#4066: Kedudukan Tangan Ketika Qiyam dalam Solat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah kedudukan tangan seseorang ketika qiyam dalam solat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Wail bin Hujr R.A, katanya:

صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ -صلى الله عليه وسلم- فوَضَعَ يَدَهُ اليُمْنَى عَلى يَدِهِ اليُسْرَى، علَى صَدْرِهِ

Maksudnya: Aku pernah solat bersama Nabi SAW dan baginda meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya pada dada baginda.

Riwayat Ibn Khuzaimah (1/243). Al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi (1/540) menilai hadith ini sahih.

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Hadith ini menunjukkan pensyariatan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri, di atas dada ketika berdiri untuk membaca al-Fatihah dalam solat. Ini adalah salah satu dari perkara-perkara disunatkan dan keutamaannya dalam sembahyang, tetapi bukanlah wajib. Meletakkan tangan yang satu di atas yang lain dan merapatkan mereka di atas dada adalah tindakan kerendahan, kepatuhan, dan tawadhu’ di hadapan Allah Yang Maha Tinggi. Hal ini kerana seseorang yang solat seharusnya memahami makna-makna ini dalam dirinya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/180-181)

Imam al-Nawawi menyatakan: “Sunatnya meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri selepas takbiratul ihram dan menjadikan kedua-dua tangan di bawah dada dan di atas pusat. Inilah mazhab kami yang masyhur. Inilah yang dinyatakan oleh jumhur. Abu Hanifah, Sufyan al-Thauri, Ishak bin Rahawaih, Abu Ishak al-Marruzi daripada kalangan ashab kami berkata: “Meletakkan kedua-dua tangannya di bawah pusat. Daripada ‘Ali bin Abi Talib terdapat dua riwayat seperti dua mazhab sepertimana Ahmad yang terdapat dua riwayat seperti dua mazhab. Ada riwayat ketiga yang memberi pilihan antara dua pandangan di atas tanpa ada tarjih. Dan inilah pandangan al-Auza’ie dan Ibn al-Munzir. Daripada Malik ada dua riwayat, salah satu ialah meletakkan kedua-dua tangan di bawah dada. Riwayat kedua dibiarkan kedua-duanya (dilepaskan). Inilah riwayat jumhur para Ashab (mazhab Maliki) dan yang lebih masyhur di sisi mereka. Inilah mazhab al-Laith bin Sa’ad. Dan ada riwayat daripada Malik juga yang berpandangan sunat meletakkan kedua-dua tangan dalam solat sunat dan melepaskannya dalam solat fardhu. Inilah yang ditarjih oleh ulama Basrah daripada kalangan Ashab mazhab Malik. Hujjah majoriti ulama akan sunat meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri adalah berdasarkan hadis Wa’il bin Hujr yang dinyatakan di sini dan hadith Abi Hazim daripada Sahl bin Sa’ad R.A yang berkata:

 كَانَ نَّاسٌ يُؤْمَرُونَ أَنْ يَضَعَ الرَّجُلُ اليَدَ اليُمْنَى عَلَى ذِرَاعِهِ اليُسْرَى فِي الصَّلاَةِ

Maksudnya: Orang ramai diperintahkan untuk meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri ketika solat.

Abu Hazim berkata: “Aku tahu bahawa perintah tersebut datang daripada Nabi SAW secara marfu’ daripada Sahl bin Sa‘d.” Isma‘il berkata: ‘يُنْمَى ذَلِكَ’ dan beliau tidak berkata ‘يَنْمِي’. Hadith ini diriwayatkan oleh al-Bukhari (740). Manakala dalil meletakkan kedua-dua tangan di atas pusat pula hadith Wa’il bin Hujr yang berkata “Aku solat bersama Rasulullah SAW, baginda meletakkan tangan kanan baginda di atas tangan kiri di atas dada.” Riwayat Ibn Khuzaimah di dalam Sahihnya. Adapun hadith ‘Ali .RA yang berkata:

 مِنَ السُّنَّةِ فِي الصَّلَاةِ وَضْعُ الْأَكُفِّ عَلَى الْأَكُفِّ تَحْتَ السُّرَّةِ

Maksudnya: “Termasuk sunnah di dalam solat meletakkan telapak tangan di atas telapak tangan yang satu lagi di bawah pusat”

Riwayat iini adalah lemah yang disepakati dalam kalangan ulama mendhaifkannya, yang diriwayatkan oleh al-Daraqutni dan al-Baihaqi daripada riwayat Abu Syaibah, Abd al-Rahman bin Ishak al-Wasiti, beliau seorang yang Dhaif dengan sepakat ulama. Para ulama berkata: hikmah pada meletakkan sebelah tangan di atas sebelah satu lagi ialah ia lebih hampir kepada khusyu’ dan terhalang daripada yang sia-sia. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/114-115)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri ketika solat merupakan sunnah yang thabit daripada Nabi SAW ketika dalam solat. Adapun meletakkannya di atas dada atau di bawah pusat merupakan khilaf yang muktabar dalam kalangan ulama’ fiqh.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada kita dalam memperelokkan ibadah solat kita. Wallahu a’lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)