#4068:  Kedudukan Tangan Semasa Iktidal Daripada Ruku’

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah kedudukan tangan seseorang semasa iktidal daripada ruku’?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Wail bin Hujr R.A, katanya:

صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ -صلى الله عليه وسلم- فوَضَعَ يَدَهُ اليُمْنَى عَلى يَدِهِ اليُسْرَى، علَى صَدْرِهِ

Maksudnya: Aku pernah solat bersama Nabi SAW dan baginda meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya pada dada baginda.

Riwayat Ibn Khuzaimah (1/243). Al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi (1/540) menilai hadith ini sahih.

Menjawab persoalan di atas, Syeikh Abdullah al-Bassam berkata dalam Taudhih al-Ahkam menyatakan: Jumhur ulama’ bersepakat bahawa sunnahnya meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri ketika dalam solat, dan meletakkannya di atas dada atau di bawah pusat sebagaimana khilaf ulama’, namun, mereka berbeza pendapat mengenai meletakkan tangan ketika sedang berdiri setelah rukuk:

  • Pertama: Sebahagian daripada mereka berpendapat bahwa meletakkan tangan di atas dada adalah sunnah, seperti yang terjadi ketika berdiri sebelum rukuk.
  • Kedua: Jumhur ulama’, termasuk empat imam mazhab dan pengikut mereka, berpendapat bahwa tangan seharusnya dilepaskan di sisinya dan tidak sunnah untuk meletakkannya di atas dada atau di bawah pusat dan yang mana meletakkan tangan kanan atas tangan kiri ini adalah khusus untuk berdiri sebelum rukuk.

Mereka yang memegang pendapat pertama merujuk kepada hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Sahl bin Sa’ad R.A yang berkata:

 كَانَ نَّاسٌ يُؤْمَرُونَ أَنْ يَضَعَ الرَّجُلُ اليَدَ اليُمْنَى عَلَى ذِرَاعِهِ اليُسْرَى فِي الصَّلاَةِ

Maksudnya: Orang ramai diperintahkan untuk meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri ketika solat.

Riwayat al-Bukhari (740).

Mereka juga merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, al-Nasai, dan Ibn Khuzaimah, yang dikuatkan daripada riwayat Wail bin Hujr yang berkata, Wail bin Hujr R.A, katanya:

صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ -صلى الله عليه وسلم- فوَضَعَ يَدَهُ اليُمْنَى عَلى يَدِهِ اليُسْرَى، علَى صَدْرِهِ

Maksudnya: Aku pernah solat bersama Nabi SAW dan baginda meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya atas dada baginda.

Riwayat Ibn Khuzaimah (1/243). Al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi (1/540) menilai hadith ini sahih.

Asalnya hadith ini ada dalam kitab Muslim tanpa tambahan “atas dada baginda.” Dua hadith yang sahih ini mengenai berdiri dalam solat adalah umum, sama ada sebelum atau sesudah rukuk, dan perbezaan antara dua kelompok berdiri dalam solat ini adalah masalah ijtihad. Kedudukan ini adalah saat seseorang merendahkan diri dengan penuh khusyu’ di hadapan Allah, oleh kerana itu, disarankan untuk mengamalkan hal ini dalam solat.

Sementara itu, majoriti ulama’ yang tidak menganggap sunnah meletakkan tangan di atas dada setelah ruku’ dan menyatakan bahawa kedua-dua hadith ini adalah untuk qiyam sebelum ruku’, ada pun selepas ruku’ tidak ada riwayat yang menunjukkan hal ini, baik yang sahih mahupun yang dhaif. Selain itu, tidak ada riwayat daripada salaf al-soleh atau tindakan daripada para imam yang melakukannya. Masalah ini adalah masalah ijtihad, dan itulah sebabnya Imam Ahmad berpendapat bahawa seseorang diberi pilihan untuk melakukannya atau tidak. Pilihan ini tergantung pada pemahaman dan ijtihad masing-masing, wallahu’alam. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/182-183)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa kedudukan tangan ketika berdiri selepas bangun daripada ruku’ (iktidal) adalah dilepaskan kedua-dua tangan di sisi tepi sebagaimana pendapat jumhur ulama’. Hal ini kerana meletakkan tangan kanan atas tangan kiri di atas dada ini adalah untuk qiyam sebelum ruku’, ada pun selepas ruku’ tidak ada riwayat yang menunjukkan hal ini, sama ada yang sahih mahupun yang dhaif.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada kita dalam memperelokkan ibadah solat kita.

Wallahu a’lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)