#4051: Mass Culling Anak Ayam Jantan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Dalam industri penternakan ayam, anak ayam jantan yang baru menetas itu akan dibunuh serta merta bagi tujuan untuk mengurangkan kos ladang ayam (chicken farm) kerana anak ayam jantan kuat makan tetapi pembesarannya lambat. Proses ini dipanggil sebagai mass culling. Apakah pandangan agama mengenai hal tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan “mass culling” itu. Perkataan cull bermaksud untuk memilih daripada satu kumpulan; atau untuk mengurangkan atau mengawal saiz sesuatu melalui kaedah penyingkiran iaitu dengan membunuhnya, lebih-lebih lagi yang lemah dan sakit.[1] Manakala “mass culling” pula ialah satu proses untuk mengasingkan organisma dari satu kumpulan mengikut ciri-ciri yang diinginkan atau tidak diinginkan. Dalam konteks industri pembiakan haiwan, ia adalah suatu proses untuk menghapuskan atau mengasingkan haiwan-haiwan dari stok pembiakan berdasarkan ciri-ciri tertentu seperti jantina atau spesies.[2]

Anak ayam jantan dianggap sebagai haiwan yang tidak bernilai atau waste products dalam industri daging dan telur. Dilaporkan lebih daripada tujuh billion anak ayam jantan telah dibunuh seluruh dunia setiap tahun, sama ada ia dicincang hidup-hidup dengan mesin mencincang (shredding machines) atau dengan gas atau dibuang di dalam tong sampah dan dibiarkan mati lemas.[3]

Keduanya, dalam menjawab soalan di atas, agama Islam sangat menekankan soal berbuat baik (Ihsan) kepada seluruh makhluk termasuklah haiwan. Sehinggakan saat hendak menyembelihnya pun kita diperintahkan untuk mematikannya dengan cara yang terbaik sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

إنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإحْسانَ على كُلِّ شيءٍ، فَإِذا قَتَلْتُمْ فأحْسِنُوا القِتْلَةَ، وإذا ذَبَحْتُمْ فأحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu. Apabila kamu semua hendak mematikan (haiwan), matikanlah dengan cara yang terbaik. Apabila hendak menyembelih, sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kamu menajamkan pisau dan mengistirahatkan sembelihannya.”

Riwayat Muslim (1955)

Hadith ini secara jelas menunjukkan kepada kewajipan berlaku ihsan kepada setiap makhluk, termasuklah juga kepada haiwan kerana pada saat ia hendak disembelih pun, kita dituntut untuk berlaku ihsan kepada haiwan tersebut. (Lihat Bahjah Qulub al-Abrar, 1/127).

Selain itu, al-Nawawi juga ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan bahawa haiwan sembelihan itu hendaklah direhatkan dengan cara menajamkan pisau dan menyegerakan proses sembelihannya. Begitu juga disunatkan untuk tidak menajamkan pisau di hadapan haiwan yang ingin disembelih dan tidak menyembelih haiwan dengan keberadaan haiwan yang lain. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/92).

Selain itu, berbuat baik kepada haiwan termasuk dalam akhlak dan sikap yang baik. Terdapat sebuah hadith daripada riwayat Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ

Maksudnya:Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”

Riwayat al-Bukhari (5997)

Hadith ini menunjukkan supaya bersikap rahmat — yakni belas kasihan — sesama manusia, bahkan juga kepada haiwan. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ia adalah suatu sikap dan akhlak yang baik lagi terpuji. Sesungguhnya Allah SWT telah memuji rasul-Nya yang bersikap sedemikian melalui firman-Nya:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.

(Surah al-Taubah: 128)

Manakala lawannya iaitu sikap keras hati yang merupakan hukuman Allah ke atas orang Yahudi tatkala mereka mencabuli perjanjian setia, sebagaimana firman Allah SWT:

فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً

Maksudnya:Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran).

(Surah al-Ma’idah: 13)

Oleh itu, rahmat — yakni bersikap kasih sayang dan mengasihi — itu merupakan kelebihan dan sifat yang baik, sedangkan keras hati itu pula ialah sifat yang buruk. Justeru, bersikap rahmat kepada haiwan, antaranya adalah dengan memberinya makan dan minum, mengubati lukanya, tidak membebankan haiwan tersebut di luar kemampuannya. (Lihat al-Adab al-Nabawi, hlm. 122-123).

Seterusnya, Islam melarang keras perbuatan menzalimi haiwan. Hal ini kerana nyawa haiwan adalah dipelihara dan tidak boleh dibunuh sesuka hati melainkan bagi tujuan mendapat manfaat daripadanya yang diizinkan oleh syarak seperti memakannya. Rasulullah SAW pernah bersabda:

مَا مِنْ إِنْسَانٍ قَتَلَ عُصْفُورًا فَمَا فَوْقَهَا بِغَيْرِ حَقِّهَا إِلَّا سَأَلَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَنْهَا قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ ! وَمَا حَقُّهَا؟ قَالَ: يَذْبَحُهَا فَيَأْكُلُهَا وَلَا يَقْطَعُ رَأْسَهَا يَرْمِي بِهَا

Maksudnya: “Tidaklah seseorang membunuh burung ‘usfur dan yang lebih besar daripadanya (burung tersebut) tanpa hak melainkan Allah SWT akan bertanya mengenainya. Ditanya: ‘Wahai Rasulullah! Apakah haknya?’ Baginda menjawab: ‘Haknya adalah menyembelihnya, kemudian memakannya. Dan tidak memotong kepalanya (membunuhnya), kemudian membuangnya.’”

Riwayat al-Nasa’i (4349); al-Darimi (1978); al-Zahabi menyatakan dalam al-Muhazzab (7/3614), sanadnya adalah baik.[4]

Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin menyatakan, ini menunjukkan hukumnya adalah makruh, dan jika dikatakan hukumnya adalah haram, maka terdapat alasan kukuh bagi perkara itu kerana ia termasuk dalam perbuatan yang sia-sia, pembaziran harta dan membuang masa. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 15/98).

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, jika dia tidak bermaksud untuk mengambil manfaat daripadanya, maka ia adalah haram. Hal ini kerana ia termasuk dalam melakukan kerosakan di atas muka bumi, dengan mensia-siakan nyawa. (Lihat Fath al-Bari, 9/602).

Larangan menyakiti dan menzalimi haiwan turut dinyatakan secara jelas dalam hadith, di mana seorang wanita telah diazab dan ditempatkan di dalam neraka kerana perbuatannya yang zalim terhadap seekor kucing. Rasulullah SAW telah bersabda:

عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا، حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ

Maksudnya:Seorang perempuan telah diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.

Beberapa perbuatan zalim yang dilakukan oleh perempuan ini kepada kucing tersebut disebutkan di dalam sambungan hadith di atas iaitu dikatakan kepadanya:

لاَ أَنْتِ أَطْعَمْتِهَا وَلاَ سَقَيْتِهَا حِينَ حَبَسْتِيهَا، وَلاَ أَنْتِ أَرْسَلْتِيهَا فَأَكَلَتْ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ

Maksudnya: “Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga ia boleh makan serangga yang berada di tanah.”

Riwayat al-Bukhari (2365)

Di samping itu, kita juga dilarang daripada membunuh haiwan yang tidak boleh dimakan yang sedang nazak atau dalam keadaan kesakitan yang tiada harapan lagi untuk sembuh bagi merehatkannya — daripada penderitaan yang dialami. Imam Ibn Hajar al-Haitami, Syeikh al-Syabramalisi dan Syeikh Abu Bakar al-Dimyati mengharamkan menyembelih haiwan yang tidak boleh dimakan, sekalipun untuk tujuan merehatkannya daripada kesakitan, seperti himar yang sakit berkekalan. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/322; Hasyiah al-Syabramalisi ‘ala Nihayah al-Muhtaj, 8/177 dan I‘anah al-Talibin, 2/388).

Maka, kita fahami daripada kenyataan di atas bahawa sekiranya membunuh haiwan yang tidak boleh dimakan bagi menghilangkan penderitaan dan kesakitan yang ditanggungnya pun tidak dibenarkan, apatah lagi membunuh haiwan yang boleh dimakan seperti anak ayam dengan tujuan bukan untuk dimakan, maka ia adalah lebih-lebih lagi dilarang dan ditegah. Hal ini kerana perkara tersebut termasuk dalam kategori pembunuhan tanpa sebab yang diizinkan oleh syarak dan dianggap sebagai satu kezaliman terhadap makhluk yang bernyawa.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami dengan tegas berpendapat bahawa membunuh anak ayam jantan dengan tujuan bukan untuk dimakan tetapi semata-mata bagi mengurangkan kos perbelanjaan yang ditanggung adalah haram dan berdosa. Bahkan perkara tersebut termasuk dalam perbuatan menyakiti dan menzalimi haiwan yang dilarang oleh syarak.

Kami mencadangkan dan mengesyorkan sekiranya tidak mahu lagi menanggung kos-kos bagi anak-anak ayam jantan berkenaan, bolehlah memberinya kepada pihak yang mahu membelanya ataupun menyembelihnya untuk dimakan. Selain itu, anak-anak ayam itu juga boleh dilepaskan di kawasan yang sesuai seperti hutan dan sebagainya untuk mencari makan sendiri kerana hal itu adalah lebih baik daripada membunuhnya dan disebabkan oleh pembunuhan itu orang tersebut terpaksa menanggung akibatnya di hari akhirat kelak.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

 

Nota Kaki:

[1] Lihat https://www.merriam-webster.com/dictionary/culling. Diakses pada 12 Mac 2020.

[2] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Culling. Diakses pada 12 Mac 2020.

[3] Lihat https://www.bbc.com/news/world-europe-51301915 dan https://www.change.org/p/animal-stop-slaughtering-male-chicks-in-the-egg-industry. Diakses pada 12 Mac 2020.

[4] Begitu juga Ibn al-Mulaqqin menilainya sebagai sahih dalam al-Badr al-Munir (9/376). Manakala Ibn Kathir dalam Irsyad al-Faqih (1/368) menilainya sebagai hasan, dan begitu juga ia dinilai sebagai hasan dalam Sahih al-Targhib (1092).