#4075: Maksud (ذَوِي الْهَيْئَاتِ) Dalam Hadith Saidatina ‘Aisyah R.Anha

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada terbaca sebuah hadith daripada Saidatina ‘Aisyah tentang memaafkan kesalahan orang-orang yang terpuji akhlaknya. Boleh ustaz terangkan tentang siapakah yang dimaksudkan dengan ‘orang-orang yang terpuji akhlaknya’ itu?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertama sekali, kami bawakan terlebih dahulu hadith yang saudara nyatakan di atas. Diriwayatkan juga daripada Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

أَقِيلُوا ذَوِي الْهَيْئَاتِ عَثَراتِهِمْ إِلَّا الْحُدُودَ

Maksudnya: “Maafkanlah kesalahan orang-orang yang terpuji akhlaknya, kecuali dalam masalah hudud.”

Riwayat Abu Dawud (4375) dan Ahmad (25474)

Imam Syihab al-Din Ibn Ruslan al-Ramli menyebutkan, sabda Rasulullah SAW (أَقِيلُوا) bermaksud lepaskanlah dan maafkanlah. Beliau menukilkan kalam Imam al-Syafi‘i, katanya: “Aku mendengar dari orang yang tahu tentang hadith ini berkata: ‘seorang lelaki itu boleh melepaskan orang-orang yang terpuji akhlaknya dari kesalahan, kecuali dalam masalah hudud’.”

Dan yang dimaksudkan dalam sabda Rasulullah SAW (عَثَراتِهِمْ) adalah isyarat kepada meninggalkan hukuman ta‘zir apabila adanya maslahah kebaikan. Oleh kerana itu, ia dikaitkan dengan orang-orang yang terpuji akhlaknya, kerana meninggalkan hukuman dari dijatuhkan ke atasnya melazimkan maslahah kebaikan. Dan dibolehkan untuk ditinggalkan hukuman ta‘zir itu juga kerana tujuannya adalah mendidik. (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, 17/277)

Berbalik kepada persoalan yang saudara ajukan, di dalam hadith di atas, “orang-orang yang terpuji akhlaknya” disebutkan sebagai (ذَوِي الْهَيْئَاتِ). Imam Ibn al-Qayyim berkata, pada zahirnya mereka ini adalah orang yang mempunyai darjah kedudukan di kalangan masyarakat, seperti pangkat, kemuliaan dan kedaulatan. Maka Allah SWT mengkhususkan mereka sebagai satu bentuk penghormatan dan kelebihan berbanding orang lain. Maka sesiapa yang tersembunyi keburukannya serta terkenal dengan kebaikan, namun tiba-tiba tergelincir melakukan kesilapan dan ditewaskan oleh hasutan syaitan, kita tidak  perlu tergesa-gesa mencelanya dan menghukumnya. Bahkan dimaafkan kesalahan mereka selama mana ia bukan dalam masalah yang ditetapkan padanya hukuman hudud oleh Allah. (Lihat Bada’i‘ al-Fawa’id, 3/661)

Ahli Fatawa al-Lajnah al-Da’imah mengatakan, (ذَوِي الْهَيْئَاتِ) adalah orang yang menjaga maruah, tabiat yang terpuji dalam kalangan masyarakat, dan mereka ini sentiasa di dalam ketaatan dan terkenal dengan sifat adil. Akan tetapi pada beberapa ketika, kaki mereka mungkin tergelincir dan terlanjur melakukan kesilapan dosa. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 22/19)

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam menyebutkan, yang diketahui dalam masyarakat arab, (ذَوِي الْهَيْئَاتِ) adalah mereka yang mempunyai tabiat yang terpuji dalam kalangan masyarakat, yang mempunyai maruah serta akhlak terpuji. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/251)

Syeikh ‘Abdullah bin Soleh al-Fauzan pula berkata, perkataan (الهَيْئَةُ) bermaksud gambaran, bentuk serta keadaan sesuatu. Dan yang dimaksudkan dengan (ذَوِي الْهَيْئَاتِ) dari segi bahasa adalah orang-orang yang melazimi satu keadaan dan satu jalan sahaja tanpa berpindah pada yang lain. Adapun yang dimaksudkan dalam hadith ini, mereka adalah orang yang menjaga maruah dan kebaikan, tidak dikenali sebagai orang yang melakukan kejahatan, tetapi tergelincir juga melakukan kesilapan. Inilah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Syafi‘i. (Lihat Minhah al-‘Allam, 8/544)

Kesimpulan

Berdasarkan tafsiran para ilmuan tentang maksud “orang-orang yang terpuji akhlaknya” yang disebutkan dalam hadith Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha di atas, ia bukan semata-mata merujuk kepada orang yang ada kedudukan dalam kalangan masyarakat, bahkan ia merujuk kepada orang yang soleh dan berakhlak mulia, dikenali dalam masyarakat sebagai orang yang sangat menjaga maruah serta sentiasa melakukan perintah syara‘ dan meninggalkan larangannya.

Beginilah secara ringkas yang dapat kami jelaskan berkenaan (ذَوِي الْهَيْئَاتِ) dalam hadith ini. Semoga kita dapat beroleh manfaat dari faedah yang dikongsikan ini. Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Wallahu a‘lam