#4061: Apakah Dosa yang Perlu Disembunyikan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada terbaca hadith ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma tentang kewajiban menutup dosa-dosa yang kita lakukan. Persoalan saya, apakah dosa-dosa tersebut bermaksud umum, yakni semua dosa perlu disembunyikan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kami bawakan terlebih dahulu hadith yang saudara sebutkan tersebut. Ia diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اجْتَنِبُوا هَذِهِ القَاذُورَاتِ الَّتِي نَهَى اللهُ عَنْهَا، فَمَنْ أَلَمَّ بِهَا، فَلْيَسْتَتِرْ بسِتْرِ اللهِ، وَلْيَتُبْ إِلَى اللهِ؛ فَإِنَّهُ مَنْ يُبْدِ لَنا صَفْحَتَهُ، نُقِمْ عَلَيْهِ كتَابَ اللهَ تَعَالَى

Maksudnya: “Elakkan perkara-perkara keji yang Allah larang ini, dan barangsiapa yang melakukannya maka hendaklah dia menyembunyikannya dengan tutupan Allah dan bertaubatlah kepada Allah. Bagi mereka yang membongkar kepada kami mengenai dosanya, kami akan melaksanakan (menghukumnya) dengan Kitab Allah ke atasnya”

Riwayat al-Hakim (7615) dan al-Baihaqi (18056)

Di dalam hadith di atas, perkara-perkara keji disebutkan sebagai al-qazurat (القَاذُورَةُ) yang berasal dari kata kerja (قَذَرَ – يَقْذِرُ – قَذَرًا – قَاذُورَةً), bererti lawan kepada bersih. Adapun al-qazurat yang disebutkan dalam hadith, dinukilkan kalam Khalid bin Janbah, katanya: “Al-qazurat yang ditegah oleh Allah SWT bermaksud perbuatan yang keji dan kata-kata yang buruk.”

Dan dinukilkan pula dari Ibn Sidah, katanya: “Aku melihat Baginda SAW memaksudkan dengan al-qazurat itu adalah zina, dan Baginda menamakannya demikian sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

(Surah al-Isra’: 32)

Dan Ibn Athir menyebutkan dalam tafsirnya: ‘Yang dimaksudkan adalah apa yang ditetapkan hukum hudud padanya seperti zina dan minum arak’.” (Lihat Lisan al-‘Arab, 7/279)

Pandangan Ibn Athir ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amru R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَعَافُّوا الحُدُودَ فِيمَا بَيْنَكُمْ، فَمَا بَلَغَنِي مِنْ حَدٍّ فَقَدْ وَجَبَ

Maksudnya: “Saling memaafkanlah di antara kalian dalam perkara hudud. Maka jika telah sampai kepadaku (kesalahan) yang melibatkan hudud, maka wajib (dijatuhkan hukuman).”

Riwayat Abu Dawud (4376) dan al-Nasa’ie (4886)

Dapat difahami dari hadith ini bahawa Allah SWT menginginkan para hamba-Nya yang berbuat dosa untuk menyembunyikan perkara tersebut, kemudian bertaubat kepada-Nya bagi kemaksiatan yang dilakukan terhadap Allah SWT. Sesungguhnya, Dia jualah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Firman Allah SWT:

وَهُوَ الَّذِي يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ وَيَعْفُو عَنِ السَّيِّئَاتِ

Maksudnya: “Dan Dia lah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hambaNya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan).”

(Surah al-Syura: 25)

Rasulullah SAW juga menghindari dan memalingkan diri Baginda daripada mereka berserah diri dan mengakui dosanya, sepertimana dalam kisah Ma‘iz bin Malik. Ini kerana Baginda SAW tidak lain hanya menginginkan seseorang itu bertaubat dan memohon ampun antara dirinya dengan Allah sahaja terhadap dosa yang dilakukan. Kerana itu Rasulullah SAW sengaja bertanya kepada Ma‘iz: “Mungkin engkau hanya mencium, atau meraba, atau memandang(nya)?”

Apabila perbuatan keji yang dilakukan itu diangkat ke muka pengadilan, kemudian terbukti kebenarannya di hadapan pemimpin, maka wajib ke atas pemimpin itu menjatuhkan hukuman hudud. Kerana itulah Baginda SAW bersabda: “Bagi mereka yang membongkar kepada kami mengenai dosanya, kami akan melaksanakan (menghukumnya) dengan Kitab Allah ke atasnya.” (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/250)

Kesimpulan

Natijah dari perbincangan ringkas ini, kami melihat bahawa yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dengan al-qazurat atau perbuatan-perbuatan keji di dalam hadith tersebut adalah lebih menjurus kepada semua perbuatan maksiat atau dosa yang telah ditetapkan hukuman hudud oleh syara‘.

Akan tetapi, syara‘ secara umumnya menuntut umat Islam menutup aib dosa serta kesalahan yang telah mereka terlanjur lakukan, tanpa menceritakannya atau menjajanya kepada orang lain. Sebaiknya, bertaubatlah kita kepada Allah SWT dengan menanamkan azam untuk tidak mengulangi dosa tersebut.

Ambillah sabda Rasulullah SAW ini sebagai peringatan:

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا المُجَاهِرِينَ، وَإِنَّ مِنَ المُجَاهَرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلًا، ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ، فَيَقُولَ: يَا فُلاَنُ، عَمِلْتُ البَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ، وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ

Maksudnya: “Setiap umatku dimaafkan kecuali mereka yang menyatakan secara terang-terangan (dosa-dosa yang dilakukannya). Sesungguhnya mereka yang termasuk dalam menyatakan secara terang (dosa-dosa yang dilakukannya) adalah seseorang mengerjakan suatu perbuatan di malam hari, kemudian di pagi harinya (dia menyebarnya), sedangkan Allah telah menutupi (dosa-dosanya), maka dia berkata: ‘Wahai fulan, semalam aku mengerjakan ini dan ini,’ padahal dia menghadapi malam itu dan Allah telah menutupinya, tetapi pada pagi hari, dia membuka apa yang telah ditutup Allah tentangnya.”

Riwayat al-Bukhari (6069) dan Muslim (2990)

Semoga, kita beroleh manfaat dari perbincangan ini, seterusnya dapat beramal berlandaskan tuntutan syara‘. Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”

Wallahu a‘lam