#4056: Adakah Buang Daerah ada dalam Hukum Islam

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah hukuman ta‘zir buang daerah memang terdapat dalam hukum Islam?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, buang daerah disebutkan di dalam bahasa Arab sebagai al-taghrib (التَّغْرِيبُ) yang berasal dari kata kerja (غَرَّبَ – يُغَرِّبُ – تَغْرِيبًا) yang membawa beberapa maksud, seperti pergi, berjauhan, dan beredar. Dan perkataan al-taghrib itu secara khususnya bermaksud penjauhan dan pengusiran. (Lihat Lisan al-‘Arab, 1/638)

Buang daerah ini juga disebutkan sebagai al-nafyu (النَّفْيُ) yang berasal dari kata kerja (نَفَى – يَنْفِي – نَفْيًا). Al-nafyu ini bermaksud menjauhkan, mengusir, melempar dan menafikan. (Lisan al-‘Arab, 15/336)

Adapun maksud al-taghrib dan al-nafyu ini menurut fuqaha’, ia bermaksud mengeluarkan pesalah itu dari tempat yang dilakukan jenayah padanya ke tempat lain dalam jangka masa setahun, dan berpada dengan pengawasan sahaja terhadap pesalah tersebut tanpa perlu dipenjarakan atau ditahan. Pengawasan ini bertujuan untuk memastikan pesalah itu tidak kembali ke tempat asalnya. (Lihat Hasyiah al-Bujairimi, 4/212; Kasyaf al-Qina‘, 6/92)

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam berkata, al-taghrib bermaksud menjauhkan pesalah itu daripada daerahnya. Bererti, pemimpin menjatuhkan hukum ke atasnya dengan mengusirnya dari kawasannya dalam tempoh 1 tahun. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/242)

Pensyariatan hukum buang daerah ini jelas sebagaimana dalam hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.A, katanya:

أَنَّ النَّبيَّ ﷺ ضَرَبَ وَغَرَّبَ، وَأَنَّ أَبا بكرٍ ضَرَبَ وَغَرَّبَ، وَأَنَّ عُمَرَ ضَرَبَ وَغرَّبَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW pernah memukul (mengenakan hukuman ta‘zir dengan memukul penjenayah-penjenayah) dan membuang negeri (mereka yang selalu melakukan jenayah yang bukan kes hudud). Dan Khalifah Abu Bakar dan ‘Umar pernah juga menyebat dan membuang negeri (mereka yang selalu melakukan jenayah yang bukan kes hudud sebagai mana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW).”

Riwayat al-Tirmizi (1438)

Diriwayatkan juga daripada ‘Ubadah bin al-Samit R.A, Rasulullah SAW bersabda:

خُذُوا عَنِّي، خُذُوا عَنِّي، فَقَدْ جَعَلَ اللهُ لَهُنَّ سَبِيلًا، البِكْرُ بِالبِكْرِ جَلْدُ مِائَةٍ، وَنَفْيُ سَنَةٍ، وَالثَّيِّبُ بِالثَّيِّبِ جَلْدُ مِائَةٍ، وَالرَّجْمُ

Maksudnya: “Ambillah dariku! Ambillah dariku! Sesungguhnya Allah telah menetapkan wanita-wanita jalan keluar (dari hukuman kurung hingga mati), iaitu wanita yang belum menikah (yang berzina) dengan lelaki yang belum menikah mereka dikenakan 100 kali sebatan dan dibuang daerah selama satu tahun, sedangkan wanita yang telah menikah (yang berzina) dengan lelaki yang telah menikah, maka mereka dikenakan hukuman 100 kali sebatan dan rejam.”

Riwayat Muslim (1690), Abu Dawud (4415), al-Tirmizi (1434), Ibn Majah (2550), Ahmad (22718) dan al-Nasa’ie (7142)

Hukuman buang daerah ini merupakan salah satu dari hukuman ta‘zir yang mana hukumannya tertakluk kepada kebijaksanaan pemimpin muslim yang adil menurut apa yang dia lihat mampu menyekat masyarakat dari melakukan kesalahan,  sama ada dengan hukuman sebat, buang daerah, dipenjara atau dikecam. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/62)

Kesimpulan

Maka jelas di sini bahawa hukuman buang daerah ini sememangnya termasuk dalam hukuman yang telah ditetapkan oleh Islam. Bahkan ia menjadi sunnah yang turut dilakukan oleh Saidina Abu Bakar dan Saidina ‘Umar R.Anhuma, dan umat Islam dituntut untuk meneladani Khulafa’ al-Rasyidin selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Diriwayatkan daripada al-‘Irbadh bin Sariah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيينَ، عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ

Maksudnya: “Maka ke atas kalian sunnahku dan sunnah para khulafa al-rasyidin yang mendapat petunjuk, dan gigitlah ia dengan gigi geraham.”

Riwayat Imam Ahmad (17144), Ibn Majah (42), Abu Dawud (4607) dan al-Tirmizi (266)

Wallahu a‘lam

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”