Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah mengadakan walimah sebanyak tiga kali dikira sum’ah ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Menurut kitab Al-Fiqh al-Manhaji, Al-Walimah diambil dari perkataan الولْم yang membawa erti berhimpun atau berkumpul. Dinamakan dengan yang demikian itu kerana kedua pasangan suami isteri berkumpul padanya (majlis perkahwinan).
Kemudian disebutkan, al walimah merupakan makanan perkahwinan, atau kesemua makanan yang dibuat untuk dijemput (orang ramai) dan selainnya. (Lihat Fiqh al-Manhaji 2/92).
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bahawa Abd al-Rahman bin ‘Auf telah berkahwin. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda kepadanya:
أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ
Maksudnya: Hendaklah kamu melakukan majlis perkahwinan sekalipun dengan seekor kambing.
Riwayat Muslim (1427)
Pernikahan merupakan anugerah dan kurniaan nikmat yang telah diberikan oleh Allah kepada hambanya. Oleh yang demikian cara menzahirkan kesyukuran adalah dengan melakukan amal soleh. Mengandakan walimah termasuk dalam amal soleh sebagi menzahirkan kesyukaran kepada Alah SWT. Firman Allah SWT:
pernikahan adalah suatu kenikmatan bagi pengantin lelaki dan antara cara menzahirkan syukur adalah dengan melakukan amal soleh. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T
اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا
Maksudnya: Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur.
(Surah Saba’:13)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan terdapat sebuah hadith yang menyatakan bahawa mengadakan majlis walimah kali yang ketiga dikira sebagai riya dan sum’ah iaitu suka kepada pujian. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
طعامُ الوليمةِ أوَّلُ يومٍ حقٌّ، وطعامُ الثّاني سُنةٌ، وطعامُ يومِ الثّالثِ سُمعةٌ، ومن سمَّع سمَّعَ اللهُ به
Maksudnya: Walimah yang diadakan pada hari pertama adalah wajib pada hari kedua sunnah, sementara pada hari ketiga itu sum’ah. Barangsiapa yang ingin amalannya didengari oleh orang lain, Allah akan memperdengarkannya
Riwayat Tirmizi(1097) dan Baihaqi(14905)
Namun hadith ini dikategorikan sebagai hadith yang daif bahkan Imam Bukhari menatakan hadith ini merupakan hadith yang sanadnya tidak sahih. Begitu juga syeikh al-Albani menyatakan bahawa: kebanyakan dari hadith-hadith yang menyokong juga adalah lemah. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram,5/429)
Dalam isu ini kami katakan bukanlah daripada sunnah nabi mengadakan walimah lebih dari sehari. Namun tidak menjadi kesalahan untuk mengadakannya lebih dari sehari sekiranya dapat mengelakkan dari pembaziran. Ia ia bergantung kepada niat seseorang kerana setiap amalan itu bergantung pada niat. Sekiranya niatnya baik maka baiklah amalannya. Namun sebaliknya, ia telah melakukan maksiat kepada Allah SWT.
Daripada Umar bin al-Khattab RA, aku mendengar Nabi SAW bersabda:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat”.
Riwayat al-Bukhari (1)
Begitu juga kaedah menyebutkan bahawa:
الأَمُوْرُ بِمَقَاصِدِهَا
Maksudnya: “Setiap perkara itu berdasarkan (dinilai) tujuan-tujuannya”.
Dalam isu ini Ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Mughni menyatakan bahawa: jika majlis perkahwinan diadakan selama beberapa hari, maka itu dibenarkan. Al-Khalal meriwayatkan dengan sanadnya daripada ayahnya bahawa beliau mengadakan perkahwinan dan menjemput Ansar selama lapan hari. Jika seseorang diundang pada hari pertama, wajib bagi dia untuk memenuhinya. Pada hari kedua, disunatkan untuk memenuhinya, tetapi pada hari ketiga, tidak disunatkan. Imam Ahmad berkata: Yang pertama adalah wajib, yang kedua jika dia suka, dan yang ketiga tidak. Begitulah mazhab Imam al-Shafi’i. (Lihat al-Mughni,7/277)
Begitu juga dinytaakan dalam Nail al-Awtar bahawa: sunat untuk menjemput sehingga 7 hari disisi Maliki sepertimana dinukilkan oleh al-Qadhi ‘Iyyadh . Imam Bukhari juga mentarjihkan mazhab ini dengan menyatakan : ‘Bab memenuhi walimah dan undangan, Siapa yang melakukan walimah 7 hari, Nabi tidak menetapkan waktu sehari atau dua’ (Lihat Nail al-Awtar, 6/217)
Justeru kami katakan bahawa melangsungkan walimah lebih dari sehari bukanlah amalan sunnah mengikut pandangan maazhab Syafi’e. Namun bagi sesiapa yang yang mampu untuk melakukan walimah lebih dari sehari kami katakan tidak lah ia menjadi satau kesalahan dan amalan tersebut bergantung kepada niat seseorang yang melakukannya. Moga kita dijauhi dari sikap riya dan sum’ah.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahua’lam