung ke arah perkara tersebut, maka tidak perlu kepada ancaman. Adapun hukuman hudud itu merupakan ancaman kepada setiap orang agar tidak mendekati perkara yang syahwat mereka secara semula jadi cenderung ke arahnya dengan cara yang tidak dibenarkan oleh syara‘.

Ta‘zir pula merupakan hukuman yang tidak ditetapkan, ditentukan oleh pemimpin muslim yang adil menurut apa yang dia lihat mampu menyekat orang-orang begini dari melakukan perbuatan yang hina ini, sama ada dengan hukuman sebat, buang daerah, dipenjara atau dikecam. Ini kerana perbuatan maksiat (setubuhi binatang) ini tidak ditetapkan hukuman hudud atau kaffarah, maka diwajibkan hukuman ta‘zir. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/62)

Imam Ibn al-Qayyim menyebutkan, fuqaha’ berbeza pendapat kepada 3 pandangan mengenai hukuman ke atas orang yang menyetubuhi binatang:

Pertama: Dia dihukum dengan ta‘zir dan tidak dikenakan hudud. Inilah pandangan Imam Malik, Imam Abu Hanifah, dan salah satu pandangan Imam al-Syafi‘i yang disebutkan oleh Ishaq.

Kedua: Hukumannya seperti hukuman zina, disebat sekiranya dia belum berkahwin, dan direjam sekiranya dia telah berkahwin. Ini adalah pandangan kedua Imam al-Syafi‘i yang disebutkan oleh al-Hasan.

Ketiga: Hukumannya seperti hukuman liwat yakni dibunuh, seperti yang disebutkan oleh Imam Ahmad.

Pandangan yang mengatakan bahawa hukumannya adalah hukuman bunuh, mereka berhujjah dengan riwayat Ibn ‘Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ وَجَدْتُمُوهُ يَعْمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ، فَاقْتُلُوا الفَاعِلَ وَالمَفْعُولَ بهِ، وَمَنْ وَجَدْتُمُوهُ وَقعَ عَلَى بَهِيمَةٍ، فَاقْتُلُوهُ، وَاقْتُلُوا البَهِيمَةَ

Maksudnya: “Sesiapa yang kamu temui melakukan amalan kaum Nabi Lut, hendaklah dibunuh pelaku dan yang diperlaku. Dan sesiapa yang kamu temui melakukannya pada binatang, hendaklah dibunuh orang dan binatang tersebut.”

Riwayat Abu Dawud (4462), al-Tirmizi (1456), Ibn Majah (2561) dan Ahmad (2732)

Dan mereka juga mengatakan demikian kerana persetubuhan dengan binatang ini merupakan persetubuhan yang tidak akan dibenarkan dengan apa cara sekalipun, maka dibunuh sepertimana hukuman liwat.

Manakala pandangan yang mengatakan bahawa orang ini tidak dikenakan hukuman hudud, kerana mereka berpendapat bahawa hadith Ibn ‘Abbas R.A di atas tidak sahih. Jika sahih, sudah pasti tidak halal bagi mereka untuk menyelisihi nas tersebut.

Dinukilkan kalam Isma‘il bin Sa‘id al-Syalanji, katanya: “Aku bertanya Imam Ahmad tentang orang yang menyetubuhi binatang, maka beliau bertawaqquf tentangnya, dan tidak thabit hadith riwayat ‘Amru bin Abi ‘Amru tentang hukuman (bunuh) itu.” Dinukilkan pula dari al-Tahawi, katanya: “Hadith ‘Amru itu dha‘if, dan Ibn ‘Abbas juga pernah meriwayatkannya, tetapi beliau berfatwa bahawa orang tersebut tidak dikenakan hukuman hudud. Abu Dawud berkata, perbuatan Ibn ‘Abbas ini mendha‘ifkan hadith (hukuman bunuh) ini.” (Lihat al-Da’ wa al-Dawa’, hlm. 176)

Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.A, katanya:

لَيْسَ عَلَى الَّذِي يَأْتِي الْبَهِيمَةَ حَدٌّ

Maksudnya: “Tidak ditetapkan ke atas mereka yang menyetubuhi binatang itu sebarang hukum hudud.”

Riwayat Abu Dawud (4465) dan al-Tirmizi (1455)

Disebutkan juga dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, majoriti fuqaha’ berpendapat bahawa tidak ada hukuman hudud terhadap orang yang menyetubuhi binatang, akan tetapi dikenakan hukuman ta‘zir. Ini berdasarkan riwayat Ibn ‘Abbas R.A: “Tidak ditetapkan ke atas mereka yang menyetubuhi binatang itu sebarang hukum hudud.” Ini kerana fitrah yang baik akan menolak perbuatan ini, maka tidak perlu mengancamnya dengan hukuman hudud.

Dan menurut jumhur fuqaha’ juga dari kalangan al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah dan al-Syafi‘iyyah bahawa binatang tersebut tidak perlu dihukum mati. Dan jika ianya dihukum mati, boleh dimakan dagingnya tanpa dihukumkan sebagai makruh sekiranya ia termasuk dalam binatang yang halal dimakan menurut al-Malikiyyah dan al-Syafi‘iyyah. al-Hanafiyyah pula mengatakan hukum mengambil manfaat dari binatang tersebut adalah makruh.

Fuqaha’ al-Hanabilah pula berpandangan bahawa binatang tersebut wajib dibunuh, sama ada binatang itu miliknya atau milik orang lain, dan sama ada dagingnya halal dimakan atau tidak. Ini juga adalah salah satu pandangan dalam Mazhab al-Syafi‘i, berdasarkan riwayat Ibn ‘Abbas R.A: “Dan sesiapa yang kamu temui melakukannya pada binatang, hendaklah dibunuh orang dan binatang tersebut.”

Dan Mazhab al-Syafi‘i mempunyai pandangan lain, iaitu disembelih binatang yang halal dimakan, tetapi diharamkan memakan dagingnya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 24/33)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan yang kami bawakan, maka hukuman terhadap mereka yang menyetubuhi binatang adalah hukuman ta‘zir, dan ia tertakluk kepada kebijaksanaan pemerintah sama ada menjatuhkan ke atasnya hukuman sebat, buang daerah, penjara atau dikutuk perbuatannya.

Manakala binatang yang disetubuhi itu pula, maka majoriti fuqaha’ berpandangan bahawa ia tidak dibunuh atau disembelih. Akan tetapi, jika ia tetap disembelih, diharuskan untuk memakan dagingnya.

Kami mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan agar kita lebih memenuhkan hati dan jiwa dengan berzikir serta beribadah kepada Allah SWT agar dapat dijauhkan dari sebarang kehendak ke arah nafsu songsang begini. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahu a‘lam